GELAGAT seorang lelaki begitu asyik bertukar-tukar pakaian wanita di TikTok menarik perhatian ramai kerana dianggap mencuit hati. Menurut Nuh Hadi, 24, video dia menggayakan beberapa persalinan itu sebenarnya untuk dijadikan rujuan dan panduan ibunya Azizah, 55, yang akan bercuti bersama kawan-kawan ke Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga hari. Kata Nuh Hadi yang senang disapa Nowah, sudah menjadi rutin baginya apabila si ibu meminta pandangan dan nasihat mengenai padanan pemakaian sebelum digayakan. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Ibu saya pergi berjalan dengan kawan-kawan dia. Memang sudah menjadi kebiasaan, setiap kali dia nak bercuti ke mana-mana dia akan minta tolong saya. "Ibu selalu suruh saya pilihkan baju untuk dia pakai setiap hari sepanjang tempoh bercuti. Jadi saya kena padankan semua apa yang dia nak pakai daripada atas sampailah ke bawah. "Kalau setiap kali beli-belah baju pun, ibu memang akan minta pandangan saya. Dia akan suruh saya pilih mana yang okey dan sesuai dengan dia," ujarnya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis berhijab tampil berseluar pendek paras lutut... Suntik elemen ‘muslimah’ dengan stoking futsal! ARTIKEL BERKAITAN: Selalu berfesyen, gaya macam model tapi pakai baju bundle... pemuda ini teruskan OOTD ‘syok sendiri’, janji hati puas! Bercerita lanjut tentang tanggungjawabnya dalam memastikan si ibu sentiasa kelihatan bergaya, Nowah berkata matlamatnya hanya satu iaitu mahu wanita kesayangannya itu tampil cantik dan muda. "Saya memang suka pilihkan pakaian untuk mak daripada tudung, baju, kain dan termasuklah kasut dia nak pakai. Saya seronok tengok ibu nampak muda dan bergaya. Gembira dapat tahu ibu memang pakai pakaian mengikut saranan saya sepanjang dia bercuti. NUH HADI "Ada kalanya ibu tak suruh pun, tapi saya yang paksa dia untuk pakai. Daripada segi cara saya buat pilihan tu, saya padankan pakaian tu mengikut warna saja. Asalkan nampak 'naik' tona warna tu. "Siap buat pilihan, saya lipat dan asingkan mengikut set yang disekalikan dengan tudung, seluar dan baju. Kemudian saya telefon ibu untuk ingatkan dia pakai baju saya dah padankan tu," ujarnya yang menetap di Kuala Lumpur. Azizah (kanan) memakai pakaian sebagaimana dicadangkan Nowah. Jelas anak ketiga daripada empat adik beradik itu lagi, dia berasa gembira apabila melihat ibunya memakai pakaian seperti yang disediakan. Bagi Nowah, minatnya tidaklah ke arah dunia fesyen namun dia begitu teruja menonjolkan kreativitinya dalam memastikan ibunya tampil cantik. Selepas video yang dikongsikan mendapat perhatian ramai, Nowah terharu apabila ramai yang memuji cara dia memilih pakaian yang sesuai untuk ibunya. Nowah dan ibunya, Azizah. "Tak sangka video tu boleh viral. Ramai juga yang puji outfit saya padankan tu menarik. Sampai ada yang cakap nak cari lelaki boleh tolong mereka padankan baju mereka pula. "Apa-apa pun saya gembira dapat tahu ibu memang pakai pakaian mengikut saranan saya sepanjang dia bercuti tu. Dia pun ada hantar gambar dekat saya sebagai bukti," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube