suria

Piknik kejutan hari jadi hampir musnah, lampu deko tak menyala! Rupanya ‘power bank’ dicuri ketika solat Maghrib

Ros menerima mesej daripada pelanggan mengenai kehilangan barang dekorasi. Foto TikTok rose.picnic glam

DALAM keterujaan untuk menghias dekorasi sebuah majlis kejutan yang ditempah pelanggan, seorang wanita berdepan dengan situasi tidak disangka-sangka.

Pada mulanya semuanya berjalan lancar, namun riak wajah perancang majlis itu berubah sebaik menerima mesej daripada pelanggan.

"Tiba-tiba pelanggan maklumkan power bank hilang. Pelanggan itu sambut tanpa fairy light," luahnya menerusi satu hantaran di TikTok.

Dekorasi yang siap dihias untuk majlis sambutan hari jadi anak pelanggan.

Perancang majlis yang hanya mahu dikenali sebagai Ros berkata, kejadian berlaku di sebuah taman di Elmina dekat Shah Alam, Selangor pada 7 Julai lalu.

Wanita berusia 26 itu memberitahu, insiden kecurian berlaku sekelip mata selepas dia selesai menyempurnakan dekorasi untuk pelanggan terbabit.

"Lepas siap setup dekorasi, saya terus hantar gambar dan video deko kepada pelanggan. Sementara menanti kehadiran pelanggan ke lokasi, saya dan staf tunggu dalam kereta.

"Kami tak perasan sekiranya ada orang ambil atau curi barang sebab waktu malam," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya pujuk suami pulang sambut anniversary, hasil dekorasi pula menyedihkan... khemah mainan tu untuk siapa?

ARTIKEL BERKAITAN: Macam ‘real’, ramai tertipu pelamin klasik disangka buat guna kain batik! Pemuda lukis istimewa untuk majlis tunang sahabat

Menurut Ros, dia menyediakan servis perancang majlis secara sambilan dan kini memasuki tahun ketiga dengan kebanyakan pelanggan mahu mengadakan sambutan dan kejutan hari jadi atau ulang tahun (anniversary).

Jelasnya lagi, pelanggannya pada malam berkenaan mahu mengadakan piknik kejutan untuk sambutan hari jadi anaknya.

Selain power bank, patung Teddy Bear juga hilang di lokasi.

Bercerita lanjutnya Ros berkata, mereka kemudian bergegas ke stesen minyak berhampiran untuk menunaikan solat Maghrib kira-kira pukul 8 malam.

"Beberapa minit kemudian, pelanggan sampai dan saya dapati lampu fairy light dalam keadaan off. Ia berdasarkan gambar yang pelanggan berikan kepada saya.

"Saya tanya kenapa dia tak on kan lampu tu? Daripada situ barulah saya perasan power bank dicuri. Power bank itu digunakan untuk sambungan kepada lampu berkenaan," ujarnya sambil menambah satu daripada tiga patung Teddy Bear untuk barang dekorasi turut hilang.

Saya ambil iktibar atas isu yang terjadi... perlu lebih peka selepas ini terutama sekiranya ada barang-barang berharga.

ROS

PERANCANG MAJLIS

Selepas dimaklumkan pelanggan mengenai kehilangan barang-barang tersebut, Ros yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia bergegas kembali ke lokasi kejadian untuk mencari pelaku namun usahanya gagal.

"Saya juga sudah maklumkan kepada pelanggan untuk menggantikan power bank yang baharu, namun pelanggan sudah ada power bank sendiri," katanya.

Majlis tetap diteruskan meskipun berlaku kehilangan barang.

Dalam pada itu, menerusi hantaran sama di TikTok, Ros tampil menjelaskan bahawa dia meninggalkan lokasi majlis kerana pelanggan sudah hampir tiba.

"Tinggal lebih kurang lima minit je sebab nak kejar Maghrib. Sekelip mata je (barang) boleh dicuri.

"Bagi orang lain mungkin power bank harga RM100 tu murah, tapi sangat berharga untuk saya. Mohon siapa yang terambil pulangkan semula," katanya lagi.

Ros bagaimanapun mengambil iktibar di atas kejadian yang berlaku dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya ambil iktibar atas isu yang terjadi. Saya perlu lebih peka selepas ini terutama sekiranya ada barang-barang berharga. Pengajaran untuk saya dan masyarakat di luar sana," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain