suria

Ibu dicaj extra RM700 ketika tukar beli gelang emas, staf buat invois palsu! Habib tampil beri penjelasan, jurujual digantung tugas

Seorang lelaki berkongsi kisah ibunya yang didakwa menjadi mangsa penipuan staf Habib Jewels.

SEORANG lelaki mendakwa ibunya menjadi mangsa penipuan kakitangan kedai emas dan perhiasan terkenal di cawangannya di Petaling Jaya ketika melakukan urusan 'tukar beli' (trade-in) pada Jumaat.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman TikTok, lelaki yang menggunakan akaun @qushayry11 itu berkata, kejadian tersebut berlaku ketika ibunya mengunjungi cawangan Habib Jewels di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor.

"Mak saya nak trade-in seutas gelang emas lamanya, yang kami adik-beradik pernah belikan gelang itu di tempat yang sama beberapa tahun lepas.

"Mak datang untuk trade-in dan upgrade dengan seutas gelang yang baru.

"Sales advisor atau sales person di situ beritahu, harga gelang lama sekitar RM3,800, which is naik nilainya berbanding masa kami beli, namun tanpa memberitahu nilai emas hari tersebut.

"Dia juga beritahu hanya perlu tambah RM2,000 untuk upgrade seutas gelang emas yang baru. Totalnya jadi lebih kurang RM5,800," kongsinya.

habib 2

Tangkap layar (screenshot) pembayaran berjumlah RM2,000 yang dibuat oleh ibu lelaki tersebut.

Menurut lelaki itu, ibunya tanpa ragu-ragu membuat pembayaran secara atas talian berjumlah RM2,000 sebagaimana yang dimaklumkan.

Bagaimanapun selepas pulang ke rumah, ibunya tergerak hati untuk meneliti semula resit belian dan kemudian menyedari bahawa jumlah yang ditulis pada resit adalah berbeza dengan nilai yang sudah dibayar.

"Tiga hingga empat jam kemudian, mak sedar yang nilai transfer ditulis RM1,100 lebih, bukan RM2,000.

"Mak hubungi customer service dan diberitahu mak saya buat dua pembelian. Pertama seutas gelang emas dan sebentuk cincin. Tapi dalam resit nyatakan gelang emas sahaja, tak ada cincin," ceritanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Catu makanan di usia emas, makcik ‘pencen’ masih perlu kerja e-hailing... Duit simpanan lesap gara-gara satu pautan!

ARTIKEL BERKAITAN: Nak beli baru harga ‘keras’, impian ibu miliki ‘stroller preloved’ berkecai - “Saya tak halal, dia aniaya anak istimewa!”

Lantaran itu lelaki itu berkata dia bersama ibu dan adik-beradiknya kembali ke cawangan kedai emas berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

"Seorang kakitangan menjelaskan kepada kami berdasarkan apa yang diceritakan oleh sales advisor itu kepadanya.

"Sebenarnya ada tiga resit. Yang diberi kepada mak saya adalah resit gelang emas sahaja, resit trade-in dia tak bagi. Kemudian tiba-tiba ada resit cincin sedangkan mak saya beli gelang emas sahaja. Macam mana boleh ada cincin yang berharga RM700 lebih?

"Kemudian dia beritahu cincin itu adalah pembelian pelanggan sebelumnya. Tapi invois cincin itu pukul 4.32 petang, mak saya beli gelang pukul 4.31 petang. Dekat situ dah salah. Apabila tanya, dia tak dapat jawab," kongsinya lagi.

Biarpun sudah mendapat semula wang lebihan yang dibayar ibunya, namun lelaki tersebut terkilan kerana kakitangan yang berkenaan langsung tidak membuat permohonan maaf.

Kami mohon maaf atas kejadian ini dan ingin meyakinkan para pelanggan bahawa ini adalah insiden yang tidak mencerminkan nilai perniagaan Habib.

HABIB JEWELS

"Biasanya kalau ada kesilapan, kita akan minta maaf. Ini tak ada, muka blur dan seperti niatnya untuk scam.

"Kita faham kalau tersalah kira atau key-in. Tapi ini senyap, tak boleh jawab dan buat muka blur je.

"Kalau mak saya tak call, agak-agaknya RM700 lebih tu burn macam tu saja. Itu baru seorang customer. Kalau berapa ramai ibu-ibu, kakak-kakak yang beli, bukankah banyak?

"Ini bukan nak jatuhkan mana-mana brand, sebab saya pun berniaga dan saya faham. Keduanya, pengikut saya ramai kalangan kakak-kakak, makcik, jadi ini sebagai awarenes kepada mereka," ujarnya lagi.

habib 4

Kenyataan rasmi daripada pihak Habib.

Hingga berita ini disiarkan, video tersebut meraih lebih 645,000 jumlah tontonan di laman TikTok.

Sementara itu, Habib dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu malam memaklumkan isu berkenaan sedang disiasat.

"Kami segera menangani aduan pelanggan dengan sewajarnya. Pekerja yang terlibat juga diletakkan di bawah cuti pentadbiran sementara kami memulakan siasatan dalaman untuk menjamin semakan yang adil dan saksama terhadap kejadian itu.

"Kami mohon maaf atas kejadian ini dan ingin meyakinkan para pelanggan bahawa ini adalah insiden yang tidak mencerminkan nilai perniagaan Habib dalam mengekalkan standard etika yang tinggi dalam amalan perniagaan kami," demikian kenyataan berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain