KEHADIRAN si bulus sebagai haiwan peliharaan sudah tentunya akan disayangi seperti sebahagian daripada keluarga. Namun pastinya merisaukan hati apabila kucing kesayangan secara tiba-tiba berkelakuan pelik seolah-olah sedang jatuh sakit. Begitulah kisahnya melalui satu video tular di laman TikTok, apabila seekor kucing jenis British Short Hair (BSH) disyaki mengalami gangguan mistik. Kucing yang berusia dua bulan ini dikatakan berkelakuan di luar kebiasaan. Menerusi video tersebut, kelihatan kucing yang diberikan nama Bob itu menggeliat badannya ke kiri dan kanan, mirip pergerakan seekor ular dalam keadaan zig-zag. Bercerita lanjut kepada mStar, Faizah atau senang disapa Bella, 38, berkata dia menyedari Bob mula berubah sikap selepas anaknya pulang dari kem latihan di Besut, Terengganu pada 28 April lalu. "Apabila anak sampai rumah dari kem, dia duduk rehat sekejap atas lantai. Apabila anak bangun, Bob pergi hidu tempat yang dia duduk tu. Kemudian Bob terus jadi tak keruan. ARTIKEL BERKAITAN: “Yang tak baik datang rumah kita, kucing tanggung dulu” - Perawat ajar cara kesan jin pada Oyen, 9 ekor bulus mati kena sihir dituju kepada pemilik ARTIKEL BERKAITAN: “Dapat hantaran tapi bukan untuk dikahwini”- Bungkusan misteri... pemuda diminta siap sedia ‘dia’ dah nak datang "Badan dia jadi macam ular, tak boleh nak dikawal pergerakan. Jadi takut saya tengok, apabila teringat balik pun meremang bulu roma. Nasib baik waktu tu ada kawan Bob, nama kucing tu Wiwi yang datang tolong tenangkan. "Wiwi naik atas Bob dan jilat leher dia, baru Bob relaks sekejap. Sampai sekarang Wiwi selalu berkepit dengan Bob, seolah nak pantau dan jaga dia. Padahal sebelum kejadian ni Bob dan Wiwi tidaklah serapat mana. Wiwi juga kucing jantan macam Bob. "Tengok keadaan Bob macam ni sedih rasa, terus saya fikir ikhtiar untuk cuba berubat," kata Bella yang menetap di Kota Bharu, Kelantan. Syukur sebab ada Wiwi... kucing tu selalu datang tenangkan Bob dengan jilat leher. BELLA Menurut Bella, dia membawa Bob berjumpa veterinar dan juga pengamal perubatan Islam sebagai salah satu usaha merawat Bob. "Mula-mula saya bawa Bob jumpa veterinar, tapi apabila doktor periksa, dia kata Bob sihat je. Sebab waktu doktor diagnos, Bob boleh makan seperti biasa dan tidur pun tiada masalah. "Tak jumpa jawapan kenapa pergerakan Bob ada kalanya seperti ular. Ada yang cakap mungkin sebab Bob nak masuk musim mengawan, tapi saya tak rasa begitu, sebab kucing jantan kalau 'gatal' kelakuan dia bukan macam ni. Wiwi (kiri) yang berumur setahun dan Bob (kanan). "Kemudiannya saya bawa Bob jumpa seorang ustaz ni untuk tengok kalau ada gangguan. Selepas ustaz tu 'scan' Bob, dia cakap ada dua kemungkinan. "Mungkin ada sesuatu yang mengikut anak saya balik dari kem, kemudian 'benda' tu melekat dekat Bob atau ada orang hantar sihir dekat saya tapi Bob jadi penghalang," jelas Bella yang juga seorang peniaga. Mengikut nasihat perawat, Bella bertindak memagar kediamannya dengan menggunakan air penawar dan kerap mengamalkan bacaan ayat ruqyah. Bella memanjatkan sepenuh harapan agar Bob dapat pulih seperti sedia kala. Walau bagaimanapun, insiden seram tidak terhenti setakat itu apabila Bob kini mempunyai perlakuan aneh yang baharu. "Alhamdulillah selepas saya dah pagar rumah, Bob berhenti jadi ular. Tapi sekarang, waktu saya tidur Bob suka datang dekat saya, naik atas badan dan buat bunyi 'grrrr' yang macam kucing marah tu. "Macam ada sesuatu dekat badan saya yang dia tak suka. Syukur sekali lagi sebab ada Wiwi. Kucing tu selalu datang tenangkan Bob dengan jilat leher. Wiwi macam tahu-tahu ada benda yang tak kena dengan Bob dan cuba jaga dia. "Untuk masa ni saya gunakan pendekatan wait and see, tengok apa jadi selepas ni untuk tindakan selanjutnya. Mohon doa semua agar keluarga saya baik-baik saja," kata Bella menoktahkan bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube