SETIAP wanita pastinya mengimpikan bakal suami yang penyayang dan bertanggungjawab. Jika tiada ciri-ciri itu, selama mana pun hubungan terjalin, isteri semestinya tidak bahagia hidup berumah tangga. Berkongsi cerita, seorang gadis berkata, dia dan teman lelakinya bercinta selama lebih setahun dan tidak kisah bakal suaminya itu bukan anak orang berada atau bergaji besar. “Saya selalu bekalkan makanan kepada dia sebab tahu gajinya kecil. Dengan bekalkan makanan, duit makan luar tu dia boleh simpan untuk duit kawin,” katanya. Simpanan untuk perbelanjaan perkahwinan. -Gambar hiasan Menerusi satu hantaran di Facebook, gadis itu bagaimanapun menyuarakan kebimbangannya terhadap corak perbelanjaan teman lelakinya setiap bulan. Jelasnya, kekasihnya itu gemar mengumpul patung figura anime atau siri animasi dari seluruh dunia yang menjadi kegilaan ramai. “Setiap bulan, dia memberi ‘ganjaran’ kepada dirinya sendiri dengan membeli figura anime. Bukan satu, tapi kadang sebulan sampai tiga hingga lima buah. “Harga figura tu bukanlah murah, ada yang sampai beratus ringgit. Saya diamkan sebab setiap kali ditanya, dia jawab ada simpan antara RM250 dan RM300 sebulan untuk duit kawin,” ujarnya. Situasi ini menyebabkan dia menganggap kekasihnya langsung tidak menghargai usahanya berjimat-cermat bagi membolehkan simpanan perkahwinan dibuat secara lebih teratur. Alasan ‘ganjaran’ untuk diri sendiri setelah penat bekerja juga tidak boleh diterima kerana peruntukan untuk patung tersebut lebih dari segalanya. “Dia tak pikir pun kenapa saya bekalkan dia makanan untuk berjimat agar boleh simpan duit. Bukannya duit makan tu digunakan untuk dia melabur beli patung figura. “Saya faham kerjanya penat tapi sebulan satu patung tu saya boleh terima tapi kalau lebih?” katanya yang mengakui teman lelakinya bukan seorang yang romantik. Patung figura anime dan siri animasi menjadi kegilaan ramai di seluruh dunia. -Gambar hiasan Bercerita lanjut, katanya, pemuda itu juga bukan seorang yang suka bergaul dan kebanyakan masanya hanya berada di tempat kerja dan di rumah. “Untuk keluar makan bersama pun kalau dia rasa bosan di rumah atau kelapangan waktu itu. Walaupun saya pernah post dan tag gambarnya dia Instagram, dia tak pernah repost di Instagramnya. “Masa mula-mula bercinta je dia rajin repost. Pernah sebulan kami tak chat, hanya berjumpa dia di tempat kerja walaupun lain jabatan, hanya berselisih, tegur dan senyum je. “Sejujurnya, mana-mana perempuan pun perlukan perhatian daripada lelaki yang dia sayang. Walaupun tak banyak, sikit pun jadi,” luahnya. Perempuan pun perlukan perhatian daripada lelaki yang dia sayang. Walaupun tak banyak, sikit pun jadi. GADIS Dia turut memberitahu bahawa kekasihnya adalah anak bongsu daripada lima beradik an mempunyai seorang abang, dan tiga kakak. Berkongsi cerita, katanya, keretanya pernah mengalami kerosakan di sebuah lebuh raya dan dia cuba menghubungi teman lelaki untuk mendapatkan bantuan tetap tidak dijawab. “Saya kemudian telefon bakal abang ipar, dia jawab dan terus datang. Dia telefon kawan dia untuk bantu. Sementara kawannya towing kereta untuk dibawa ke bengkel, bakal abang ipar ajak makan bersama,” katanya. Seorang gadis dilema antara teman lelaki dan bakal abang ipar. -Gambar hiasan Sejak pertemuan tersebut, dia mula terfikir kenapa sikap teman lelaki berbeza dengan abangnya yang lebih bertangungjawab, memahami dan mengambil berat. “Dari kejadian makan tu, setiap kali bakal abang ipar saya ada acara di tempat kerja, dia akan mesej saya untuk menemaninya, dan bila ada yang bertanya, dia jawab adik ipar. “Ada beberapa kali cara dia layan saya seperti suka pada saya. Dengan cara dia layan saya, beri perhatian dan ambil berat membuatkan saya tersipu-sipu,” katanya. Situasi itu membuatkan dia dalam dilema sama ada meneruskan hubungan dengan teman lelaki yang tidak tahu menghargai dirinya atau meluahkan perasaan kepada bakal abang ipar. “Adakah saya perlu terus jujur dengan abangnya kenapa layanannya begitu baik pada saya? Adakah saya perlu menjauhkan diri daripada kedua-duanya sekali?” ujarnya yang kini buntu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube