suria

Lelaki niat baik mahu bantu peniaga kek coklat tapi rasa leceh diminta transfer deposit RM15, akhirnya ‘sentap’ sebab kena block

Kek coklat merupakan hidangan manisan yang popular dalam masyarakat. -Gambar hiasan (foto kanan: Nasriah Ramli)

SABAR itu separuh daripada iman.

Tambahan pula jika seseorang itu merupakan seorang peniaga, kesabaran tahap tertinggi diperlukan dalam mencari rezeki dan keuntungan yang pasti ada pasang surutnya.

Melalui satu hantaran tular di laman Facebook, seorang lelaki berkongsi kisah dirinya bersama peniaga kek coklat yang mengajarnya tentang sifat sabar.

Pelanggan dan penjual saling memerlukan dalam dunia perniagaan. -Gambar hiasan

Menurut lelaki itu, dia pernah bertemu dengan seorang peniaga yang menjual kek coklat yang sungguh lazat dan pemurah sehingga dia berhasrat untuk membantunya mengembangkan perniagaan.

"Saya ada order kek coklat minggu lepas, sedap rasanya. Dia jual harga RM6 je sebekas. Saya pergi tanya dia, ada untung ke? Dia kata bolehlah.

"Waktu saya order tu, saya cuma minta lima kek coklat, tapi dia siap bagi enam sebab satu lagi percuma katanya. Memang berbunga hati ni rasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga ‘nasi bajet’ asyik tukar kereta baharu, siap beli Tesla! Jiran depan rumah buat siasatan, akhirnya jumpa jawapan

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Rusia ajak pakcik peniaga air mata kucing buat ‘content’, sempat selit nasihat... Pesan utamakan didikan agama untuk anak-anak

"Kemudian, pada satu hari ni, kawan saya datang tanya, ada tak produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang dia boleh ambil dan letak dekat stesen minyak.

"Harga barang nak dalam RM5 hingga RM10 macam tu, perlukan 100 hingga 150 paket sehari. Saya terus teringat kek coklat yang saya cuba tempoh hari, ini masanya untuk saya tolong dia," lelaki itu berkongsi ceritanya di Facebook.

Namun, hajat lelaki itu untuk membantu tidak tercapai kerana peniaga tersebut dikatakan bersikap tidak sabar.

Kita sebagai pembeli, ikut saja ketetapan yang dah dibuat oleh penjual, kalau dia minta bayar separuh dulu, maka bayarlah.

WARGA MAYA

"Jadi saya pun order lima bekas kek coklat nak bagi tester dekat kawan saya tu. Penjual tu cakap okay, dia minta transfer separuh dulu RM15 daripada bayaran penuh (RM30).

"Tapi sebab saya rasa macam leceh nak transfer RM15 dulu, saya pilih untuk bayar full terus apabila ambil kek coklat tu nanti, dan kebetulan pada hari tu saya ada hal, saya memang tak sempat.

"Keesokan paginya tu dia mesej saya marah-marah, kata kenapa blue tick mesej dia dekat WhatsApp. Saya cakap serba salah nak transfer RM15 dulu, lagipun ini bukan kali pertama saya order dengan dia, saya akan bayar full dekat sana.

"Lepas saya dah beritahu macam tu, penjual tu terus cakap dia cancel order. Dia siap cakap lagi, tak 'lapar' duit saya. Kemudian dia terus block saya," cerita lelaki itu kecewa.

Lelaki tersebut seterusnya mengupas iktibar yang boleh diambil dengan melihat bagaimana peniaga kek coklat itu terlepas peluang keemasan kerana mengikut perasaan amarahnya.

Sebahagian komen warga maya.

"Ini pengajaran kepada mereka yang bergelar peniaga. Makanan kita sedap ke atau kita makanan kita murah ke, tetaplah bersabar dalam apa jua situasi.

"Kadang tu rezeki depan mata, tapi sebab kita tidak bersabar, ia menjadi asbab rezeki kita lari," ujar lelaki itu menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tidak bersetuju dengan pendapat lelaki itu.

"Kita sebagai pembeli, ikut saja ketetapan yang dah dibuat oleh penjual, kalau dia minta bayar separuh dulu, maka bayarlah. Saya sebagai peniaga pun, selagi tak dapat deposit memang tak akan buat order, itu cara saya.

"Komunikasi abang pun memang gagal teruk. Orang tu dah mesej minta bayar separuh, sekurang-kurangnya balas dan maklumkan nak bayar full nanti, jangan gantung blue tick macam tu je.

"Sekarang pun banyak pembeli yang scam, wajar untuk peniaga ambil langkah berjaga-jaga, abang tak payah la terpaling baik hati nak tolong, ikut je apa peniaga minta," demikian antara komen warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain