TATKALA orang tersayang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, memori atau rakaman video serta foto ketika hayatnya akan menjadi kenangan yang cukup bermakna. Begitu juga bagi wanita ini, rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar kediaman mereka akan disimpan sebagai kenangan terindah bersama arwah bapanya, Othman Hashim yang meninggal dunia pada usia 79 tahun. Menurut Mayy Normalina Othman, kematian bapanya pada 13 Jun lalu cukup mengejutkan memandangkan ibunya, Zuniadah Abd Aziz yang sedang sakit pada ketika itu. "Seminggu sebelum abah meninggal, sebenarnya mak yang sakit dan hilang selera makan. Kalau kena makan ubat pun mak cuma 'lapik perut' dengan separuh daripada sekeping roti putih je. Dalam kenangan... ibu dan bapa Mayy ketika meluangkan masa membaca surat khabar bersama. "Masa tu abah la yang jaga mak. Kalau mak tak nak makan, abah pun tak makan. Jadi waktu mak sakit tu saya sudah mula risau... takut mak 'pergi' sebab sakit," ujarnya ketika dihubungi mStar. Cerita Mayy lagi, dua hari sebelum bapanya meninggal dunia, mereka sempat makan bersama-sama dan momen berharga itu terakam menerusi CCTV. Secara kebetulan pula dia juga baharu sahaja mengalih kedudukan CCTV itu ke arah meja makan di luar rumah, lokasi bapa dan ibunya sering duduk meluangkan masa. "Pada Selasa (11 Jun), mak telefon ketika saya di dekat tempat kerja. Dia cakap nak makan tomyam dengan telur dadar. Abah belikan, jadi dia minta kami makan sama-sama. ARTIKEL BERKAITAN: Luluh hati menantu, bapa mentua meninggal ketika duduk dalam van... Kenderaan pula rosak tepi jalan - “Nak kejut makan, tangan dah keras” ARTIKEL BERKAITAN: Anak guna sentimen ‘kubur mak masih merah’, tak suka bapa umur 60 tahun bercinta lagi... Anggap lelaki tak setia! "Terdetik dalam hati masa tu, jarang-jarang nak dapat makan dengan mak abah ni. Sudah lama tak makan sekali. Jadi saya alihkan CCTV tu ke arah meja di luar rumah untuk rakam momen tu. "Maka dua hari terakhir tu saya halakan kamera ke arah meja makan. Kebetulan hari abah meninggal dekat situ tu pun dirakam. Rakaman masa dia meninggal saya ada simpan," jelasnya. Menceritakan semula kejadian sebelum bapanya meninggal dunia kira-kira pukul 7.28 malam, figura kesayangan keluarganya itu dilihat sedang melakukan rutin hariannya seperti biasa. "Abah sihat saja sebelum meninggal. Tak ada masalah kesihatan apa-apa. Dia lagi sihat daripada mak. Doktor cakap dia meninggal sebab sakit tua saja. Abah sempat duduk dekat tempat biasa tu sebelum dia meninggal. MAYY NORMALINA "Dalam CCTV tu kami nampak abah baru lepas siap siram pokok dan cuci longkang. Jiran pun cakap nampak dia masuk dalam longkang buang daun-daun kering. "Cuma masa dia nak siram sikit lagi je pokok tu nampak dia nak pitam. Abah sempat duduk dekat tempat biasa tu sebelum dia meninggal," katanya lagi. Selain berkongsi momen diluangkan bersama bapa, Mayy juga memuat naik rakaman aktiviti kebiasaan dilakukan oleh Othman semasa hayatnya. Katanya lagi, dia akhirnya mendapat tahu kisah sebenar di sebalik rutin bapanya yang suka menyimpan plastik belian makanan selepas diceritakan ibunya. Tangkap layar CCTV menunjukkan arwah sedang melipat plastik sebelum disimpan rapi dalam kotak. "Abah memang suka simpan plastik dia dapat lepas beli nasi lemak pagi-pagi. Mak pun pesan kalau ada plastik bagi abah. Semua saiz plastik ada dia lipat dan kumpul dalam satu kotak. "Kami tak pernah persoalkan pun benda tu cuma tertanya-tanya apa tujuannya. Tapi lepas abah tak ada baru tahu selama ni dia kumpul untuk bagi dekat masjid untuk bungkus makanan," ujarnya lagi. Tambah anak kelima daripada enam adik-beradik ini, rutin menyimpan plastik untuk diwakafkan ke masjid itu masih diteruskan ibunya. Tambah Mayy lagi, pada masa ini ibunya sudah kembali sihat dan berselera untuk makan. Mayy (depan, kanan) bersama ahli keluarga. Bagaimanapun dia berharap agar ibunya tabah berdepan ujian kehilangan suami tersayang dan dapat melalui hari-hari mendatang dengan reda dan ikhlas. "Setiap hari abah akan beli surat khabar, tapi dia rabun kalau nak baca sendiri. Jadi mak yang akan bacakan kuat-kuat untuk abah. Sekarang mak masih baca surat khabar. Cuma dia baca sendiri saja. "Sebelum mak sakit, hari-hari pergi berjalan berdua-duaan. Sampaikan orang kampung yang kenal pun cakap lepas ni dah tiada lagi. "Apabila tengok mak dah makin sihat dan berselera makan, saya lega sikit. Cuma risau kalau dia bersedih sendirian. Tapi kebanyakan masa akan duduk ruang tamu dengan keluarga lepas solat dan mengaji. Masuk bilik pun cuma untuk tidur," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube