suria

Tiga beradik trauma tengok ibu derita terbakar depan mata... Si bongsu paling sedih, sangka mak masih tidur

Tiga beradik ini menetap bersama ibu saudara selepas kematian ibu mereka.

KISAH seorang wanita yang juga ibu kepada tiga cahaya mata maut akibat dibakar suaminya sendiri di Kampung Tinagalan, Sook, di Keningau, Sabah minggu lalu cukup mengejutkan ramai.

Lebih memilukan apabila tiga beradik perempuan malang itu tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka turut musnah terbakar.

Kini mereka terpaksa menumpang kasih dengan ibu saudara.

edy2

Edy berhasrat untuk membantu urusan persekolahan tiga beradik ini pada masa akan datang.

Simpati dengan nasib yang menimpa mereka, aktivis kebajikan Sabah, Adrian Edy, 28, meluangkan masa menziarahi tiga beradik itu pada Isnin.

"Sekarang tiga beradik itu tinggal dengan ibu saudara yang juga adik kepada mendiang ibu mereka. Yang sulung tingkatan lima tahun ini, yang bongsu pula tujuh tahun.

"Barang sekolah mereka rentung habis, tinggal sehelai sepinggang. Aunty yang jaga mereka pun dalam kategori susah juga. Aunty dan suaminya merupakan pekerja pembersihan sekolah yang memiliki 10 anak. Tambah tiga beradik ini, total dah 13.

Si bongsu kata ibu dia masih tidur... dia belum faham soal mati.

ADRIAN EDY

"Semasa lawatan, saya bawa bantuan barangan persekolahan untuk mereka. Saya juga akan teruskan bantuan lain seperti yuran dan sebagainya. Saya akan bantu untuk jangka masa panjang," ujarnya yang senang disapa Edy kepada mStar.

Dalam kunjungan itu, Edy berkata dia melihat tiga beradik itu masih sedih dengan kehilangan tragis ibu mereka, apatah lagi si bongsu kurang mengerti akan apa yang berlaku.

Namun kata Edy, tidak banyak yang dibualkan mereka kerana dia faham tiga beradik itu masih lagi terkejut.

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata bakal atlet negara! Remaja miskin berlatih pakai kasut buruk, pinjam raket kawan... Ibu minta lupakan sukan badminton

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan RM30 sehari, mekanik hanya mampu besarkan 12 anak dalam pondok buruk... Beras 10kg habis dalam masa 2 hari

"Nampak mereka masih blur dan sedih. Tapi paling sedih, si bongsu... kata ibu dia masih tidur. Dia belum faham soal mati. Apabila jumpa depan-depan, nampak mereka trauma.

"Mengikut cerita aunty mereka, tiga beradik itu nampak masa ibu mereka terbakar. Masa tu, mendiang sempat suruh mereka lari ke rumah aunty untuk minta bantuan.

"Tapi saya pun tak banyak tanya tentang peristiwa itu sebab tahu mereka masih trauma," ujar Edy yang banyak menjalankan kerja-kerja kebajikan di sekitar Sabah.

Menurut Edy, dia sendiri luluh mengenangkan nasib tiga beradik itu, namun berharap mereka mampu bangkit untuk meneruskan kehidupan demi masa depan.

edy

Pelbagai barangan persekolahan yang dibawa oleh Edy untuk tiga beradik itu.

"Selepas balik, mengalir air mata tengok gambar mereka. Masa umur macam ni, sepatutnya fikir hal sekolah saja. Tapi mereka kena hadap ujian besar ini. Sedih, sebab mereka masih kecil.

"Yang sulung tu cakap dia bercita-cita nak jadi polis. Yang nombor dua nak jadi cikgu. Saya pesan suruh mereka belajar rajin-rajin, nanti besar boleh bantu orang lain pula," ujarnya lagi.

Untuk rekod, mendiang ibu mereka maut selepas 16 jam dirawat di Hospital Keningau akibat akibat dibakar oleh suaminya.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Garai berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca akibat pertengkaran mulut antara pasangan berusia 50 dan 41 tahun itu dalam keadaan mabuk.

Suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain