BANTU sesiapa pun yang berada dalam kesusahan, itulah niat badan kebajikan yang tidak berasaskan keuntungan. Namun badan bukan kerajaan (NGO) yang sering membantu masyarakat susah dan kurang berkemampuan juga tidak terlepas daripada kesulitan untuk beroperasi. Begitulah yang dirasai pengerusi eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), iaitu NGO yang menguruskan jenazah Muslim dan bukan Muslim di dalam dan luar negara. “Atas faktor yang sedang menekan dan semakin merosot ketika ini, saya dengan rasa rendah diri dan rasa malu yang teramat ingin memohon jasa baik tuan dan puan. "Agar sesiapa membaca tulisan ini untuk membantu saya bangkit kembali meneruskan perjuangan fardu kifayah dan madrasah tahfiz kemahiran ini,” luahnya di Facebook SPJM. Ustaz Rafie meluahkan masalah kewangan dalam mengendalikan SPJM dan madrasah. Bercakap tentang hal itu kepada mStar, Pengerusi SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, selain dana semakin berkurangan sejak setahun lalu, kemasukan sumber kewangan juga perlahan berbanding jumlah pengeluaran. Ini kerana katanya, kebanyakan kes kematian yang dikendalikan skuad itu melibatkan waris tidak berkemampuan terutama warga asing. Pada masa sama, madrasah yang ditubuhkannya sejak 2016 iaitu Maahad Tahfiz Nur Fattah, pula mengenakan yuran yang rendah untuk sekolah, asrama serta makan dan minum. “Namun banyak keluarga pelajar yang kurang berkemampuan. Saya tidak pernah minta atau menghantar notis untuk mereka membayar yuran. “Kos operasi ditanggung sepenuhnya saya sendiri atas dasar dakwah kepada golongan pelajar yang tercicir daripada sudut akademik,” katanya ketika dihubungi. SPJM menguruskan jenazah siang dan malam. -Gambar FB SPJM Tambah beliau sekolah tahfiz berkonsepkan kemahiran di Taman Melawati, Kuala Lumpur itu turut menempatkan pusat operasi SPJM. ARTIKEL BERKAITAN: Jual motor demi ziarah arwah anak di Madinah! ‘Rezeki’ hotel dekat tanah perkuburan, syahdu kejadian di pusara sebelum pulang ARTIKEL BERKAITAN: Suami jual motor nak berniaga air balang di bazar, baru mula bisnes dah sakit seminggu... isteri harap dapat balik modal sebelum raya Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, dia mengakui ketika ini pendapatan perniagaannya agak sederhana, manakala dana pengurusan SPJM dan madrasah semakin merosot sejak enam bulan lalu. “Saya menggunakan simpanan peribadi dan saya tidak mengambil gaji untuk diri sendiri. Oleh kerana saya jarang membuka tawaran sumbangan untuk kos operasi SPJM, maka dana sumbangan juga semakin berkurang melainkan sumbangan diterima daripada mereka yang memang ikuti rapat perjalanan skuad,” ujarnya. Pelajar tahfiz mendalami ilmu di madrasah. -Gambar ihsan Ustaz Rafie Ustaz Rafie berkata, pihaknya memerlukan dana pengurusan untuk madrasah dan SPJM sekurang-kurangnya RM30,000 sebulan untuk kos operasi. Ia tidak termasuk isu kerosakan van sama ada di ibu pejabat di Kuala Lumpur atau negeri serta memerlukan kos besar untuk baik pulih termasuk cukai dan insurans bagi van komuniti. Bagi menampung kekurangan dana, dia mendedahkan bertindak menjual beberapa perabot dan kelengkapan rumah miliknya seperti peti sejuk, mesin basuh dan mesin pengering baju. Kenderaan SPJM yang digunakan untuk pengurusan jenazah dan hal kebajikan. Bukan sekadar itu, buku-buku tulisannya turut dijual dan barang kemas digadai sebagai alternatif dan Ustaz Rafie kini dalam pertimbangan untuk menjual motosikal kesayangan. “Motor tu jenis Kawasaki Versys X dibeli pada 2019 untuk aktiviti dakwah dan ceramah dan saya merancang untuk menjualnya. Sedih juga kerana saya seorang sentimental value. Saya akan terus bertahan kerana yakin rezeki Allah tetap ada. MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID “Kereta pertama saya iaitu Perodua Viva pun masih dijaga dengan baik dan jika terpaksa saya juga kena akur untuk melepaskannya,” kata bapa kepada lima cahaya mata itu. Tambahnya lagi, pengorbanannya itu demi persediaan dana pengurusan sempena bulan Ramadan akan datang termasuk membayar gaji dan elaun staf syarikat. Ustaz Rafie (baju merah) bersama pasukan SPJM. Ustaz Rafie yang kini mengikuti Ijazah Sarjana Pengajian Islam di sebuah institusi di Kota Semarang, Indonesia sejak tahun lalu berkata, kos pengajian ditanggungnya sendiri dan masalah yang dihadapi kini hanya berkaitan dengan pengurusan SPJM dah madrasah. “Sebolehnya saya ingin bertahan untuk menjaga kedua-dua institusi pendidikan dan kebajikan ini. Latar belakang pendidikan saya adalah pelbagai. “Jadi saya ingin menyalurkan ilmu pengetahuan dan pengalaman saya ini pada kedua-dua entiti ini kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada jiwa saya. “Sungguh, ujian kewangan kali ini sangat berat ditanggung dan saya akan terus bertahan kerana yakin rezeki Allah tetap ada. Dia hanya menguji kami sebentar saja. “Semua ini pasti akan berlalu dan keadaan akan segera kembali pulih seperti sebelum ini,” katanya yang merayu orang ramai menghulurkan bantuan kepada SPJM dan madrasah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube