suria

Pelajar UiTM ‘kembang sayap’ ke Indonesia, kongsi perjalanan bisnes… Wajah mak ayah terpapar di skrin AYEF 2024

Amzar menyampaikan pembentangan bisnes sempena AYEF 2024 di Jakarta, Indonesia.

SELEPAS ‘tunjuk taring’ di pentas peragaan dan terlibat dalam rekaan baju peserta sukan antara fakulti, anak muda ini mengembangkan sayap sambil membawa nama Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke peringkat antarabangsa!

Pelajar berusia 22 tahun ini mewakili UiTM untuk menghadiri Forum Usahawan Muda Asean (AYEF) 2024 di LSPR Institute of Communication and Business di Jakarta, Indonesia, pada 5 Ogos lalu.

Lebih membanggakan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari UiTM Kampus Sungai Petani di Kedah ini turut membuat pembentangan mengenai perjalanan bisnesnya yang disaksikan oleh pelbagai peserta dan pemain industri dari seluruh Asean.

Kisah anak muda ini pernah tular kerana mencatatkan jualan baju sebanyak RM19,000 di asrama dalam tempoh hari.

pelajar uitm 6

Perkongsian perjalanan bisnes yang dilakukan secara digital.

Berkongsi pengalaman mengujakan itu, Ahmed Amzar Airil Ahmed Mazdan berkata, dia mewakili UiTM seMalaysia untuk ke Jakarta sempena AYEF 2024 bagi menyampaikan pembentangan bertajuk 'Bisnes Digital'.

“Memandangkan saya sendiri mengusahakan perniagaan secara digital, saya menceritakan tentang bisnes saya dari awal sebelum dalam talian hingga sekarang dilakukan secara digital.

“Pada awalnya, saya seperti tidak percaya kerana UiTM mempunyai ramai usahawan pelajar dan dalam ramai-ramai itu, saya dipilih sebagai wakil.

“Saya akui gementar kerana ia merupakan program di peringkat antarabangsa di luar negara. Tapi kemudian bertukar teruja kerana berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan perjalanan bisnes saya sendiri kepada orang luar,” katanya kepada mStar.

pelajar uitm 2

Amzar (dua, kanan) bersama sebahagian peserta AYEF 2024.

Mesra disapa Amzar, dia berterima kasih kepada UiTM dan sekumpulan pensyarah terutama Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM, Mohd Nur Najmi Nuji yang memberi peluang kepadanya untuk berkongsi pengalaman perniagaannya, di Jakarta.

Turut menjadi perhatian dalam pembentangan memperkasakan bisnes digital yang berlangsung selama 10 minit itu adalah sesi penutup yang memaparkan gambar ibu bapa Amzar sebagai tanda penghargaan kepada tulang belakangnya selama ini.

Apa yang saya kecapi hari ini bukan sahaja hasil kerja keras saya tetapi juga berkat doa mak ayah.

AHMED AMZAR AIRIL AHMED MAZDAN

“Saya membuat keputusan untuk memasukkan momen yang mana kalau orang lain tak puas hati apa yang saya sampaikan, sekurang-kurangnya saya berpuas hati dengan diri sendiri.

“Jadi, saya memaparkan gambar ibu bapa saya sebagai tanda menghargai mereka yang sentiasa menyokong saya dalam apa jua berlaku dari dulu sehingga sekarang, apa yang saya kecapi hari ini bukan sahaja hasil kerja keras saya tetapi juga berkat doa mak ayah,” ujarnya yang merupakan pengasas baju jenama Axisto.

pelajar uitm 3

Pembentangan Amzar diserikan dengan tanda penghargaan buat ibu bapanya.

Pernah mencatatkan jualan tertinggi kira-kira RM180,000 untuk satu rekaan baju daripada pasukannya, Amzar berkata, kedua-dua ibu bapanya bukan berlatarbelakangkan bisnes, yang mana ibunya bergelar guru, manakala bapanya berkhidmat sebagai anggota bomba.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UiTM ‘tunjuk taring’ reka jersi untuk 1,500 peserta sukan! Tampil rekaan ‘garang’ di padang, bergaya di kelas

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UiTM Kedah bikin gempak, anjur pertunjukan fesyen peraga koleksi 2024... Baju laku keras, raih jualan RM180,000!

“Tetapi mereka sentiasa sokong apa yang saya hendak buat dan sentiasa positif. Bila mereka beritahu rekaan baju yang saya buat tu cantik, itu pun sudah menaikkan semangat saya,” ujar anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.

pelajar uitm 1

Amzar (tiga, kanan) bersama wakil pensyarah dan pelajar dari UiTM yang turut hadir pada AYEF 2024.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu turut berkongsi perasaan terharu apabila disapa oleh salah seorang peserta dari Indonesia yang mengagumi perjalanan bisnesnya.

“Ada satu momen masa ambil gambar beramai-ramai, ada seorang peserta menegur saya. Dia beritahu ‘Kami terinspirasi dengan anda’ dalam ramai-ramai yang buat pembentangan.

“Sememangnya saya terkejut kerana tak sangka penyertaan pertama kali ini dapat membuatkan antara mereka berpuas hati dengan apa yang saya sampaikan,” tambahnya.

pelajar uitm 4

Amzar (tengah) bersama rakan pasukan Axisto.

Malah, Amzar turut mengakui pernah melalui fasa diuji dengan kesulitan dan kesedihan yang boleh menjejaskan motivasinya dalam pelajaran dan perniagaan.

“Jujurnya, ada masa sedih sampai nak putus asa. Tapi saya fikir balik, masa ‘down’ tu bukanlah untuk putus asa, tetapi sebenarnya ‘berehat sekejap’.

“Sebab ramai je yang berada di tempat kita dan kita tak sedar, jadi kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang, teruskan apa yang kita buat. Jangan buat separuh jalan dan berhenti.

“Apa yang saya kongsikan ini bukan saja untuk anak-anak muda dan mereka menjalankan bisnes, tetapi apa jua bidang diceburi kerana semuanya ada cabaran dan ujian masing-masing. Kita semua sama, yang penting kita tahu bagaimana untuk menanganinya,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain