suria

Ustaz TikTok didampingi ‘makmum’ ghaib... Tengah solat di R&R tiba-tiba rasa bahu ditepuk, angin ‘keras’ lalu belakang

Al-mahi diganggu sewaktu sedang mendirikan solat di sebuah R&R.

HANYA mereka yang pernah berdepan dengan pengalaman mistik tahu bagaimana seramnya situasi itu.

Tidak terkecuali merasai dugaan itu ialah seorang ustaz, Raja Muhammad Al-mahi Raja Badrol Hisham yang berdepan gangguan mistik ketika mendirikan solat sunat witir.

Ketika dihubungi mStar, Al-mahi berkata kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi di sebuah hentian rehat dan rawat (R&R) sebuah lebuh raya di Perak, baru-baru ini.

"Saya tak pasti apa yang berlaku sebab rasa macam angin 'keras' lalu di belakang masa tengah solat. Tapi 'ia' lalu tu lain macam.

Al-mahi sering berkongsi video berbentuk dakwah di TikTok.

"Pada awalnya saya ingatkan ada orang tepuk bahu. Saya cuba melihat daripada ekor mata.

"Waktu tu saya dalam rakaat kedua. Saya tengah baca hujung ayat ke-35 daripada surah al-Qiyamah. Terasa macam ada yang sentuh bahu sebagai isyarat nak jadi makmum," jelasnya kepada mStar.

Terdahulu Al-mahi berkongsi rakaman video daripada telefon bimbit menunjukkan dia sedang bersolat secara berseorangan di surau berkenaan.

Menurut pendakwah yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang tersebut, pada waktu itu dia dengan sengaja meletakkan telefon bimbit di depannya dan merakamkan menggunakan kamera hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Objek putih seperti kain kafan terbang depan kereta, UAI diganggu entiti mistik lepas balik kuliah!

ARTIKEL BERKAITAN: Seram didatangi gadis muka buruk, guna phone Nokia! Sedih dapat tahu kisahnya, roh tak tenang selepas kemalangan

Namun dia sama sekali tidak menjangkakan bakal merakam momen diganggu entiti mistik ketika sedang bersolat.

"Waktu ni khusyuk solat dah tak ada. Saya terjenguk sikit ke arah kamera nak pastikan ada orang atau tidak.

"Saya teruskan juga solat tapi masa tu dalam hati rasa nak cepat habis dan masuk ke dalam kereta," ujarnya yang dalam perjalanan ke Pantai Remis, Perak yang mengambil masa tiga jam dari Kuala Lumpur.

"Saya selalu ambil job reviu sekitar Kuala Lumpur. Tapi kali ini saya ke Pantai Remis untuk bincang hal kerja dengan sebuah syarikat umrah.

Selalu nak dekat Ramadan saya akan rakam solat untuk semak balik bacaan dan buat persediaan sebagai imam tarawih.

RAJA MUHAMMAD AL-MAHI

"Jalan tu memang saya selalu guna untuk ulang-alik tapi jaranglah singgah di R&R tu. Cuma malam tu saya rasa penat sikit... itu yang singgah berehat.

"Cadangnya nak sambung semula perjalanan ke Pantai Remis selepas solat Subuh di situ. Tapi apabila jadi macam tu, cuak juga. Saya pun terus gerak ke R&R lain tunggu Subuh dekat sana," katanya.

Mengulas lanjut tentang tujuan dia membuat rakaman ketika menunaikan solat, Al-mahi yang memiliki lebih 500,000 pengikut di TikTok berkata ia bagi menilai semula bacaannya.

Ujar Al-mahi, dalam masa sama ia merupakan satu persediaan menjelang Ramadan yang bakal tiba memandangkan dia sering menerima undangan memimpin solat tarawih di sekitar utara.

Al-mahi meneruskan perjalanan selepas selesai solat witir.

"Memang selalu nak dekat-dekat Ramadan saya akan rakam solat untuk semak balik bacaan dan buat persediaan sebagai imam tarawih," jelasnya lagi.

Hingga kini rakaman video yang dimuat naik di TikTok meraih lebih 3.1 juta jumlah tontonan.

Untuk rekod, Al-mahi merupakan seorang pempengaruh yang aktif berkongsi video berbentuk dakwah dan ilmu agama menggunakan platform media sosial peribadinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain