suria

Isteri VIP sedang hamil hidap HIV! Suami ada boyfriend, kantoi foto dalam selimut di hotel... Balik rumah pukul bini

Seorang wanita hamil membuat pendedahan mengenai suaminya. -Gambar hiasan

DI sebalik kedatangan seorang wanita ke klinik untuk mendapatkan rawatan, seorang doktor tidak menyangka menerima satu kejutan.

Dr Ahmad Samhan Awang yang merupakan doktor perubatan popular di media sosial berkongsi pengalamannya mengenai seorang pesakit yang dipukul suami.

"Boleh saya tahu kenapa suami puan pukul puan? Dia mabuk. Memang dia kaki botol?

"Dia bukan setakat kaki botol, tapi selalu clubbing. Balik rumah dengan mabuk," tulisnya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Seorang pesakit mengadu dipukul suami. -Gambar hiasan / Freepik

Bercakap kepada mStar, Dr Samhan berkongsi lebih lanjut mengenai pengalamannya ketika berkhidmat di sebuah hospital beberapa tahun lalu, di mana pesakit berusia 30an itu datang ke bahagian kecemasan kerana isu keganasan rumah tangga.

"Dia mengadu dipukul oleh suami, mengalami lebam di seluruh badan dan muka.

"Wanita itu merupakan suri rumah dan hamil anak sulung," katanya sambil menambah pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga selama lima tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual produk lelaki ‘game awal’, tapi pelanggan mengadu gatal mata! Dr Samhan minta pengikut hati-hati, scammer makin agresif

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat rasa pesakit di ambang sakaratul maut, doktor segera bisik kalimah syahadah... Akhirnya dada yang berombak terus terhenti

Menurut Dr Samhan, pesakit itu mendedahkan suaminya yang berusia 35 tahun merupakan orang kenamaan, berjawatan tinggi dan dihormati.

Namun apa yang membuatkan doktor itu lebih terkejut apabila wanita itu memaklumkan bahawa dia menghidap HIV dan mendakwa mendapat jangkitan daripada suaminya.

"HIV? Mana puan tahu? Saya buat ujian HIV masa buat buku pink," kata Dr Samhan mengimbas kembali perbualan mereka berdua dan buku merah jambu yang dimaksudkan adalah buku rekod kesihatan diri ibu hamil dan bayi.

Sisi gelap suami terbongkar selepas isteri memeriksa gambar-gambar dalam telefon bimbit. -Gambar hiasan

Berasa was-was mengenai pendedahan itu menyebabkan Dr Samhan yang berpengalaman lebih enam tahun dalam bidang perubatan bertanyakan beberapa soalan untuk mendapatkan kepastian daripada wanita berkenaan.

"Maaf saya tanya, puan ada lakukan hubungan seks dengan lelaki lain selain suami? Maaf sekali lagi, puan syak suami ada hubungan sulit dengan perempuan lain?

"Mana ada doktor. Saya suri rumah sepenuh masa. Hidup saya bergantung sepenuhnya pada suami. Suami saya tiada perempuan lain, tapi dia ada boyfriend," ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Samhan memberitahu pesakit itu pernah memeriksa telefon bimbit suaminya dan menjumpai beberapa gambar sulit.

"Saya terjumpa gambar-gambar dia berselimut bersama boyfriend di hotel. Dia bukan jenis lelaki lembut. Badan sasa, sedap mata memandang. Saya pun terkejut, dia ada nafsu pada lelaki!" kata pesakit wanita itu.

Kes begini sebenarnya banyak berlaku dan tak dilaporkan.

DR AHMAD SAMHAN AWANG

Pendedahan yang mengejutkan itu ternyata menimbulkan rasa simpati dalam diri Dr Samhan kerana suami pesakit berkenaan bukan sahaja kaki pukul, malah bernafsu songsang.

"Saya amat bersimpati terhadap pesakit dan keluarganya. Kes begini sebenarnya banyak berlaku dan tak dilaporkan.

"Jika isteri didera, ada unit di kecemasan dipanggil OSCC (Pusat Khidmat Krisis Sehenti) untuk kes penderaan rumah tangga. Jangan malu dan takut untuk mengadu.

"Kepada suami, berbaiklah pada isteri dan bertaubatlah dengan Allah," katanya lagi.

Dr Samhan bersimpati dengan nasib seorang pesakitnya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Dalam pada itu, Dr Samhan berkata, kadar jangkitan virus HIV melalui penetrasi dubur (anal sex) adalah 18 kali lebih berisiko dibandingkan dengan penetrasi vagina (vaginal sex).

Menurutnya, ini membenarkan fakta bahawa suatu amalan yang berlawanan dengan fitrah, yang dilarang oleh agama, yang dicela oleh Allah SWT pasti mempunyai sebab kenapa ia dihalang.

"Dubur ialah satu kawasan badan yang tinggi kepadatan salur darahnya berbanding vagina (alat kelamin wanita).

"Secara mudah, kita boleh memahami melalui penyakit buasir (hemorrhoid) iaitu pembengkakan salur darah yang berlaku di dubur, tetapi tidak di vagina walhal kedua-dua organ ini berada di bahagian bawah badan.

"Dubur juga mempunyai dinding lebih nipis yang memisahkan kulit dengan salur darah. Penetrasi dubur oleh zakar dalam hubungan homoseksual lebih banyak menghasilkan kecederaan dengan pecahnya salur darah dan memungkinkan virus HIV masuk melalui salur darah," katanya sambil menasihati golongan berkenaan supaya bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain