suria

Wanita teruja bekas penagih pernah dipulihkan sedekad lalu masih ingat namanya, nampak macam gila tapi baik budi pekerti

Pertemuan semula Nadia dengan Azlan.

SELEPAS lebih setahun, seorang wanita dipertemukan kembali dengan pemuda yang pernah tular dan mungkin akan dilihat sebagai 'orang gila' oleh mereka yang tidak mengenalinya.

Pemuda berusia lingkungan 30an bernama Azlan itu merupakan gelandangan dan bekas penagih dadah yang sering dilihat merayau di sekitar bandar di Kuching, Sarawak.

Berkongsi cerita, seorang kaunselor bagi pemulihan penagih dadah, Nadia Muhammad Hazmi berkata dia bertemu dengan Azlan yang juga bekas kliennya sedekad lalu, pada April lalu.

Nadia bertemu Azlan di luar sebuah kedai serbaneka pada tahun lalu.

Dalam kunjungannya ke sebuah pasar raya untuk membeli bawang, katanya, pemuda itu dilihat berjalan membawa sebungkus roti kacang merah sambil makan.

"Akak panggil dia, dengan pantas dia menoleh... Eh Puan Nadia, nak roti? sambil menghulur plastik roti di tangannya dengan penuh ikhlas dan tulus.

"Tak apa saya kenyang, awak dah kenapa makan roti je ni tak makan nasi? Tak ada duit puan, roti pun sedap hehe," kongsi Nadia menerusi satu hantaran di Facebook.

Nadia menghulurkan dua sampul duit raya yang disimpan di dalam begnya ketika itu dan ternyata pemberian tersebut menggembirakan Azlan.

"Terima kasih puan. Eh tapi dua keping ni puan, banyaknya! Dibaginya balik satu lagi sampul lebihan tadi.

"Ala, dua sampul tapi dalam tu duit kecil je. Cukup untuk awak makan nasi dua hari, beli nasi tau!" kata Nadia.

Azlan sentiasa dilihat bersama mainannya.

Untuk rekod, mStar pada Februari 2023 pernah menyiarkan kisah Azlan yang bertemu dengan Nadia di luar sebuah kedai serbaneka dan pemuda itu tidak melupakan jasa wanita itu yang membantunya ketika dalam pemulihan.

Menurut Nadia, ibu bapa Azlan sudah meninggal dunia dan dia hidup sebatang kara dengan mengharapkan sumbangan dan belas ihsan orang ramai.

Azlan masih seperti dahulu yang dikenalinya ketika dalam pemulihan dan pengawasan, seorang yang periang dan peramah.

ARTIKEL BERKAITAN: 9 tahun berlalu, bekas penagih jadi gelandangan tak lupa jasa wanita ini... sayu saat minta bergambar tapi tak ada handphone

ARTIKEL BERKAITAN: Bahu nampak ‘jatuh’, bawah mata lebam... Doktor terkejut dengar luahan ibu tunggal datang minta MC, bos paksa kerja sampai pengsan!

Momen terbaharu bersama Azlan yang tersenyum girang menerima sampul duit raya dan sambung makan roti, benar-benar menyentuh perasaannya.

Nadia dan anak bertemu Azlan pada 1 Syawal lalu.

Walaupun Azlan hidup dalam ketidakwarasan, namun kata Nadia, insan begitu kadang-kala sangat menghiburkan dan menyenangkan hati.

"Akak kongsi gambar ni, ketika hari raya yang pertama. Akak dan adik Rayhan (anak) terjumpa dia ketika ke farmasi mencari ubat demam campak abang Rayyan.

"Si Azlan menjemput kami 'beraya' di kaki lima tempat dia berteduh. Bila diajak selfie, dipanggilnya adik sambil menepuk lantai bersihkan simen di sebelahnya," ujarnya yang berpengalaman dalam bidang pemulihan narkotik selama 17 tahun.

Bukan tiada usaha untuk dia tapi dia lebih bahagia begitu.

NADIA MUHAMMAD HAZMI

Azlan kemudian menunjukkan 'mainan' baru ciptaannya yang sentiasa berada dalam genggaman.

"Awak dah ada jam baharu Lan? Warna pink lagi tu. Jam jumpa dalam tong sampah, tak ada bateri dah puan... sambil tergelak sendiri," kata Nadia mengimbas perbualan bersama Azlan.

Antara mainan yang dibawa Azlan ke mana-mana.

Menurut Nadia lagi, kisah rakan istimewanya itu membuatkan dia terfikir mengapa dia terus dibiarkan hidup begitu.

"Bukan tiada usaha untuk dia tapi dia lebih bahagia begitu. Adakalanya tak semua orang kita mampu bantu. Tak semua insan kita mampu ubah, mungkin takdir hidupnya sudah tertulis sedemikian.

"Asalkan bahagia Lan. Semoga Allah selalu menjagamu. Masih lagi memanggil 'puan', masih sudi menjemput makan, masih tahu bersyukur bila diberi lebihan, masih mempelawa duduk di tempat yang bersih. Baik sungguh budi pekertinya," kata Nadia,

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain