BAGAI mimpi jadi realiti apabila kita dapat merasai pengalaman menghuni banglo tiga tingkat dan 10 bilik tidur . Kediaman yang bernilai jutaan ringgit itu, jika disewakan pasti kadar sewanya mencecah angka ribuan ringgit. Namun percaya atau tidak, untuk banglo tersebut, pemiliknya hanya menetapkan kadar sewa serendah RM550 sebulan! Pemilik banglo itu berkata, dia tidak bercadang untuk menetap di kediaman tersebut kerana terlalu besar buat dirinya. "Lagipun mak saya sudah meninggal dunia. Jadi apa pun kesenangan dan kemewahan atas dunia ini sudah tidak bererti lagi pada saya. "Banglo ini tiga tingkat ada 10 bilik tidur, dua bilik stor," katanya menerusi Facebook Hanni Borhan. Kawasan di sekitar dapur. Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik, banglo yang terletak di Shah Alam, Selangor itu dilihat turut dilengkapi dengan sebuah kolam renang. Dia yang lebih dikenali sebagai Mem Hanni memaklumkan segala kerosakan di banglo tersebut sudah pun dibaiki, manakala penyewa baharunya merupakan sekumpulan pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT). "InsyaAllah, tak lama lagi akan masuk pelajar-pelajar kolej. Banglo ini akan jadi asrama untuk pelajar-pelajar perempuan dari (IPT) Shah Alam. "Sebelum ini rumah ini disewa sebagai asrama untuk pelajar sekolah antarabangsa. Yelah, asrama anak-anak T20 ni perlukan keselamatan. "Nak ada guard, nak ada kemudahan yang sama macam rumah mereka. Barulah rasa seperti berada di rumah. Saya sibuk selepas ni kena fokus pula untuk hiasan dalaman. Biar pelajar-pelajar ni rasa selesa seperti di rumah sendiri," ujarnya. Banglo tiga tingkat ini turut dilengkapi kolam renang. Kadar sewa yang ditetapkannya termasuk bayaran utiliti bagi seorang penyewa adalah RM550 sebulan. Malah menurutnya, terdapat pekerja pembersihan yang akan melakukan pembersihan di luar bilik tidur seperti ruang tamu, kolam renang dan kawasan parkir. "Maintenance kami sediakan. Dalam bilik tidur mereka, bilik air dalam bilik tidur tu adalah tanggungjawab penyewa," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Penyewa banglo 10 bilik lesap! Tinggalkan tunggakan RM58,000, guna taktik pindah berperingkat ARTIKEL BERKAITAN: Penyewa tak bayar bil elektrik lebih RM3,000, beri alasan 'deal' dengan staf TNB... Tuan rumah sedih tengok rumah Disebabkan banglo 10 bilik tidur itu bakal menjadi asrama pelajar kolej, kediaman itu pastinya disewakan sejumlah pelajar. "Sewanya, mestilah tak sama macam harga bilik yang atas kedai tu, atau sewa bilik rumah flat atau sewa bilik rumah kondo," jelasnya. Kemasukan perabot baharu untuk kemudahan penyewa. Selain terletak dalam kawasan perumahan berpagar dan berpengawal, banglo tersebut juga, kata Mem Hanni, turut dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV). "Ruangan bawah ruang tamu ini ada CCTV. Ye lah kan, anak-anak T20 ni keselamatan mereka kena jaga. Jadi, ada rekod keluar masuk melalui CCTV. "Jika ada apa-apa jadi, boleh ada rujukan di masa depan. Anak-anak T20 ni sensitif dengan keselamatan, ia tidak bebas sembarangan," katanya. Semoga diberi kefahaman siapa pelanggan kami. Bersesuaian dengan tempat dan keperluan. HANNI BORHAN Pemilik banglo Sempena kemasukan penyewa-penyewa baharu, Mem Hanni berkata, banglo miliknya itu juga akan dilengkapi perabot-perabot baharu. "Minggu depan, proses kemasukan perabot-perabot baharu dan kelengkapan rumah. Belum siap masuk perabot dan hiasan lagi," katanya lagi. Penjelasan Mem Hanni mengenai banglo yang disewakannya kepada sekumpulan pelajar. Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya begitu kagum dengan kadar sewa yang ditetapkan kerana dianggap berpatutan untuk seorang penyewa banglo tiga tingkat itu. "Dahsyat budak-budak belajar sekarang. Kalah orang bekerja. "Wah bestnya, rumah sewa ada private pool," komen netizen. Mem Hanni turut menjawab pertikaian netizen mengenai kadar sewa dianggap tidak wajar dikenakan sehingga ratusan ringgit memandangkan penyewanya adalah pelajar. Mem Hanni sekali lagi menegaskan bahawa penyewa-penyewanya merupakan dalam kalangan anak-anak golongan T20. "Semoga diberi kefahaman siapa pelanggan kami. Bersesuaian dengan tempat dan keperluan. Mungkin golongan B40 tak perlukan tempat ni. Ramai je anak-anak orang kaya yang perlukan perkhidmatan kami. "Ukur baju di badan sendiri. Setiap ibu bapa nak yang terbaik untuk anak-anak mereka terutama kesihatan mental dan emosi," jawabnya di ruangan komen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube