suria

Semua benda nak rakam! Bakal mentua halang anak tunggal bercinta dengan gadis kaki buat content - “Makcik tak suka kamu”

Wanita ini kecewa selepas ditegur ibu kepada kekasihnya.

SIKAP ibu kepada teman lelaki yang suka cakap lepas membuatkan seorang wanita tawar hati untuk meneruskan hubungan mereka.

Menurut wanita dikenali sebagai Sofia, hatinya terguris dengan kata-kata ibu teman lelakinya ketika mereka bertemu di dalam kereta, baru-baru ini.

Berdasarkan rakaman video yang dikongsikan Sofia, kedengaran wanita berkenaan yang duduk di sebelahnya membebel tentangnya sikap suka berkongsi hal kehidupan di media sosial.

"Makcik tengok kamu ni tak habis-habis dengan content. Dedah sana, dedah sini. Kenapa ye?

"Kata ada latar belakang (pendidikan) sekolah agama. Dekat media sosial memang kena tunjuk ke?

Tangkap layar video dikongsikan di TikTok.

"Alif tu anak tunggal makcik tau. Anak harapan makcik," katanya kepada Sofia dalam nada teguran.

Tambah ibu teman lelakinya lagi, dia sangat tidak senang dan berat hati untuk membiarkan anak lelakinya menjalinkan hubungan cinta dengan Sofia.

Menurut si ibu, dia wajar mempertahankan anaknya yang dikenali sebagai Alif kerana pemuda itu adalah satu-satunya zuriat dalam perkahwinannya.

"Makcik tak suka kalau pasangan dia atau bakal isteri yang jenis suka bermedia sosial ni.

"Makcik tak suka kamu. Lepas tu tak tahu buat kerja apa. Alif memang dia ada gaji, berpendidikan," jelas si ibu itu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mentua bisik senyap-senyap, tegur potong sayur tebal sangat - “Kalau mama setengah sikit, senang makan”

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis merungut bakal mak mentua jenis cakap lepas, BF terus hilang sabar - “Mak aku tu, aku lempang kau nanti!”

Bebelan wanita berkenaan dapat didengari dengan jelas menerusi rakaman video yang dikongsikan Sofia di TikTok.

Difahamkan luahan hati ibu teman lelakinya itu berlaku selepas Sofia meminta kebenaran bagi merekodkan pertemuan mereka untuk dijadikan kandungan atau content media sosial.

Sungguhpun teguran itu dibuat secara tertutup tanpa kehadiran sesiapa, Sofia memilih untuk terus membuat rakaman dan mendedahkannya di media sosial.

Hingga kini rakaman itu meraih hampir 300,000 tontonan di TikTok selain ia turut dikongsikan semula di beberapa media sosial lain termasuk laman X.

Tak sokong makcik tu tapi kenapalah jumpa bakal mak mentua sampai nak buat content.

NETIZEN

Menerusi video sama, Sofia turut berkongsi aksinya sedang menangis selain tangkap layar mesej WhatsApp daripada Alif.

"Memilih untuk berpisah. Lama dah pendam sendiri. Mungkin dia adalah orangnya (calon suami) tapi wrong parents," tulis Sofia pada video tersebut.

Rata-rata warga maya bersimpati dengan nasib yang menimpa Sofia dan menasihatkan gadis berkenaan kuat berdepan ujian itu.

"Terasa sakit juga kalau kena dengan kata-kata macam ni.

"Nasib baik dapat tau awal dik, mujur. Allah nak tunjuk. Teruskan dik, semoga Allah jaga.

"Mujur tak kahwin lagi. Tak apa dik, undur diri lebih baik. Semoga jumpa jodoh yang baik-baik," kata beberapa pengguna media sosial memberikan nasihat.

Komen netizen pada hantaran dikongsikan di X.

Namun pada masa sama terdapat juga dalam kalangan netizen yang memahami maksud yang cuba disampaikan ibu teman lelakinya itu.

"Semua benda nak dijadikan content susah juga. Makcik tu hanya nak yang terbaik untuk anak dia, kalau tak boleh ikut jadi anda bukanlah pilihan.

"Tak sokong makcik tu tapi kenapalah jumpa bakal mak mentua sampai nak buat content. Kita manusia ni kena letakkan batas pada semua yang kita lakukan.

"Teguran macam ni perlu untuk menyedarkan. Hidup ni berkiblatkan content bahaya juga terutamanya apabila sudah berkeluarga.

"Ia seolah-olah hidup bersama pihak ketiga kerana kurangnya privasi dan mudah menyebarkan isi-isi hidup pada umum tak kira baik atau buruk," komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain