suria

Pemuda tenang disindir ‘ketinggalan’ tak bisnes online... Penat tapi ‘masyuk’ hantar laptop ke rumah pelanggan buta IT

Banyak dugaan dan ujian mendatang dalam kita mencari rezeki. - Gambar hiasan.

MUNGKIN bagi sesetengah orang berniaga dalam talian (online) lebih mudah dan cepat untung berbanding kekal menjual sesuatu dengan kaedah lama.

Sebenarnya, susah atau senang sesuatu pekerjaan itu bergantung kepada penerimaan dan cara ia dilakukan kerana setiap pekerjaan khususnya berniaga tetap mempunyai cabaran tersendiri sama ada dilakukan secara online atau sebaliknya.

Seorang pemuda berkongsi cerita disindir dan dipandang rendah oleh rakannya kerana masih menggunakan cara lama menjual komputer riba yang dilihat memenatkan dan membuang masa serta tenaga.

"Bu, kau masih buat kerja hantar-hantar laptop ke? Saya cuma jawab 'ya' sambil tersengih melihat dia. Fuh, penat tu naik tangga, turun tangga. Buat dekat TikTok sahaja, duduk-duduk sale masuk.

WhatsApp Image 2024-04-19 at 12.16.48

Seorang lelaki sanggup bersusah payah pergi bertemu pelanggannya berbanding berniaga online. -Gambar hiasan

"Katanya saya buang masa, biar pelanggan datang kepada kita. Zaman berniaga dah lain sekarang. Saya dengar saja. Habis tu saya terangkan apa saya buat," kata Abu Hurairah Roslan dalam satu hantaran di Facebook.

Memberi penerangan, Abu Hurairah berkata dia bukan sekadar menjual laptop tetapi perlu membantu mengajar pelanggannya yang 'buta IT dan teknologi' termasuklah kumpulan warga emas.

"Pelanggan saya tak macam pelanggan yang lain. Pelanggan saya kebanyakan orang tua-tua, pelajar, ibu tunggal. Mereka ini bab teknologi memang 'kosong'.

ARTIKEL BERKAITAN : Pemuda saran sekat TikTok! Penjual online jual harga terlajak murah demi untung ‘ciput’, ramai peniaga premis ‘bungkus’

ARTIKEL BERKAITAN :Realiti di TikTok! Layan pembeli sampai tak tidur, berdiri 5 jam buat reviu... wanita ini bukan suka tapi trauma bila ramai ‘lock’ baju dijualnya

"Contohnya, seorang makcik ni dia nak belajar mengaji online. Nak dengar ceramah, kalau tengok dalam telefon skrin kecil, jadi nak guna laptop tapi tak pandai. Tak tahu nak guna, dia minta ajarkan sekali. Dan pelanggan begini memang tak berkira berapa pun dia nak bayar.

"Beli laptop RM1,099, duduk ajar dalam 15 minit dan terangkan semua. Bookmark siap-siap channel YouTube mana yang makcik ni suka, jadi bila buka laptop, guna terus sahaja," kongsi lelaki itu.

Menerusi perkongsiannya, dia turut memberitahu tidak meminta sebarang upah kerana niatnya hanya mahu menolong makcik-makcik yang dianggap seperti ibunya sendiri.

Malah, katanya, rasa empati itu melebihi keinginannya untuk mendapat untung dalam jual beli.

Katanya saya buang masa, biar pelanggan datang kepada kita

PENJUAL LAPTOP

Namun, tanpa disangka keikhlasannya menghulurkan bantuan seperti itu sering membuka rezeki apabila ada dalam kalangan pelanggannya dengan rela hati memberi upah walau tidak diminta.

"Tapi makcik ni bagi berapa? Tenang dia buka beg duit, seluk dan tarik beberapa keping duit biru dan bagi. Terkejut saya! Makcik, banyak ni. Ambillah, anak sahaja yang nak datang tolong makcik.

"Untung laptop satu, upah RM300 satu. Dah cukup lima rumah saya pergi buat servis ni, Alhamdulilah RM1,500 hingga RM1,800 dalam tangan dah ada," jelasnya lagi.

Abu Hurairah berkata cara dia berniaga, iaitu menjual di kedai dan pergi menghantar laptop kepada pelanggan dianggap sebagai satu khidmat kecil tetapi mungkin besar ertinya buat orang lain.

WhatsApp Image 2024-04-19 at 12.16.50

Masih ada individu yang tidak tahu menggunakan laptop pada masa kini. -Gambar hiasan

"Ada yang takut keluar nak beli laptop, tak biasa dan tidak tahu jadi saya datang dan hantar. Pelanggan rasa seronok dan untuk itu mereka tiada masalah nak membayar lebih.

"Betul, jual dalam talian lebih mudah, namun selagi Allah hidupkan dan beri kekuatan, inilah yang saya lakukan. Seronok tengok makcik mengaji online, seronok lihat pakcik beli untuk tengok ceramah dan suka saya lihat ibu-ibu ni belajar guna laptop dan cari pendapatan.

"Moga dengan menghiburkan orang lain Tuhan jaga anak isteri saya, jaga ibu ayah saya dan semoga Tuhan rahmati ahli keluarga dan sahabat saya. Saya kekal pegang satu perkara 'memberi tak pernah mengurangkan apa yang kita bagi'," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain