suria

Suami nikah wanita mualaf cuma baik di depan, langgan pelacur masa isteri dalam pantang - “Dia tak nak sakitkan aku”

Suami patut menjaga isteri dengan penuh kasih sayang terutamanya ketika dalam pantang. -Gambar hiasan

"Dia sepatutnya bimbing aku, tapi dia buat aku macam ini."

Demikian luahan oleh seorang wanita mualaf apabila perkahwinannya diuji dengan masalah suami curang.

Memulakan cerita tentang kisah hidup, dia merupakan seorang wanita berbangsa Cina yang berkahwin dengan lelaki Melayu.

Selepas berkahwin dia dibuang oleh keluarga yang tidak bersetuju tindakannya memeluk Islam, namun masih kuat kerana suami dan keluarga mentua begitu baik dengannya.

Sepanjang tiga tahun perkahwinan dia berasa amat bersyukur kerana dikurniakan suami dan keluarga mentua yang bukan sahaja baik tetapi sentiasa memberikan sokongan dan tunjuk ajar dalam usahanya memperbaiki diri menjadi muslimah lebih baik.

Salah satu tugas seorang suami adalah membimbing isteri. -Gambar hiasan

Bagaimanapun, hubungannya dengan suami mula renggang sejak dia melahirkan puteri sulungnya sekitar Februari tahun ini.

Wanita ini berkata, dia berdepan pengalaman tidak disangka-sangka ketika bersalin apabila mengalami tumpah darah yang teruk dan beberapa komplikasi sehingga menyebabkan dia trauma.

Sekali lagi dia amat bersyukur kerana suaminya sangat memahami, mengambil berat akan dirinya malah sanggup berhabisan wang untuk membayar servis berpantang demi memastikan dia mendapat rehat yang cukup.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mualaf dicurangi! Suami kerja offshore kantoi mengaku duda, dapat je cuti balik rumah janda anak 3

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri berpantang di kampung, suami galak buat angkara! Kantoi dengar suara perempuan jawab telefon waktu sahur

Dalam pada berbuat baik kepada isteri, wanita ini tidak menyangka suaminya sanggup berlaku curang di belakangnya.

Rahsianya terbongkar apabila dia terdetik untuk memeriksa aplikasi Telegram di telefon suami dan mendapati lelaki itu melanggan servis seks untuk memuaskan nafsu.

Hatinya juga berkecai apabila mendapat tahu suaminya kerap melanggan pelacur sewaktu bekerja luar di luar kawasan yang mana pada masa sama dia bersama ibu mentua pergi mengaji di masjid.

Aku hilang keluarga sebab kahwin dengan dia.

ISTERI MUALAF

"Sakit bersalin belum sembuh dan dia hancurkan mental aku macam ini.

"Bila tengok anak perempuan aku, aku menangis sebab aku tak mahu dia rasa apa yang aku rasa," jelas wanita itu.

Dalam keadaan sakit dicurangi, wanita itu menguatkan diri bertanya kepada suami mengapa dia sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu dan jawapan yang diberi sukar dipercaya.

"Alasan dia, dia sayang aku dan tak nak sakitkan aku sebab pengalaman bersalin aku sangat traumatik.

"Kalau buat seks dengan aku, aku akan sakit... aku terkedu," katanya.

Kini,wanita ini buntu memikirkan apa yang perlu dilakukannya kerana keluarga sendiri sudah membuanngnya dan dalam masa sama dia amat sayangkan keluarga mentua dan agama Islam.

"Aku hilang keluarga sebab kahwin dengan dia. Ya, aku jatuh cinta dengan agama Islam dan aku tahu Allah tidak akan uji kita kalau kita kuat.

"Tapi aku tak tahu macam mana nak kuat. Dia patut bimbing aku tapi dia buat aku macam ni," katanya.

Antara komen netizen.

Selepas berfikir jalan penyelesaian dan mempertimbangkan beberapa pandangan, wanita ini mengambil keputusan untuk menceritakan apa yang berlaku kepada ibu mentuanya walaupun berasa berat hati.

Dia berasa sedikit tenang apabila dapat menangis sepuasnya dalam pelukan mentua dan wanita tua ini tidak dapat menyembunyikan penyesalan pada wajahnya sebaik sahaja mengetahui sikap si anak lelaki.

"Mak usap tangan aku dan cakap maafkan mak, mak gagal didik (nama suami).

"Hati aku lemah, sedihnya dengar mak cakap macam tu," katanya.

Katanya, buat masa ini dia disuruh tinggal dengan famili mentua manakala suaminya tinggal di rumah sendiri.

Tidak tahu apa tindakan ibu dan bapa mentua, wanita ini berkata bagi dirinya dia masih tidak mampu untuk melihat wajah suami.

"Aku terbayang chat Telegram dia, terbayang pelacur Cina yang dia langgan tu sampai aku terfikir dia kahwin dengan aku sebab nafsu seks pelik je ke?

"Syukur mak ayah layan aku dengan baik kalau tak ada diaorang tak tahulah apa jadi dengan aku dan anak aku," katanya.

Dalam pada itu dia juga berharap supaya Allah dapat membuka hatinya untuk memaafkan dan melupakan kesalahan suami.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen turut bersimpati dengan nasib wanita mualaf itu.

"Faham perasaan tu... sedih bagi pihak anak sebab dapat ayah seperti itu.

"Saya harap awak boleh hadapi ujian ini, semoga Allah akan memberikan awak kehidupan yang lebih baik.

"Semoga anon diberikan kebaikan dan hikmah atas dugaan ini. Amin Ya Allah," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain