suria

Tukang baiki laptop sanggup berhutang beli charger, wanita terselamat daripada dicaj RM450! Kedai lain kata ‘motherboard rosak’

Seorang pekerja menyediakan servis membaiki komputer riba. -Gambar hiasan kiri Freepik

GAJET seperti komputer riba kini menjadi keperluan dan dalam kehidupan sesetengah individu, ia merupakan sesuatu yang amat penting.

Maka tidak hairanlah kedai-kedai yang menjual komputer riba tidak putus menerima kunjungan pelanggan setiap hari sama ada untuk membeli, meninjau harga atau mahu membaiki peranti masing-masing.

Perkara itu turut diakui oleh seorang pengusaha kedai komputer yang bercerita berdasarkan pengalaman, lebih-lebih lagi ketika awal tahun.

“Biasanya, awal tahun memang ramai yang datang nak cari laptop serta baiki. Pelajar yang baru nak masuk kolej dan universiti.

“Para isteri dan ibu tunggal yang mencari dan membantu suami menambah rezeki dengan berniaga dalam talian. Juga suami yang masih bekerja dan memerlukan komputer atau laptop.

“Para guru yang kadang-kadang membawa laptop dah lunyai. Terkopak sana sini namun nak ‘upgrade’ untuk memudahkan kerja,” tulis Muhammad Abu Hurairah Roslan di Facebook.

Seorang pekerja membaiki komputer riba. -Gambar hiasan

Mengimbas kembali awal pembabitannya sebagai penjual dan tukang baiki komputer riba, Muhammad Abu Hurairah berkata, ketika itu dia belum mempunyai kedai dan kurang pengalaman.

“Saya akan berjalan-jalan di kedai-kedai komputer. Sambil belek laptop, saya bertanya ada kerja kosong tak. Maaf, sini tak ada. You cari lain tempatlah,” ceritanya, mengimbas antara jawapan yang diterima di beberapa kedai.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider minta baiki skrin telefon, janji bayar ansuran RM10... Bos kedai komputer tersentuh terpandang lampu motor pecah, tempat duduk diikat

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai solat, pemuda sugul nak balik rumah fikir baki RM15.80 dalam akaun! Terkejut jemaah lain datang hulur RM200

Dia kemudian bertanya lagi di beberapa tempat sehingga akhirnya mendapat peluang untuk membaiki komputer riba di sebuah kedai meskipun upah yang diberikan cuma sedikit.

“Tak apa bos, janji ada kerja. Duit untuk anak isteri sikit,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu kepada pemilik kedai.

Seorang wanita mahu menghantar komputer ribanya untuk dibaiki. -Gambar hiasan

Ketika sedang bertugas di kedai berkenaan, katanya, datang seorang wanita bersama anaknya yang mahu menghantar komputer riba untuk dibaiki.

“Dia tanya pemilik kedai boleh tak baiki tapi dia tiada duit lagi. Pemilik kata 'Tak bolehlah, bayar dulu baru baiki. Saya tak sampai hati.

“Kebetulan kerja saya dah siap masa tu. Bos bagi RM35, tak apa saya okay saja. Saya kejar wanita itu yang dilihat dari satu kedai ke satu kedai tanya nak baiki,” katanya.

Kalau nanti Tuhan aturkan saya mampu buka bisnes, buka kedai, siapa pun datang nak membaiki, saya akan bantu.

MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN

Muhammad Abu Hurairah kemudian menegur wanita itu dan memperkenalkan diri sebelum menghulurkan bantuan.

“Rosak apa? Tak tahu, tak boleh on. Puas cuba dah. Saya ada kerja dalam tu. Tak boleh on, saya tak boleh hantar.

“Saya pun cuba on. Ya, tak boleh. Saya bawa puan ni ke tingkat atas. Ada meja kerusi boleh duduk. Saya cari charger. Duit yang dapat tu saya ke pembekal alat ganti komputer.

“Saya rasa macam charger rosak sebab saya cuba on dan lampu charger tak menyala. Saya beli charger dan hutang dulu baki, dan bawa ke puan ni,” katanya.

Muhammad Abu Hurairah membantu seorang pelanggan.

Wanita itu bersyukur kerana komputer ribanya dapat dibaiki dan tidak menyangka kos membaiki jauh lebih murah berbanding dengan caj yang dikenakan oleh salah satu kedai yang dikunjunginya.

Tadi orang tu kata motherboard. Mahal ya baiki sampai RM450. Periksa charger tak? Tak pula. Sebab akak rasa tak boleh on motherboard kot. Macam orang kedai tu cakap.

“Alhamdulillah syukur, selamat. Cuma duit saya dah habis, hutang lagi. Saya terus niat kalau nanti Tuhan aturkan saya mampu buka bisnes, buka kedai, siapa pun datang nak membaiki, saya akan bantu terutama anak yatim, ibu tunggal, duda, pelajar dan sesiapa saja yang susah. InsyaAllah, saya nak tolong mereka satu hari nanti.

“Alhamdulillah. Sudah beratus unit bantuan laptop diberikan. Terima kasih yang infak laptop juga. Walaupun laptop lama, ada sedikit kerosakan, namun baiki saja terus boleh guna,” katanya yang turut membantu membaiki komputer riba untuk mereka yang memerlukan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain