suria

Cucu nyanyi lagu Ahmad Jais, datuk terhibur siap tepuk paha ikut tempo! Ada yang saran ‘lebih baik mengaji’

Hin cuba menggembirakan datuknya yang terbaring di katil.

SATU kebiasaan apabila seorang cucu mesra dan mempunyai hubungan rapat dengan datuk atau neneknya.

Begitu juga Hinn Rashid, 30, yang cukup akrab dengan datuknya dan tidak segan silu menyanyikan lagu Menimbang Rasa dendangan Allahyarham Ahmad Jais di hadapan warga emas itu yang berusia 88 tahun..

Berkongsi cerita kepada mStar, jejaka ini berkata dia berbuat demikian untuk menggembirakan hati datuknya, Ramli Salim yang kini tidak berdaya untuk menguruskan diri sendiri.

"Atok saya tak ada penyakit kronik cuma sakit tua saja. Dia dah tak kuat sangat dari segi tenaga. Sekarang dah menjadi tugas saya dan adik untuk uruskan dia.

"Selepas mandi, siapkan dan beri makan kepada atok, saya akan pergi ke gerai untuk berniaga. Macam itulah rutin harian saya dan adik menguruskan atok di rumah.

Hinn (depan, kiri) bersama ahli keluarganya.

"Masa atok sihat, dia memang suka dengar lagu Ahmad Jais. Saya selalu dengar dia menyanyi dulu. Kebetulan masa tu tengok atok macam tengah bosan, jadi saya pun karaoke depan dia," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai video yang tular di TikTok, Hinn yang menjual air kopi dan pisang goreng cheese di Jasin, Melaka tidak menyangka video tersebut disenangi netizen.

Malah, ramai yang memuji keletah anak sulung daripada tiga adik beradik ini serta suaranya yang merdu menyanyikan lagu di hadapan datuknya yang terlantar di katil.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tak suka isteri jaga ibu sakit, suruh hantar ke pusat jagaan! Selamba gaduh, tunjuk kebencian depan mentua

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak Form 3 anak angkat jaga mak ayah sakit sampai hujung nyawa, 2 kali berhenti kerja... Umur 30 tahun dilantik jadi CEO 3 anak syarikat

"Mikrofon tanpa wayar tu saya pinjam adik ipar punya sebab memang suka berkaraoke. Ini kali ketiga saya menyanyi macam tu depan atok. Tapi lagu kegemaran atok sebenarnya Setahun Segunung Intan.

"Biasanya kalau saya nyanyikan lagu tu, dia ikut sekali. Sekali sekala hiburan kena ada. Tangan atok tu tepuk paha ikut tempo masa tu nampak sangat dia terhibur. Jaga orang tua bukanlah mudah.

Lagipun atok bukan sedang nazak nak pasang rakaman orang mengaji. Dia sihat tak ada sakit apa-apa.

HINN RASHID

"Perlukan kesabaran yang tinggi tapi saya bersyukur diberikan peluang untuk membalas semula jasa baik atok dengan menguruskan dia sekarang," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, jika diteliti ruang komen, terdapat netizen yang memberikan pendapat berbentuk sindiran dengan menyuruh Hinn mengaji, bukan berhibur.

Bagaimanapun, dia yang dibesarkan oleh datuk dan neneknya sejak berusia empat tahun ini tidak mengambil serius komen seperti itu.

Hinn menjual air kopi dan pisang goreng di Jasin, Melaka.

"Setiap hari memang datuk mengaji, dengar selawat dan solat. Lagipun atok bukan sedang nazak nak pasang rakaman orang mengaji. Dia sihat tak ada sakit apa-apa.

"Cuma sekarang dia sudah tidak kuat tenaga jadi apa salahnya saya hiburkan orang yang menjaga saya sejak kecil selepas ibu meninggal.

"Saya faham niat baik orang cuba nasihatkan tu sebab mereka bukan 24 jam dengan kami. Biasa selepas siapkan atok memang saya akan ingatkan dia segala tentang akhirat," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain