suria

Sesi pemakaian topi tinggi hijau jadi perhatian, ramai terfikir ‘sorting hat' Harry Potter... Rupanya sedang tabaruk

Tangkap layar menunjukkan dua lelaki dalam video berkenaan.

TIDAK dinafikan tedapat pelbagai adat, budaya dan kepercayaan diamalkan di dunia ini dan ada di antaranya kelihatan pelik.

Seperti yang tular di X baru-baru ini, perkongsian video memaparkan satu sesi, dipercayai ritual yang melibatkan dua individu menjadi perhatian netizen.

Dalam rakaman itu, kelihatan seorang lelaki dipakaikan topi tinggi berbentuk segi tiga berwarna hijau.

Sekali imbas, dia juga dilihat seolah-olah sedang mendapatkan rawatan daripada seorang lagi lelaki yang berada di hadapannya.

Topi yang dipakai pelakon dalam salah satu babak filem Harry Potter.

Apa yang dilakukan dua individu itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen termasuklah pelayar yang berkongsi video tersebut.

"Yang ni untuk apa?" tulisnya di ruangan kapsyen.

Jika diteliti ruangan komen, ramai yang ingin tahu lebih lanjut apa yang dilakukan mereka berdua tetapi ada juga yang menjadikannya bahan jenaka.

Turut menjadi bahan bualan netizen adalah bentuk topi tersebut yang dilihat seakan-akan sorting hat dalam filem antarabangsa popular, Harry Potter.

ARTIKEL BERKAITAN: Pamer koleksi jam, topi di luar rumah... ‘individu misteri’ tiba-tiba muncul depan pintu dah jadi perkara biasa

ARTIKEL BERKAITAN: Pegang payung, pakai topi, kibar Jalur Gemilang! Pelajar Form 4 keliru selepas minta gadis tak dikenali tolong rakam video merdeka - “Kepada Myra, terima kasih”

Menerusi filem berkenaan, topi tersebut digunakan untuk menentukan rumah bagi ahli-ahli sihir yang dilakonkan oleh Daniel Radcliffe dan artis lain.

"Hogwarts (sekolah dalam filem Harry Potter) cabang Asia Tenggara.

"Latihan imbang kepala untuk acara sukaneka tahunan, junjung pundi kacang.

"Macam mana orang yang tengok ni depan-depan boleh tak gelak. Kalau aku ada kat situ rasanya dah kena tendang keluar," antara komen netizen.

Barangkali menyedari amalan itu kelihatan asing dalam masyarakat kita, seorang individu tampil menjelaskan mengenainya.

Bertabaruk adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya memuat naik gambar atau video di media sosial.

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Menurut Rayhan Burhan, ia merupakan upacara mengambil keberkatan daripada peninggalan lalu.

"Ini hanyalah sekadar bertabaruk, mengambil berkat daripada kesan peninggalan para salihin," ujarnya.

Selain itu, Rayhan turut menjelaskan bahawa tiada nama khusus diberikan kepada topi yang digunakan.

Komen netizen pada ciapan di X.

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, dari sudut bahasa tabaruk berasal daripada perkataan 'berkat' atau barakah.

Jumhur ulama dari kalangan mazhab yang empat mengharuskan amalan bertabaruk dan ada juga sebahagian ulama lain yang tidak mengharuskannya.

Bagi ulama yang mengharuskan terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi seperti iktikad terhadap Allah dan bukannya terhadap barang atau individu, serta tidak meletakkan kaifiat-kaifiat tertentu yang tiada asas dalil.

Bertabaruk adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya memuat naik gambar atau video di media sosial, kerana boleh mengundang fitnah kepada mereka yang tidak memahaminya.

Berpada-pada dalam melakukan sesuatu perkara adalah amalan yang terbaik.

Setiap orang Islam perlu memahami bahawa keberkatan itu datangnya dari Allah. Keberkatan tidak datang daripada mana-mana benda atau individu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain