suria

Suami gaji 5K ‘struggle’ bahagiakan isteri kerja PTD! Sanggup kikis duit TH bapa demi penuhi selera kayangan bini

Lelaki diuji dengan pelbagai dugaan termasuk tumah tangga. -Gambar hiasan

MEMPUNYAI pasangan yang memahami dan saling melengkapi merupakan kunci kebahagiaan rumah tangga.

Sebagai isteri, sudah tentu mahukan suami yang bertanggungjawab dan tidak culas dalam memberi nafkah serta kasih sayang.

Namun bagi seorang lelaki, sikap si isteri yang mahu segala-galanya secara berlebihan membuatkan dia berasa kurang selesa.

Suami tidak culas dalam memberi nafkah. -Gambar hiasan

Menurut lelaki itu, dia merupakan pengurus di sebuah syarikat, manakala isteri pula pegawai tadbir diplomatik (PTD) di salah satu agensi kerajaan.

“Masalah isteri aku ni, dia tak nak berkongsi apa pun gaji dia. Ya aku tahu memang dia tak patut tolong pun. Dia akan berkeras yang suami patut keluarkan semua perbelanjaan.

“Tapi masalahnya taste dia macam 'anak Datuk'. Nak kereta BMW, rumah banglo, jadi semuanya aku dapatkan dan aku kena bayar.

“Isteri aku ni juga suka sangat bawa anak aku macam ke Legoland, Genting Highlands atau tempat-tempat yang mahal-mahal, atas alasan kasihan kat anak. Tapi memang aku yang kena keluarkan perbelanjaan,” katanya yang dikurniakan empat cahaya mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah RM1,000 tak cukup! Isteri kecewa suami baru dapat bonus hanya hulur sikit, ungkit cerita 9 tahun banyak keluar duit

ARTIKEL BERKAITAN: Sedih dapat isteri pemalas tapi selera kayangan! Gaji 7K tak cukup, serba serbi nak mewah

Menerusi satu luahan di grup Facebook, dia mendedahkan menerima gaji bulanan kira-kira RM5,000 tetapi perbelanjaan bulanan melebihi daripada yang sepatutnya.

Suami terpaksa meminjam wang daripada bapanya sendiri. -Gambar hiasan

Akibat selera ‘kayangan’ isteri, dia mendakwa terpaksa meminjam wang daripada bapanya sendiri termasuk membuat pinjaman ah long sebagai jalan penyelesaian.

“Aku selalu pinjam duit abah aku. Walaupun dia tak ada duit, duit untuk abah aku pergi haji pun aku pinjam, tapi memang aku tak bayar balik.

“Aku juga pinjam ah long, bila aku tak dapat bayar aku terpaksa ugut nangis-nangis pada bapa aku untuk tolong bayarkan hutang aku pada ah long.

“Bapa aku bekas cikgu, dia ada simpanan di Tabung Haji. Habis semua aku belanjakan dengan bayar hutang dan bawa famili aku makan di tempat mahal. Memang aku rasa tak perlu pun, tapi aku terpaksa untuk membahagiakan isteri aku,” ujarnya.

Suami kena tahu beza keperluan dan kehendak isteri.

NETIZEN

Menurut lelaki itu, apa yang dilakukannya selama ini bukanlah semata-mata untuk mengikuti kehendak dan kemahuan isterinya, tetapi kerana sayangkan anak-anak.

“Aku cuma tak nak anak kami dipukul oleh isteri aku, dan aku tak nak bercerai dengan dia. Aku tak faham kenapa isteri aku ni beria nak jaga status dia untuk hidup mewah macam ni.

“Sebelum kahwin dia memang okay je, tapi selepas dia dapat jadi PTD ni ego dia betul-betul membuatkan aku kecewa,” katanya tanpa menjelaskan punca isterinya memukul anak-anak.

Lelaki membuat pengiraan perbelanjaan bulanan. -Gambar hiasan

Kekangan kewangan yang dihadapi dek kerana gaya hidup mewah isteri membuatkan dirinya semakin terhimpit dan buntu untuk terus mencari jalan penyelesaian.

“Sekarang ni aku buntu nak selesaikan perkara ni, duit abah aku pun dah makin susut. Akak dan abang aku pun kecewa dengan sikap aku,” katanya mengakhiri bicara.

Niat mahu meluahkan bagi meraih sokongan, lelaki itu bagaimanapun mendapat kritikan hebat daripada netizen yang tidak bersetuju dengan caranya membahagiakan isteri.

“Jadi suami kena pandai membimbing. Bukan turutkan je kehendak bini sampai hidup huru-hara.

“Memanglah tanggungjawab suami sara keluarga. Tapi suami pun kena tahu beza keperluan dan kehendak. Benda material dan hiburan awak tak mampu nak tanggung, kena bertegas jadi suami.

“Sayang awak tu telah mengaburi mata awak. Seharusnya awak tegas sebab awak suami. Masih belum terlambat untuk perbaiki keadaan. Mungkin sampai tahap lepaskan seorang daripada awak terlepas segalanya seperti ibu dan ayah,” komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain