suria

Rancang ambil anak angkat, wanita tak keruan kit ujian hamil naik dua garis selepas 16 tahun kahwin - “Saya tak yakin, risau alat tu rosak”

Haznie berkongsi berita gembira mengenai kehamilannya kepada suami.

MEMILIKI zuriat sendiri merupakan impian setiap pasangan sebaik sahaja mereka selamat diijab kabul.

Bagaimanapun, manusia hanya merancang dan semuanya bergantung kepada rezeki yang telah ditetapkan Allah.

Bagi Haznie Rozleen dan suami, penantian mereka untuk menimang cahaya mata sulung berakhir selepas 16 tahun berada dalam fasa TTC (trying to conceive).

Berkongsi detik kegembiraannya di TikTok, wanita itu menceritakan semula kisahnya yang bermula apabila dia lambat datang bulan dan badannya mengalami simptom luar biasa.

Haznie membuat ujian beberapa kali sebelum mengesahkan kehamilan.

"Permulaan bermula dari period terlambat dan saya beli pregnancy test kit (UPT) dekat kedai serbaneka berdekatan rumah. Walaupun sudah fobia sangat dengan UPT yang selalu memberi harapan palsu.

"Tapi kali ni saya nekad sebab sudah ada tanda-tanda luar biasa dengan badan sendiri yang tidak pasti. Malam tu pukul 12 saya check tapi guna kit yang biasa dulu sebab ada beli beberapa jenis.

"Dalam hati masa tu... okay, cuba je la jangan berharap okay! Tipu diri sendiri walaupun dalam hati Allah saja yang tahu macam mana nak meletup jantung ni berdegup. Menggigil tangan!" ujarnya menerusi tulisan pada video.

Imbas Haznie, dia sebelum ini sudah beberapa kali mengalami 'kekecewaan' dengan keputusan dari ujian kehamilan yang dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita pejuang TTC sayu ‘malaikat kecil’ hadir dalam tempoh idah... Bekas suami tengah seronok buat persiapan kahwin lepas raya

ARTIKEL BERKAITAN: Tumpang kasih sayang anak buah, tatang macam zuriat sendiri... Pasangan TTC 9 tahun lali hadap ‘mulut puaka’

Malah, dia juga memaklumkan mereka berdua sudah reda dan berhasrat untuk mengambil anak angkat.

Bagaimanapun, alangkah terkejut dirinya apabila mendapati ujian menunjukkan keputusan positif dengan dua garisan jelas kelihatan pada alat berkenaan walaupun selepas melakukannya beberapa kali.

"Apabila tiba-tiba dua garis mula keluar, saya sudah tidak keruan. Terus mesej adik yang 'tunggu' dekat WhatsApp dan dia sudah mula menangis bila tengok 'double line'.

"Lepas tu cakap dekat adik, saya tak yakin. Risau kalau kit tu rosak. Cuba lagi ujian yang lain. Walaupun adik masa tu dah yakin 100 peratus dah kakak dia mengandung.

Dan hari ini jugalah menjadi hari gugurnya air mata kesedihan dan kegembiraan untuk dua buah keluarga.

HAZNIE ROZLEEN

"Memang tiada kata-kata boleh diungkapkan. Hanya air mataku saja yang gugur. Pertama kalinya dalam 16 tahun usia perkahwinan test kit naik dua garis. Allah makbulkan doa-doa saya. Menangis kepuasan saya malam ni dengan penuh kesyukuran," katanya.

Haznie dalam hantaran sama turut berkongsi momen indah sewaktu memberi khabar berita gembira itu kepada suami sebagai kejutan.

Kelihatan pasangan ini berpelukan erat yang mana ketika itu mereka mahu berkunjung ke sebuah rumah terbuka.

"Akhirnya tibalah masa air mata ayah (gelaran suami) pula gugur. Masa ni kami bersiap nak keluar ke open house. Ibu ambil peluang rakam memori terindah kami.

Haznie dan suami bersyukur doa mereka dimakbulkan.

"Dan hari ini jugalah menjadi hari gugurnya air mata kesedihan dan kegembiraan untuk dua buah keluarga. Keluarga saya dan famili suami. Kawan baik saya dan juga insan di kalangan terdekat saya," katanya lagi.

Susulan berita gembira itu, Haznie dan suaminya membuat imbasan ultra bunyi di sebuah klinik di Selangor untuk mengesahkan kehamilannya.

Mereka yang sama-sama bersabar dan berjuang selama ini mengalirkan air mata apabila mendengar degupan jantung anaknya buat pertama kali.

Pada penghujung video, Haznie turut menjelaskan bahawa ia merupakan sebuah hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka dan bakal menimang cahaya mata pada 22 Disember tahun ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain