suria

9 bulan sorok hamil, bibik buat kejutan bersalin di rumah... Majikan ‘outstation’ bergegas balik pukul 3 pagi, panik uri tak keluar!

Pembantu rumah Diana bersama anak yang baru dilahirkannya pada 4 Jun lalu.

MENYAMBUT kelahiran bayi di rumah memerlukan persediaan rapi bagi mengelak berlakunya komplikasi terhadap ibu dan anak.

Bagaimanapun seorang wanita pengusaha oden dikejutkan dengan berita tidak diduga tentang salah seorang pembantu rumahnya yang merupakan warganegara Indonesia selamat melahirkan bayi lelaki di kediamannya sekitar pukul 12 tengah malam pada 4 Jun lalu.

Lebih menambah kekalutan, Nur Diana Matusin, 29, memberitahu pada masa kejadian dia dan suami tidak berada di rumah mereka yang terletak di Kuala Lumpur.

"Kami ada jemputan kenduri di Johor. Lepas dah keluar rumah pada hari itu, saya mula rasa tak sedap hati macam akan ada sesuatu bakal terjadi.

Tangkap layar perbualan Diana bersama tukang urut upahannya.

"Tak sangka pagi tu sekitar pukul 2.30 pagi, maid saya hubungi dan beritahu pembantu lagi seorang tu bersalin," katanya ketika dihubungi mStar.

Imbas Diana, dia mengesyaki pembantunya itu mengandung sejak Februari lalu selepas bertukar perbualan bersama tukang urut yang diupahnya untuk mengurut pembantu-pembantu rumah sebagai tanda terima kasih.

Namun Diana tidak menyangka pembantunya memilih untuk merahsiakan kandungannya kerana takut dihantar pulang semula ke negara asal.

Bercerita lanjut tentang insiden mencemaskan pada awal pagi berkenaan, Diana berkata dia segera membuat panggilan kecemasan untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita penat jadi ‘kuli’, jaga 2 anak buah sampai malam... Adik upah RM500 sebulan, gaji bibik lebih tinggi

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki jaga anak cikgu, pengasuh pun terima bonus! Ibu asuhan ini syukur dapat majikan baik, selalu ‘hulur’ lebih

"Saya ada hubungi ambulans tapi tidak diangkat mungkin sebab awal pagi agaknya.

"Jadi saya tanya hospital swasta, tapi disebabkan maid saya tak pernah buat check up, kebanyakannya tolak dan tak terima.

"Apabila saya fikir balik, kalau ada ambulans siapa yang akan jaga anak saya? Sebab maid lagi sorang tu mesti kena ikut untuk isi borang semua," katanya.

Buntu dengan situasi yang berlaku, dia dan suami memilih untuk bergegas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3 pagi bagi memberikan bantuan kecemasan untuk pembantunya.

Selepas beberapa kali urut di bahagian perut akhirnya uri itu dapat dikeluarkan.

DIANA

Ujar Diana, apa yang membuatkan dia semakin risau ialah pada masa itu uri anak pembantu rumahnya masih belum dikeluarkan.

"Sejurus sampai saya guide pembantu seorang lagi tu cara keluarkan uri sebab anak-anak dah mula bangun dan menangis... jadi saya perlu tenangkan mereka.

"Disebabkan saya dah lima kali bersalin di hospital, sedikit sebanyak ingat cara doktor buat.

"Selepas beberapa kali urut di bahagian perut akhirnya uri itu dapat dikeluarkan," kata Diana.

Majikan perlu ambil berat tentang kesihatan pembantu rumah. -Gambar hiasan

Atas rasa tanggungjawab sebagai majikan, Diana berkata dia kemudiannya menanggung kos rawatan dan pemeriksaan lanjutan buat pembantu rumahnya dan bayi yang baru dilahirkan itu.

Dia juga membenarkan pembantunya itu berehat seketika disamping suaminya yang bekerja sebagai petani di ladang milik ibu mertuanya di Johor untuk sementara waktu bagi menguruskan proses pendaftaran anak mereka.

Menjengah di ruangan komen, ramai netizen meminta dan menasihati Diana supaya menyemak status bapa sebenar kepada bayi tersebut memandangkan terlalu banyak kes pembantu rumah menjalinkan hubungan sulit bersama majikan.

Bagaimanapun Diana menjelaskan dia yakin status bapa bagi bayi tersebut tidak melibatkan suaminya memandangkan pembantunya itu masih lagi bersuami.

Dalam pada itu, dia meminta orang ramai untuk sentiasa berfikiran positif dan mendoakan agar bayi pembantunya itu membesar dengan baik sebelum dihantar pulang ke Indonesia setelah genap berumur dua tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain