suria

Bengang, menyesal support! Pelanggan ‘ajar’ peniaga bazar tak pandai masak, bagi reviu paling jujur - “Langsung tak sedap kak”

Seorang pelanggan kecewa membeli rojak di bazar Ramadan. -Gambar hiasan (kanan)

KEPERCAYAAN pelanggan terhadap peniaga yang menjual makanan di bazar Ramadan semakin 'tipis' saban tahun.

Mana tidaknya, tahun ini saja hampir setiap hari dapat kita lihat pelbagai rungutan pelanggan dikongsi di media sosial gara-gara tidak puas hati dengan kualiti makanan yang dibeli.

Hafifi Izzuddin menerusi satu hantaran di Facebook membuat satu posting 'lepas geram' terhadap sikap peniaga di sebuah bazar Ramadan dipercayai di Johor.

Banyak rungutan mengenai kualiti makanan dijual di bazar Ramadan. -Gambar hiasan.

"Kak, kalau tak pandai masak jangan la berniaga kat bazar. Kasihan dekat orang yang berpuasa," ujarnya yang membeli rojak daripada seorang peniaga perempuan.

Menurut Hafifi, dia bagaimanapun berasa keliru dengan rojak yang dibeli kerana kuahnya terlalu cair dan rasanya masin.

"Mana ada kuah rojak cair macam ni kak. Sudah la cair, lepas tu masin kak. Ni rojak manis ke rojak masin kak.

"Kalau rojak masin, akak gantung la banner rojak masin. Baru la saya tahu oh rojak masin. Saya tak makan rojak masin. Jadi saya tak beli la kak," tulisnya dalam posting yang tular.

Katanya lagi, dia membeli daripada peniaga berkenaan kerana mahu menunjukkan sokongan terhadap mereka yang mencari rezeki di bazar pada bulan Ramadan.

Ternyata, niat murninya itu hanya berakhir dengan rasa marah. Lebih sakit hati apabila kedai rojak kegemarannya hanya terletak di medan selera berhampiran bazar tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sejuk macam masak semalam” - Serik beli makanan tak kena dengan tekak, dah setahun individu ini boikot bazar Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga sedekah tepung pelita tak laku ke pusat tahfiz... Guru sebak anak didik diberi makan makanan hancur

"Sudah terang-terang dekat medan selera Angsana ada rojak yang memang betul-betul sedap. Tapi sebab nak support bazar, saya beli daripada akak. Sekarang saya yang menyesal," katanya lagi.

Sebagaimana dijelaskan dalam posting, Hafifi menegaskan bahawa rojak yang dibeli langsung tidak menepati cita rasanya.

Reviu ikhlas saya, langsung tak sedap kak.

HAFIFI

Dalam hantaran sama, lelaki ini turut memberi cadangan kepada peniaga rojak tersebut.

"Sebelum berniaga, cuba la dapatkan reviu kak. Kumpulkan lima orang kawan. Bagi kawan-kawan makan dan rasa. Kalau sedap nak takut apa kan.

"Kalau kurang sedap, sekurang-kurangnya boleh diubah dan belajar cara nak sedapkan... kan kak? Tapi kalau tak sedap, akak masak buat suami je la kak.

"Reviu ikhlas saya, langsung tak sedap kak," ujarnya dalam hantaran itu.

Hantaran yang dibuat meraih lebih 2,300 tanda suka dan lebih 580 komen selepas dikongsikan di Facebook.

Komen netizen di Facebook.

Di ruangan komen rata-rata netizen dilihat dapat menyelami rasa bengang Hafifi sebagai seorang pelanggan apabila berdepan peniaga yang tidak menjaga kualiti makanan.

"Kadang-kadang kita persoalkan kenapa orang post aduan tentang makanan bukankah lebih baik beritahu je dengan peniaga tu sendiri. Tapi kita lupa tahap penerimaan seseorang tentang sesuatu perkara tak sama.

"Saya kira orang yang post aduan makanan ni memang dah tahap tak tahan sangat dah. 'Meletup'. Sudah la berpuasa cuaca panas. Tekanan kerja, harga makanan semua naik jadi kita hormati saja posting seseorang.

"Semoga hari esok dapat makanan yang sedap dan berbaloi, Insya-Allah amin," demikian komen beberapa pelayar di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain