BAGI ramai antara kita, segala kepayahan dan kesusahan yang dihadapi akan mematangkan diri. Hal yang sama juga dilalui seorang lelaki ketika dia mahu mendirikan rumah tangga 16 tahun lalu. Cabaran yang dilaluinya itu kekal menjadi kenangan terutamanya tatkala melihat meja makan yang masih utuh di sudut rumahnya, dibeli beberapa bulan sebelum menamatkan zaman bujang. Setiap perkahwinan memerlukan persediaan dan perancangan yang rapi. -Gambar hiasan “Dah 16 tahun umurnya (meja makan). Awal dua ke tiga bulan daripada umur perkahwinan kami. Dulu sebelum kahwin, aku buat loan (pinjaman) dengan koperasi. RM2,500 masa tu buat loan, beli barangan elektrik. “Untuk anggota kerja yang gaji kurang RM3,000, boleh mohon loan ni. Loan ni tak ada interest. Pinjam RM2,500, bayar RM2,500 tapi potong gaji,” katanya menerusi Facebook bernama Zoolhilmi MJ. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Lepas’ beli rumah, belum ada bajet untuk perabot! Pasangan bahagia makan beralaskan plastik hitam... Satu komen netizen buat ramai tersentak ARTIKEL BERKAITAN: Suami kerja kuat demi famili, gaji 40K tapi isteri 3 kali kantoi curang! Nafkah sebulan 8K, kemewahan bukan jaminan setia Bercerita lanjut, wang pinjaman itu digunakannya untuk membeli beberapa kelengkapan elektrik bagi persediaan kahwin seperti mesin basuh, set televisyen, seterika dan periuk nasi. “Ngam la, kurang sikit daripada RM3,000. Lebih tu aku topup sendiri. Persediaan nak kahwin. “Apabila kahwin, pindah rumah sewa dekat Damansara Damai, Selangor. Beli tilam spring tapi letak atas lantai je masa tu. Lepas tu beli meja makan ni dengan penyidai baju sebab masa tu tinggal di apartment, tak ada balkoni. Sidai baju dekat hanger tu je dalam rumah,” ujarnya. Dia dan isteri kemudian menyimpan perlahan-lahan untuk membeli perkakas dan kelengkapan rumah lain bagi memudahkan hidup mereka suami isteri. Kewangan antara cabaran yang hidapi bakal pengantin dan pasangan baru berkahwin. -Gambar hiasan Baginya ketika itu, tidak perlu bermewah kerana apa yang lebih penting adalah keselesaan dan salah satu buktinya adalah meja makan yang masih digunakannya sehingga kini. “Meja makan ni memang sengaja aku tak nak beli baru. Benda elok, buat apa nak beli baru. Lagipun apabila sempit-sempit berkumpul dekat meja makan macam ni dengan anak bini lagi seronok rasanya. “Lagi satu, meja ni melambangkan kesetiaan aku. Kalau dengan meja pun aku setia, inikan pula dengan bini... kan? “Daripada aku upgrade meja makan, lebih baik aku upgrade makanan yang aku boleh hidang atas meja tu. Itulah konsep aku,” jelasnya. Hidup sederhana, hati pun senang... jangan membazir, jangan ikut orang. WARGA MAYA Bagaimanapun katanya, kerusi meja makan dibeli baharu bagi menggantikan yang lama sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. “Kerusi plastik warna merah tu aku beli gantikan kerusi kayu yang dah patah riuk. Senang. Tak nak pakai, boleh tenggek letak tepi. Hidup aku ni praktikal. “Aku selalu amalkan fleksibiliti. Boleh buat, kasi jalan je. Tak payah nak bermewah-mewah berhabis duit. Lagipun hari-hari aku yang hadap, bukan orang lain,” katanya. Isteri juga mempunyai komitmen bekerja. -Gambar hiasan Walaupun kedua-duanya bekerja dengan syif isterinya tidak menentu, namun mereka jarang makan di luar kerana dapur ‘berasap’ setiap hari. “Sebab tu kalau orang tanya, kami tak tahu kat mana kedai makan yang sedap. Ada satu, dua kedai favourite. Biasanya balik dari merayap, balik dari kampung kami makan kat situ, kedai sama je. “Hidup ini simple, jangan bagi kusut. Ada isteri yang memahami bersyukur, ada anak yang dengar cakap, bersyukur. Dengan bersyukur, Allah bagi kecukupan. “Seronok tengok meja ni. Alas dia je ganti-ganti, itu pun lepas koyak rabak. Alas tu bini aku baru je ganti bulan lepas. Kembalikan balik nostalgia macam dulu-dulu masa kecil aku tinggal dengan mak dengan arwah abah,” katanya lagi. Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya kagum dengan usaha dan semangat positif yang ditunjukkan lelaki berkenaan dalam menjalani kehidupan bersederhana. “Selagi boleh guna, guna aje. Jangan membazir, jangan ikut orang. “Selagi boleh digunakan, tetap guna biarpun sudah berpuluh tahun. Tak payah nak membazir sangat. Hidup sederhana, hati pun senang,” komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube