suria

Minta masakkan nasi goreng, suami dijemput ajal tanpa sempat jamah air tangan isteri

Nasi goreng adalah hidangan terakhir yang diminta oleh arwah suami Maizurah sebelum meninggal dunia.

SEPERTI mana hasrat setiap individu yang mahu bersama pasangan masing-masing sehingga ke hujung usia, begitu juga dengan wanita ini.

Namun takdir Yang Maha Esa mengatasi segala-galanya.

Hanya sempat hidup bersama selama kira-kira dua tahun setengah, wanita ini reda apabila suaminya terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.

Mengimbas kembali detik yang tidak mungkin dilupakannya seumur hidup, menurut Maizurah Misli, suaminya, Khairul Adha Basing @ Basir menghembuskan nafas terakhir ketika dalam tidur.

"Malam itu tanggal 2 November 2022, suami sedang menunggu abang ipar untuk bawanya ke hospital. Sebelum itu, arwah dah dua hari cuti sakit.

"Dia nak dapatkan rawatan di hospital. Waktu itu simptom-simptom penyakitnya langsung tak ada.

"Sementara tunggu abang ipar sampai, dia minta saya masakkan nasi goreng. Arwah memang suka apa saja nasi goreng masakan saya, tapi malam itu saya buat nasi goreng cili kering.

suami 2

Gambar kenangan Maizurah bersama arwah suami dan anak tunggal mereka.

"Sambil masak saya tengok dia main dengan anak tunggal kami, Mirzal Akeef, yang ketika itu berusia setahun lima bulan. Beberapa minit selepas siap masak, saya tengok dia tertidur," kongsi Maizurah kepada mStar.

Menyangka suaminya terlelap, Maizurah berkata dia mengejutkan lelaki itu berkali-kali namun tiada respon.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudu pun tak alih... Sambal ayam arwah ibu belum terusik, 4 tahun dalam peti sejuk! - “Biarlah saya simpan hingga pinggan retak”

ARTIKEL BERKAITAN: Kiub tomyam jadi kenangan, anak bongsu simpan walau tamat tempoh... Terkilan tak sempat rasa air tangan arwah ibu

"Saya fikir dia pengsan... masa tu saya dah start panik. Tangan dan kaki saya kebas. Saya minta tolong jiran untuk bawa suami ke hospital.

"Dalam hati, saya berdoa tiada apa yang buruk menimpanya. Namun alangkah sedihnya bila sampai hospital, doktor beritahu suami sudah tiada.

"Baru sejam yang lepas dia minta nasi goreng. Tapi tak sangka dia pergi dulu tanpa sempat jamah," ujarnya yang enggan berkongsi lanjut mengenai penyakit arwah suaminya.

Maizurah yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata ini menambah, dia mengambil masa sehingga enam bulan sebelum mempunyai kekuatan untuk menyediakan apa sahaja hidangan nasi goreng.

Nasi goreng cili kering, juadah terakhir permintaan arwah, masih belum saya buat hingga sekarang.

MAIZURAH MISLI

ISTERI

"Anak pula sama macam arwah abahnya, suka makan nasi goreng. Enam bulan lamanya barulah saya boleh masak nasi goreng semula.

"Tapi nasi goreng cili kering, juadah terakhir permintaan arwah, masih belum saya buat hingga sekarang," ujarnya.

Maizurah berkata, sama seperti kebanyakan wanita lain yang kehilangan pasangan, dia juga mengambil masa untuk menerima kenyataan dan reda apatah lagi mereka hanya sempat bersama untuk tempoh yang singkat.

"Anak dan keluargalah sumber kekuatan saya. Tengok muka anak, saya kuat. Inilah amanah yang arwah tinggalkan untuk saya jaga.

"Saya banyak tunjukkan gambar dan cerita pasal arwah kepada anak. Sekarang dia dah berumur hampir tiga tahun... dah faham apa yang kita cakap," katanya lagi.

komen 1

Netizen turut sama sebak membaca perkongsian kisah Maizurah.

Tidak menyangka videonya meraih sehingga 313,000 jumlah tontonan, Maizurah berkata dia sekadar mahu mengabadikan kenangan di media sosial untuk tatapan pada masa depan.

"Ramai juga kongsi kisah yang sama. Secara tak langsung, komen-komen mereka dapat menguatkan lagi semangat saya.

"Buat yang masih mempunyai pasangan atau orang tersayang, hargailah mereka selagi masih ada. Rakamlah video atau gambar sebanyak mungkin sebab kita tak tahu siapa yang akan pergi dulu," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain