SEORANG pemuda meluahkan rasa terkilan selepas ditegur seorang pakcik ketika mahu menunaikan solat di masjid. Dalam satu perkongsian video, Azzaly menceritakan bagaimana dirinya disindir individu berkenaan ketika mengambil wuduk. Mengakui terguris hati dengan kata-kata pakcik tersebut, dia memilih untuk tidak menjawab sindirannya berkaitan amalan solat berjemaah di masjid. "Hari ni saya jumpa 'ahli syurga'. Confirm dia (masuk) syurga. Dia sound (sindir) saya masa tengah ambil air sembahyang. "Baru nampak muka mai (datang) masjid ya? Saya toleh dan tengok dia, saya angguk saja," ujarnya dalam satu hantaran di TikTok. Tangkap layar video dikongsikan Azzaly. Menerusi video sama, Azzaly berkata tindakan pakcik tersebut adalah tidak wajar kerana tidak mengetahui sebab atau alasan dia jarang pergi ke masjid. Menganggap apa yang dilakukan pakcik tersebut sebagai perbuatan membuli, Azzaly berkata lebih mengutamakan ibunya yang sakit di rumah. "Sebenarnya masyarakat kita ni memang suka 'menghukum' tanpa diperselidiki. Apa masalah, apa keadaan dia ni tak boleh datang masjid. "Mak saya, seorang diri dekat rumah. Kadang-kadang batuk sampai tersedak, dia nak minta air tapi tak ada orang nak bagi. Itu yang saya 'berat' nak pergi masjid. "Bukan tak nak pergi masjid. Saya tak pergi masjid pun, tak pergi gim pun sebab mak tinggal seorang diri," ujarnya menjelaskan situasi. ARTIKEL BERKAITAN: Datang masjid lambat, mahu pahala saf depan... Pemuda ‘rampas’ tempat kanak-kanak, cepat-cepat solat sunat ARTIKEL BERKAITAN: Masjid simpan memori indah dengan 'kawan lelaki’, wanita tinggalkan hadiah untuk ‘mentua tak jadi’ di ruang solat Bagi Azzaly, budaya buli seperti ini perlu ditegah daripada terus berlaku dalam masyarakat. Dia turut menegaskan perkongsian mengenai pengalaman pahitnya itu dibuat bagi memberi peringatan dan pesanan kepada orang ramai. Walaupun terasa hati, pemuda ini berkata dia sudah pun memaafkan pakcik tersebut yang tidak didedahkan identitinya. "Saya maafkan pakcik tu. Tapi jauh di sudut hati... saya sangat sedih. Ini la budaya buli kalau anda semua nak tahu. Sudah menular kan dalam masyarakat kita? "Kenapa? Solat dekat masjid saja ke yang Allah terima? Sembahyang dekat rumah Allah tak terima? Sedih dengan sikap masyarakat kita. Semoga... kita jangan menghukum orang lain selepas ini. Saya maafkan pakcik tu. Tapi jauh di sudut hati... saya sangat sedih. AZZALY "Kaji dan selidik dulu apa masalah dia. Saya kongsikan (pengalaman) ni agar jangan jadi budaya buli dalam masyarakat kita. Saya tak kisah, saya tak peduli apa orang nak kata. Yang penting Allah 'izin' saya pergi masjid," ujarnya. Hantaran dikongsikan Azzaly ternyata mendapat perhatian ramai. Jika diteliti di ruangan komen, rata-rata warganet turut memahami keadaan Azzaly yang perlu menjaga ibunya yang uzur. "Jaga mak tu wajib. Walaupun sahabat Nabi nak pergi perang pun baginda tak bagi sebab lebih utamakan ibu yang uzur dan sakit. "Abaikan adik. Alhamdulillah adik dah maafkan orang tersalah cakap tu. Kita sama-sama belajar jadi orang lebih baik. Komen netizen di TikTok. "Biasalah manusia ni. Bila dia rasa dia terpaling bagus dan pasti. Alim dia akan jadi tahap sombong dan yakin dia terpaling bagus. Sabar je la," komen beberapa netizen. Sebelum ini, pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus pernah mengulas berkenaan sindiran jemaah terhadap golongan yang baru berjinak-jinak datang ke masjid. Katanya, sindiran tidak seharusnya dilakukan sekiranya bertujuan untuk menyakitkan hati individu berkenaan. "Orang masjid bila budak-budak baru datang masjid dia kata (perli) perkataan yang menyebabkan sakit hati orang, tak boleh. "Orang tak datang masjid pun, tak boleh juga mengata dia kalau kita nak bagi sakitkan hati. Tapi kalau satu sindiran membuatkan seseorang rasakan 'Ya Allah silapnya aku' (tersentap), itu boleh. "Dakwah ni kena secara mengajak orang ini perlulah 'bil hikmah' (seruan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW supaya mengajak umat manusia kepada agama Allah dengan hikmah kebijaksanaan)," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube