suria

Mak baru meninggal, pemuda tumpang rumah flat kakak... Terkejut sikap penghuni PPR, salah parkir Kancil buruk dirosakkan

Seorang lelaki menerima amaran selain kereta kancilnya dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

MASALAH parkir di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagaikan tidak berkesudahan.

Kepadatan penduduk dan pertambahan kereta menyebabkan ramai penghuni berdepan dengan masalah parkir.

Situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa meletakkan kenderaan di kiri dan kanan bahu jalan.

Menerusi satu hantaran, seorang lelaki mendakwa kereta miliknya dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab gara-gara masalah parkir berdekatan dengan sebuah PPR.

Masalah parkir di kawasan perumahan PPR sering berlaku. -Gambar hiasan

Selain gambar cermin sisinya telah dipatahkan, dia turut memuat naik 'amaran' daripada seorang individu yang ditulis tangan pada sehelai tisu.

"Lain kali jangan parking kat sini kalau sayang kereta. Kalau orang lain tak parking, janganlah pandai-pandai park sini. Amaran pertama," menurut tulisan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran punca wanita ‘resign’! Satu famili ‘selfish’ bab parkir, orang lain susah tak apa asalkan anak beranak mereka senang

ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga bolot ruang parkir, paling seronok ‘lambak’ depan rumah orang! Depan pagar sendiri biar lapang

Berkongsi cerita, lelaki itu menumpang di rumah kakaknya di sebuah PPR di Selangor, dan meletakkan keretanya di tepi sebuah simpang.

"Saya bukanlah orang kaya, hanya pakai kereta buruk Kancil. Menumpang rumah kakak selepas kematian mak saya dua minggu lalu.

"Jadi, saya orang baharu di situ. Malam tadi puas saya mencari parking dan terpaksa saya masuk parking di tepi simpang tiga.

"Cermin sisi saya lipat dan brek tangan saya turunkan sekiranya saya mengganggu lalu lintas, kereta saya boleh tolak ke depan," katanya.

Kenderaan yang diletakkan di bahu jalan boleh menghalang lalu lintas. -Gambar hiasan

Membuat luahan menerusi satu grup Facebook, dia berkata telah membiarkan kereta Kancil miliknya di tepi simpang dan keluar bekerja dipercayai menggunakan mod pengangkutan lain sebagai alternatif.

"Pagi tadi saya sebelum masuk kerja, saya nak alihkan kereta tapi parking masih lagi penuh dan saya terus masuk kerja.

"Tadi pukul 10 malam, saya turun (dari rumah) dengan niat nak alih kereta. Tengok-tengok keadaan kereta dah mcm ni. Kalau saya salah, mungkin boleh bertolak ansur dengan cara lain seperti beritahu dalam grup WhatsApp PPR.

"Dalam grup WhatsApp tu ada kakak, abang ipar dan jiran kampung saya. Apa patut saya buat? Kereta ni saya gunakan untuk ulang-alik bawa mak ke hospital sampai dia pergi (meninggal)," luahnya lagi.

Kalau pun salah parking, ia bukan tiket untuk sesuka hati merosakkan harta orang lain.

NETIZEN

Namun, timbul persoalan dalam kalangan netizen mengenai cara lelaki itu meletakkan keretanya kemungkinan menghalang laluan sehingga menyusahkan orang lain.

"Sebelum saya tinggalkan kereta saya, memang masih ada ruang lagi kalau kereta nak membelok. Mungkin sebab saya pakai Kancil buruk, terus patahkan tanpa beritahu dalam grup WhatsApp," jawabnya di ruangan komen.

Seorang lelaki bersedih dengan nasib yang menimpanya. -Gambar hiasan

Rata-rata netizen menyifatkan kejadian yang menimpanya sebagai perbuatan khianat dan berbaur ugutan, tetapi ada juga yang memberi teguran kerana kemungkinan ia berlaku disebabkan kekhilafan sendiri.

"Ini khianat namanya. Buat je report (laporan polis). Kalau pun awak salah parking, ia bukan tiket untuk sesuka hati merosakkan harta orang lain.

"Wow, amaran pertama pun dah macam ni, kalau amaran kedua dia agak-agaknya kereta kau hilang terus. Dia tinggalkan cermin sisi dekat kau.

"Letak atas risiko sendiri. Matlamat tak menghalalkan cara. Bayangkan kalau bas atau lori sampah nak lalu, atau halang lalu lintas. Dekat simpang, nak belok kiri tak boleh sebab kau park situ.

"Lain kali, kalau kita tahu kita menghalang laluan tanpa niat, tinggalkan nota berserta nombor telefon. Kita tak tahu jenis manusia yang akan lalu di situ, entah dia pun ada kecemasan ke, ada nombor senang orang nak telefon suruh alihkan kenderaan," kata netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain