suria

Isteri syukur suami kini ‘badut berduit’! Dah tak perlu beri anak minum sirap, selalu bawa keluarga pergi ‘overseas’

Salina setia bersama suami walau apa pun rintangan mendatang.

TIDAK kiralah apa sahaja kerja yang dilakukan seseorang untuk mencari rezeki, ia wajar dihormati selagi sumbernya halal.

Namun masyarakat masa kini cenderung mengagungkan pekerjaan korporat sehingga ada yang memandang rendah kerja-kerja lain yang dilihat tidak menjamin masa depan.

Melalui satu perkongsian di laman TikTok, seorang wanita dikenali sebagai Salina Aziz, 35, menceritakan tentang perkahwinannya dengan lelaki yang bekerja sebagai badut.

Keraguan sesetengah pihak tidak menghalang Salina dan suami untuk disatukan.

Menurut Salina, dari dulu sehingga sekarang tugas suaminya adalah menceriakan suasana di acara keramaian seperti sambutan hari jadi dan hari terbuka di pusat asuhan kanak-kanak.

Menyingkap permulaan kisah hidup mereka berdua, Salina berkata dia mengenali suami pada 2006 dan kini usia rumah tangganya mencecah 13 tahun.

"Ketika tu saya baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sementara tu saya kerja sambilan sebagai jurujual di sebuah butik pakaian. Pada masa yang sama suami bekerja di kedai sebelah.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna selfie sendiri ‘tundukkan’ pelanggan baran! Penghantar makanan ini terpaksa guna taktik unik demi cari rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh budak, umur dewasa! Kerja di pejabat disangka ‘anak ikut mak’... Pemuda hidup normal walau ada penyakit unik

"Dia kerap lalu-lalang di hadapan butik saya untuk pergi solat dekat surau. Saya suka tengok perwatakan suami pada waktu tu, nampak baik dan sejuk mata memandang dengan songkok yang tak pernah lekang dari kepala dia.

"Maka saya pun mulakan langkah pertama untuk mengurat suami, Alhamdulillah dipendekkan cerita kami berkahwin pada 2011. Selain jaga kedai, suami juga selalu ikut kawan dia jadi badut dekat event sebagai kerja part-time.

"Tapi bakat suami seperti tak dihargai, bayaran tak tetap dan rate tak berpatutan. Jadi lepas kahwin, saya minta suami gerak sendiri, saya jadi pembantu suami dalam kerjaya dia," kata Salina yang menetap di Bandar Kinrara, Selangor.

Syukur Alhamdulillah, setakat hari ni semuanya masih cukup untuk kami.

SALINA AZIZ

Salina yang pernah menuntut dalam jurusan seni dan reka bentuk berkata dia membantu suaminya membuat lukisan muka (face painting) dan bertanggungjawab memasarkan jenama yang dibawa mereka berdua iaitu Acik Amat Clown.

"Kepakaran face painting tu saya kembangkan sendiri berdasarkan beberapa asas yang saya belajar waktu zaman kolej dulu. Antara sumber saya adalah daripada video YouTube. Saya juga tolong buat marketing.

"Selain perkhidmatan badut, saya dan suami turut sediakan aiskrim, gula-gula kapas dan bertih jagung. Saya rasa kerja ni seronok kalau berurusan dengan pelanggan yang menghargai kehadiran kita.

Bapa borek, anak rintik.

"Sekecil-kecil perkara macam jemput makan dan ambil berat tanya keadaan kita pun dah cukup untuk hilangkan rasa penat ni. Manakala bagi suami sendiri, dia rasa puas kalau berjaya mengukir senyuman pada wajah kanak-kanak.

"Walaupun pada awalnya suami akui ada rasa takut dan malu kerana seolah-olah jadi bahan jenaka untuk tontonan orang ramai, tapi alah bisa, tegal biasa. Lama-lama okay juga," kata Salina yang suaminya menamatkan pengajian setakat Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Berbicara mengenai hubungan dengan keluarga, Salina berkata kedua-dua orang tuanya menerima baik suami kerana lebih memandang pada aspek budi pekerti.

Berkat rezeki, Salina sekeluarga dijemput menjadi tetamu Allah untuk menunaikan umrah.

"Mak ayah tak kisah suami mencari rezeki sebagai badut sebab bagi mereka kerja nombor dua, apa yang penting adalah layanan baik suami terhadap saya dan keluarga. Sikap sentiasa menjadi keutamaan mak ayah.

"Cuma ada la sesetengah makcik dalam kalangan kenalan dan keluarga yang suka menghakimi kami. Pemikiran mereka sedikit tertutup, macam tak yakin dengan kerja suami.

"Katanya kerja badut tak menjamin masa depan, kewangan tak stabil dan lebih baik makan gaji. Tapi syukur Alhamdulillah, setakat hari ni semuanya masih cukup untuk kami," kata Salina yang dikurniakan dua cahaya mata.

Salina turut berkongsi pendapatan bulanan dia dan suami sekali gus menyangkal persepsi segelintir masyarakat tentang pekerjaan sebagai badut hanya picisan.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

"Pendapatan setiap bulan kami ada naik turunnya sebab ikut permintaan pelanggan, tapi paling tinggi boleh cecah belasan ribu ringgit, paling rendah tak kurang RM6,000. Syukur sebab semua ni atas izin Allah.

"Sehari kami biasa dapat panggilan event dalam empat maksimum iaitu pagi, tengah hari, petang dan malam. Setiap event tu kiraan kasar boleh dapat dalam RM4,000 kalau pelanggan ambil banyak pakej.

"Kami hidup bukanlah terus senang macam sekarang, kalau imbas kembali waktu saya lahirkan anak sulung, suami tak cukup duit. Kawan-kawan suami yang tolong kumpul wang untuk bagi bantuan dekat dia.

"Nak bagi anak minum susu pun tak mampu, cuma boleh bagi air sirap. Dari situ suami dapat semangat untuk kerja keras supaya boleh stabilkan keluarga," kata Salina merendah diri.

Antara destinasi luar negara yang pernah dikunjungi Salina dan keluarganya.

Dengan limpahan rezeki yang dikurniakan, Salina berhasrat untuk membuka perniagaan tetap supaya mampu menjamin masa depan keluarganya.

"Suami pun tak nak buat kerja badut ni sampai tua. Sekelip mata je banyak benda boleh berubah seperti keadaan kesihatan kami, jadi lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

"Selain melabur dalam perniagaan, suami teringin nak melancong ke Turkiye manakala saya pula pasang impian untuk ke London dan Paris.

"InsyaAllah kalau ada rezeki, setakat ni boleh berangan dulu," ujar Salin berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain