suria

Umur anak 28 tahun, bapa masih hantar bekal di tempat kerja! Ibu elak masak ikan, bimbang susah nak makan

Shah merakam video ketika menerima bekal dihantar oleh bapanya.

LIMPAHAN kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak ternyata tiada batas atau sempadan.

Mereka sangat kasih dan prihatin dengan kehidupan anak-anak walaupun sudah meningkat dewasa atau berkeluarga.

Begitulah yang dirasai oleh seorang anak lelaki, Masaruddin Zaini apabila bapanya masih menghantar bekal makanan di tempat kerjanya walaupun dia sudah berusia 28 tahun seperti mana dapat dilihat pada video tular.

Shah (kanan) bersama ahli keluarganya.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Shah menjelaskan video itu dirakam ketika dia berjalan kaki untuk mengambil bekal makan tengah hari yang dihantar oleh bapanya yang datang menaiki motosikal.

Menurut Shah, dia bekerja di pusat beli belah Aeon Bandaraya Melaka, Melaka.

"Dari rumah ke tempat kerja saya makan masa 30 minit. Tapi ayah tetap boleh hantar bekal setiap hari untuk anak dia.

"Biasanya bekal makanan ini hanya diberikan kepada budak-budak sekolah je. Tapi dalam famili saya, kakak dah berkahwin pun dapat bekal. Termasuklah saya yang sudah tua bangka ni," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buat 2 set bekal, bagi duit belanja lebih... Rupanya kirim satu untuk kawan sekolah anak - “Ibu dia dah meninggal dunia”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa sedia bekal untuk anak setiap hari, tak sanggup tengok mereka lapar... cukuplah dulu catu makan! Duit ‘food emergency’ pun diberi

Shah yang bekerja sebagai perunding kecantikan berkata, sudah menjadi rutin harian buat bapanya, Zaini Abdullah, 62, menghantar makanan hampir setiap hari kepada anak-anak.

Jelasnya, bekal makanan yang dihantar sekitar pukul 2 petang itu disediakan oleh ibunya sebelum mula berniaga di Restoran Kenanga di Bandar Hilir, sekitar pukul 6 petang.

"Ayah memang tak pernah putus hantar bekal setiap hari kecuali hari Khamis sebab saya cuti. Ibu berniaga kuih-muih seperti karipap dan rengas (kuih kacang hijau) tapi dia tetap sediakan makanan berat khas untuk saya.

"Biasanya ibu sediakan masakan berasaskan ayam dan daging saja. Jarang sangat dia buat lauk ikan sebab banyak tulang nanti susah saya nak makan di tempat kerja.

Bagi saya, bawa bekal ke tempat kerja adalah satu benda menjimatkan masa dan termasuklah wang belanja.

MASARUDDIN

"Tapi setiap hari, lauk memang tak sama. Yang seronoknya, kalau ibu sangat rajin hari tu... dia akan masak juadah lain juga seperti bubur atau kuih untuk saya dan kakak," katanya lagi.

Video dikongsikan oleh anak ketiga daripada empat adik beradik ini meraih perhatian netizen yang kagum dengan kesungguhan bapanya.

Malah, mereka juga memuji anak jati Melaka ini yang berbangga menunjukkan momen manis menerima bekal daripada bapanya.

Ibu dan bapa Shah.

Bercerita mengenai video tersebut, Shah berkata dia sangat menghargai usaha ibu dan bapanya yang sentiasa menjaga kebajikan anak-anak walaupun sudah meningkat usia.

"Bagi saya, bawa bekal ke tempat kerja sangat menjimatkan masa dan wang belanja.

"Apatah lagi sekarang ni semua benda naik harga jadi lebih baik jika kita semua jadikan bawa bekal ke tempat kerja sebagai amalan.

"Paling penting sekali masakan 'air tangan' ibu kita ni bersih dan sedap. Jadi nasihat saya, janganlah malu untuk mula bawa bekal ke tempat kerja," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain