suria

Dakwa ramai terputus bekalan ubat HIV, individu lelong 6 set bekalan sendiri di media sosial... Akhirnya netizen berjaya bongkar identiti!

Penghidap HIV perlu patuh jadual ubat-ubatan untuk memastikan kesihatan mereka terjamin. -Gambar hiasan

SEORANG individu, dipercayai penghidap HIV dikecam gara-gara cuba menjual ubat hospital yang diberikan kepadanya menerusi laman X.

"Sejak ramai yang mengadu terputus ubat, Saya nak jual ubat-ubat saya yang belum dibuka.

"Lima set yang belum dibuka, satu set dibuka tapi hampir penuh. Saya tidak bertanggungjawab (terhadap) sebarang reaksi buruk," ciapnya pada Sabtu.

WhatsApp Image 2024-01-29 at 3.59.18 PM

Foto ubat yang dikongsi individu itu menerusi X.

Dia turut berkongsi sekeping foto, memaparkan 10 kotak serta tiga botol ubat untuk penyakit HIV.

Menyedari hal itu menerima reaksi negatif banyak pihak, individu berkenaan cuba mempertahankan tindakannya.

Dalam ciapan berasingan, individu itu berkata dia tidak risau akan sebarang tindakan undang-undang memandangkan belum ada sebarang bukti transaksi pembelian ubat itu.

"Jangan risau. Mereka tak ada bukti saya jual ubat-ubatan. Tiada pembeli. Pembayaran belum lengkap. Tiada akad," tulisnya lagi.

Sudahlah berhenti ubat HAART yang diberikan oleh doktor di fasiliti kerajaan, dia pergi jual pula ubat ni kepada orang lain.

DR KHAIRUL HAFIDZ ALKHAIR AMIN

Namun tindakan lelaki itu berkongsi foto bungkusan ubat tanpa menutup nombor siri pendaftaran menyebabkan ada netizen membuat carian bagi mendedahkan identitinya.

Malah, dia juga tidak menutup butiran maklumat pada pelekat ubat, sekali gus mendedahkan nama sebuah hospital kerajaan di Kedah.

Pengamal perubatan Dr Khairul Hafidz Alkhair Amin turut meluahkan rasa marah atas tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan.

"Saya cukup marah. Sudahlah berhenti ubat HAART yang diberikan doktor di fasiliti kerajaan, dia pergi jual pula ubat ni kepada orang lain. Dapat percuma kan? Ubat tu bukan murah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda hidap HIV berhenti salahkan Tuhan lepas dengar ceramah... Tak sangka ada pengakhiran baik untuk pendosa

ARTIKEL BERKAITAN: “HIV bukan jijik pun” - Persediaan dah buat, wanita buntu nak batal atau teruskan nikah jika bakal suami tak lepas ujian saringan

"Jika tak mahu ubat ini. Itu hak kamu. Ikutlah apa yang anda nak dengan hidup kamu, tapi ubat ini masih ramai yang memerlukan.

"Hantar balik ubat ini ke klinik kesihatan atau hospital. Bagi kepada orang lain yang mahu," ujar Dr Khairul Hafidz menerusi X pada Ahad.

HAART merupakan singkatan kepada Highly Active Antiretroviral Therapy, terapi yang digunakan untuk merawat jangkitan HIV.

Terapi ini melibatkan gabungan beberapa jenis ubat antiretroviral untuk menekan pertumbuhan virus HIV dalam tubuh dan mengurangkan viral load di dalam badan, membantu mengekalkan sistem imun tubuh dan mencegah perkembangan AIDS.

dr 1

Dr Khairul Hafidz turut membuat teguran terhadap individu itu.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati dan berharap pesakit tidak bertanggungjawab seperti individu itu dikenakan tindakan tegas.

"Biasalah Malaysian tak hargai benda free atau murah. Kena bayar mahal menggelupur cakap zalim tak bantu orang susah. Sakit-sakit pun perangai bukan main.

"Sekurang-kurangnya jika dia mengembalikannya ke farmasi, ahli farmasi boleh menilai dan memutuskan sama ada ia boleh diagihkan semula kepada pesakit lain. Ia ubat subsidi kerajaan, ini sepatutnya salah di sisi undang-undang," tulis netizen lagi.

Dalam perkembangan terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberi respons terhadap ciapan individu itu pada Isnin petang dan kes berkenaan sedang dipantau untuk tindakan selanjutnya.

"KKM memandang serius akan isu ini dan telah dipanjangkan ke pihak bermandat untuk tindakan selanjutnya," ciap pengendali media sosial KKM.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, iaitu undang-undang yang menghalang pengiklanan yang berkaitan dengan hal-hal perubatan dan mengawalselia penjualan bahan-bahan yang disyorkan sebagai ubat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain