SEORANG lelaki meraih perhatian netizen selepas dia perlu membayar RM14,483 kepada isterinya gara-gara satu hantaran tular di Facebook. Dalam posting yang dibuat sempena hari lahir wanita itu pada Khamis, Farid Sharif berjanji untuk membayar isterinya RM1 bagi setiap tanda suka (like) yang diterima. "Selamat hari lahir kepada isteriku. Sempena hari jadi isteri saya, saya akan bagi Amelia Ahmad RM1 bagi setiap satu like post ini," tulis Farid. Ramai netizen turut menitipkan ucapan selamat hari lahir buat Amelia. Dia bagaimanapun mengambil tindakan untuk memadam hantaran berkenaan selepas ia 'diserang' netizen sehingga menerima lebih 14,000 tanda suka. Tampil memberikan penjelasan pada pagi Jumaat, Farid berkata dia sama sekali tidak menyangka hantaran berkenaan akan meraih perhatian ramai. "Seperti tahun-tahun sebelum ini saya memang ada bajet untuk raikan hari jadi isteri, cuma kali ni saya nak cipta sedikit kelainan. Mulanya saya nak letak RM0.10 bagi setiap like pada post saya tapi bila mengambil kira jumlah friend list saya cuma dalam 1,400, tambah isteri saya lebih kurang sama macam rendah sangat pula. Kepada suami-suami semua, jangan cuba gimik yang saya buat ni, last-last sendiri yang terciduk. FARID SHARIF "Kalau ikutkan kebiasaan post saya paling tinggi like pun lebih kurang 100 hingga 200 lebih. Jadi saya buka post kepada public. Lagipun bukan semua friend kita akan like jadi saya up kepada RM1... paling maksimum pun 2,000 likes je. Dalam tak sampai lima jam post saya dah lebih 14,000 likes. Nak patah balik ramai dah screenshot. "Pukul 5 sebelum habis kerja tutup post. Rupa-rupanya ada 'gerakan bawah tanah' daripada kawan-kawan rapat saya termasuk isteri sendiri bersama geng-geng dia nak bagi tambah like. Patut la laju. Betul-betul nak kenakan aku. Benda dah viral, hadap je la," ujarnya. Menurut Farid, dia bersyukur kerana isterinya tidak mendesak atau menuntut RM14,483 (jumlah like) kerana faham akan situasi kewangan serta perbelanjaan lain dalam keluarga yang lebih mustahak. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri reda hanya 4 tahun dipinjamkan suami yang ‘terlalu baik’, pergi dengan mudah selepas banyak beri petunjuk ARTIKEL BERKAITAN: Momen ‘sweet’ pasangan OKU depan gerai yong tau foo tarik perhatian netizen... Suami dipuji tak berkira dengan isteri "Saya dengan isteri okay je. Isteri saya faham keupayaan kewangan saya. Walaupun RM14,483 tu bukanlah sesuatu yang di luar kemampuan saya tapi memandangkan ada keutamaan yang perlu didahulukan, isteri saya tak desak atau anggap saya berhutang dengan dia. "Dia anggap sebagai sedekah tanda kasih sayang seorang suami kepada isterinya. Sedia je la duitnya. Deal tu biarlah antara saya dan isteri," ujarnya lagi. Dalam hantaran sama, Farid turut menitipkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus mengucapkan selamat hari lahir buat isterinya, sekali gus mencapai objektif asal perkongsiannya di Facebook. Farid terpaksa memadam hantaran itu selepas ia dihujani 14,000 tanda suka. Dalam nada berseloroh, Farid turut berpesan kepada kaum suami di luar sana agar tidak mencuba gimik sepertinya. "Terima kasih kepada yang support. Apa yang penting objektif saya untuk ramai yang wish birthday pada isteri saya tercapai dan membuatkannya gembira. Tapi tak sangka sampai ramai yang beri perhatian. Tak pasal-pasal. "Saya kira ini semua kesilapan taktikal sendiri. Tapi korang semua memang tak patut. Agak-agak la haha. Kalau aku biar sampai malam entah-entah boleh cecah 100,000 likes. Mana aku nak lari. "Kepada suami-suami semua, jangan cuba gimik yang saya buat ni, last-last sendiri yang terciduk (terkena). Orang perempuan tak akan bagi muka punya. Doakan yang baik-baik untuk kami suami isteri. Moga diluaskan rezeki dan bertambah bahagia. Anda semua pun sama," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube