suria

Suami bawa diri tidur dalam stor, kepala ‘berat’ fikir masalah... Lepas dengar ceramah ustaz terus buang ego, balik cari isteri luah perasaan

Seorang lelaki mendengar ceramah di masjid. -Gambar hiasan

DUGAAN dan ujian setiap individu adalah berbeza-beza.

Luaran nampak tenang, tetapi hakikatnya ramai yang gemar menyendiri dan memendam perasaan tatkala berdepan masalah.

Seperti usahawan ini, dia tidak akan melupakan peristiwa lama apabila pernah tidur di dalam stor kerana dihimpit masalah sehingga isterinya datang mengejutkannya.

Setiap individu berdepan dengan ujian yang berbeza-beza. -Gambar hiasan

"Saya penat dan buntu. Saya tak tahu nak buat apa apabila semua kerja saya cuba, tak menjadi. Buat itu, habis situ. Buat ini, habis sini. Buat lagi, hasilnya tiada malah rugi.

"Saya dah tak suka balik rumah. Saya jadi orang yang lebih suka menyendiri. Rasa ego lelaki... begitulah.

"Masalah tak nak kongsi. Beban tanggung sendiri. Sakit simpan dalam hati," kata Muhammad Abu Hurairah Roslan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran ‘terpijak’ di tangga masjid... Peniaga laptop tak jangka ajakan pakcik tak dikenali solat Zohor berjemaah buka pintu rezeki!

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job

Menerusi satu hantaran di Facebook, Abu Hurairah berkata, sehinggalah pada suatu hari dia mendengar sendiri satu ceramah di masjid mengenai rumah tangga.

Siapa sangka ketika mendengar ceramah itu, ada sesuatu yang membuatkan dia tersentak sehingga teringatkan isteri tercinta secara tiba-tiba.

Seorang jemaah mendapat pengajaran selepas hadir ke masjid. -Gambar hiasan

"Seingat saya, tajuknya 'berkat dalam rumah tangga'. Satu bahagian yang cukup menyentap hati apabila ustaz ni beritahu tentang sifat suami yang rasa dia boleh selesaikan semua hal sendiri.

"Boleh buat itu ini. Lelaki... mestilah kuat dan punya ego sendiri. Tuan-tuan, kadang kita lupa nak berkongsi dengan isteri sendiri.

"Sebab kita rasa isteri kita ni tak boleh pun selesaikan masalah kita. Buat serabut lagi ada, kan? Ramai lelaki dengar menganggukkan kepala," ujarnya.

Ringankan berkongsi. Doa pasangan kita.

MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN

Meneruskan ceramah, ustaz berkenaan memberitahu bahawa terdapat satu perkara yang dilupakan oleh kaum lelaki tentang isteri masing-masing.

"Selepas kita cerita, luah, sampaikan pada isteri kita, maka di waktu kita lena tengah malam, dia bangun di waktu sunyi itu, dan mendoakan semua masalah kita pada Allah... Allahuakbar!

"Terus waktu ni saya teringat kat isteri. Terdiam dan sebak rasa hati," katanya yang mengimbas kembali kata-kata penceramah itu.

Menurut Abu Hurairah, dia pulang ke rumah selepas mendengar ceramah ustaz dan mula berubah menjadi suami yang suka bercerita dengan isteri.

Abu Hurairah berkongsi pengalaman membina rumah tangga bahagia bersama isteri.

Bukan sekadar itu, dia dan isteri juga rajin berbual dan berkongsi cerita ketika ramai yang sedang lena diulit mimpi.

"Nak tidur pun kami punya sembang sampai dua tiga pagi. Macam-macam yang kami kongsi. Kadang hal-hal kecil saja.

"Namun, selepas pillow talk tu, kami berdua jadi 'ringan kepala'. Saya dalam urusan saya. Isteri pun ada taska dan bisnes dia. Masing-masing ada masalah dan cerita.

"Insya-Allah. Saya doakan awak moga dimudahkan urusan. Saya pun doakan abang. Abang kuat dengan Allah tau. Kata-kata sedikit, doa yang membukit.

"Itulah ubat dalam sakit, ringankan berkongsi. Doa pasangan kita, dekat sangat dengan Allah yang Maha pengasih dan penyayang," katanya menitipkan pesanan di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain