suria

Si bulus boleh diharap jadi penunggu rumah masa raya, hebat pula memburu - “Keliru Miko ni kucing ke anjing”

Miko merupakan kucing daripada kacukan baka British Short Hair, Kinkalow dan Munchkin.

BAGI pemilik kucing, salah satu kebimbangan utama adalah mereka terpaksa meninggalkan si bulus kesayangan di tempat penjagaan ataupun 'hotel kucing' apabila mahu pulang beraya ke kampung halaman.

Bukan tidak boleh ditinggalkan di rumah, namun dikhuatiri si bulus kelaparan akibat tidak cukup makan, menjadi mangsa haiwan lain ataupun membuat onar di dalam rumah.

Namun si bulus kesayangan milik Nor Ikhwan Sulong ini agak unik dan berbeza kerana ia boleh 'diharapkan' untuk menjadi penunggu rumah ketika pemiliknya pulang berhari raya.

MIKO 3

Biarpun aktif di waktu siang, Miko merupakan kucing yang sangat manja.

"Miko ni survivalnya sangat tinggi. Kalau setakat tiga hari tu, 'kacang' je ia survive. Tinggal je dalam rumah... yang penting sediakan makan minum dan pasir yang mencukupi.

"Saya dan isteri pun paling lama tiga hari sahaja pulang beraya di kampung. Kalau perlu bercuti agak lama, barulah hantar ke rumah adik-beradik ataupun boarding.

"Tak perlu risau pasal rumah sepah sebab Miko ni sebenarnya pembersih. Tak ada makanan atau pasirnya berterabur dan rumah pun tak pernah macam tongkang pecah sepeninggalan kami," ujarnya yang menetap Johor Bahru.

Bercerita mengenai si bulusnya yang mempunyai kacukan British Short Hair, Kinkalow dan Munchkin, Nor Ikhwan berkata dia tidak dapat melupakan peristiwa di mana Miko merosakkan langsir yang dipasang sempena menyambut Aidilfitri tidak lama dulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah tak bawa ‘ahli keluarga’ beraya di kampung, wanita terpaksa hadap rumah macam crime scene... lantai tiba-tiba ada corak

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa suruh janji, kan dah ‘kejung’ merajuk! Pramugari bingung kucing marah baju raya tak sedondon - “Ni haiwan ke manusia?”

"Isteri saya excited pasang langsir awal sempena nak raikan hari raya. Baru je pasang, malam tu langsir dah jahanam dicakarnya.

"Sudahlah bayar dengan kaedah SPaylater dari Shopee. Belum sempat nak melaram langsir baru, bayar pun belum tapi member dah buat onar," ujarnya berseloroh.

Pernah beberapa kali saya nampak longgokan lipas dan cicak yang mati. Rupanya itu kerja Miko.

NOR IKHWAN

Biarpun nakal, Nor Ikhwan berkata Miko merupakan 'pemburu' yang sangat mahir sehinggakan tiada haiwan atau perosak di dalam rumahnya.

"Pernah beberapa kali saya nampak longgokan lipas dan cicak yang mati. Rupanya itu kerja Miko. Bukan itu saja, ia beberapa kali pernah bunuh lipan.

"Burung gagak pun dikejarnya. Saya ni penjual daging salai depan rumah, jadi burung gagak tertarik dengan bau darah. Miko yang selalu lepak depan rumah akan kejar burung-burung ni.

"Confuse pula Miko ni kucing ke anjing. Tapi siang je ia macam abang kawasan, malam automatik jadi manja sebab ia pasti tidur dengan saya.

"Pendek cerita, ia nakal tapi ia adalah kucing idaman saya," cerita lelaki berusia 39 tahun ini lagi.

MIKO 2

Nor Ikhwan (tengah) dan keluarga bergambar kenangan bersama penunggang basikal dari Indonesia.

Tidak menyangka perkongsian mengenai Miko di laman X mengundang perhatian warga maya, Nor Ikhwan berkata dia gembira kerana kisah Miko sedikit sebanyak menghiburkan orang ramai.

"Saya saja je kongsi di laman X... baru-baru ni banyak kisah sensasi, jadi saya saya selitkan kisah lucu.

"Seronok apabila baca komen ramai yang terhibur dengan gelagat Miko malah ada yang turut berkongsi kisah si bulus masing-masing juga," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain