ADAT bagi mereka yang menceburi bidang perniagaan, sudah pasti ada waktu untung ruginya. Ada masa jualan benar-benar laris sehingga tidak menang tangan melayan pelanggan, namun ada ketikanya satu barang jualan pun tidak laku. Percaya atau tidak, bagi sesetengah kes, perkara ini berlaku disebabkan sihir gara-gara timbul rasa iri hati pihak lain. Pernah berdepan dengan situasi serupa, seorang penjaja makanan turut berkongsi pengalaman pahit terkena sihir perniagaan sehingga membuatkan dia hampir berputus asa untuk mencari rezeki. Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Bella berkata, dia mencari rezeki dengan menjual sarapan pagi iaitu nasi berlauk di tepi jalan sekitar April lalu selepas berhenti kerja. Khemah gerai Bella yang rosak dipercayai ada kaitan dengan apa yang menimpanya. "Saya bersama dua adik bermula dengan berniaga dengan buka bonet kereta saja. Tak sangka jualan kami dapat sambutan dan selepas dua minggu berniaga, kami mula buka meja. "Tiga bulan pertama jualan kami sangat laris. Buka pada 6.30 pagi, sebelum pukul 9 pagi dah tutup gerai. Jualan mencecah 70 hingga 100 bungkus setiap hari. "Tapi sebelum Raya Haji lalu, customer dah start slow. Jadi apabila banyak tak habis, saya mula kurangkan kuantiti. "Waktu itu juga, saya baru perasan tapak saya berniaga tu ada banyak sampah seperti sisa makanan yang tak habis dan basi. Tapi tak terlintas apa-apa pun dalam fikiran," kongsinya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Pengamal perubatan kongsi cara batal sihir dihantar nak tutup periuk nasi! Ramai peniaga tak tahu rupa-rupanya tak boleh sembarangan ambil duit pelanggan ARTIKEL BERKAITAN: Cucuk bawang putih pada duit kertas RM100, gulung sebelum hulur... Peniaga kedai makan rasa perubahan, bisnes tiba-tiba jatuh! Cerita Bella, 29, bisnes kecilnya semakin merosot sehingga nasi berlauk jualannya hanya terjual tidak melebihi lima bungkus sehari. "Selepas lima hari bercuti Raya Haji, saya berniaga semula macam biasa. Tapi hairan, seorang customer pun tak singgah. "Hari ketiga buka selepas cuti raya, khemah patah dan terhumban dalam longkang. Sedihlah sebab itu punca pendapatan saya lepas berhenti kerja. "Saya kuatkan semangat, teruskan berniaga dengan buka bonet di tapak sama. Dalam tempoh seminggu buka bonet pun tak ada customer," kongsinya. Bella menambah, dia turut menghantar nasi berlauknya ke kedai makan namun hairan apabila diberitahu makanan jualannya basi. Percayalah pada rezeki masing-masing. Allah dah tetapkan, tak perlu hasad dengki. BELLA "Padahal saya dah buat R&D (research and development), nasi biasanya tahan sampai malam. Hairan juga. "Satu hari, seorang regular customer singgah gerai saya. Dia tanya 'bisnes akak okay ke?'. Saya pelik tapi jawab juga. "Hari itu juga sebelum buka gerai, saya jumpa perut ayam, kulit ayam yang macam baru disiang ada di tapak berniaga. Saya hairan sebab situ bukan tapak pasar. Itulah hari terakhir saya berniaga di situ," kongsinya lagi. Rentetan peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku membuatkan Bella terfikir bahawa apa yang dihadapinya berkemungkinan mempunyai kaitan. Bella berniaga sarapan pagi nasi berlauk Kelantan. "Saya cerita dengan mak dan mak sarankan untuk cuba berikhtiar secara perubatan Islam. Tambahan pula seorang adik yang jadi tukang masak alami sakit misteri. Kami bawanya berubat. "Ustaz kata mungkin ada pihak yang kurang senang saya meniaga di situ. Tak sangka jadi sampai macam tu... saya nak cari rezeki je. "Sebelum berniaga di situ, saya research dulu... tengok makanan apa yang belum orang jual, lokasi dan sebagainya sebab tak naklah bersaing," kongsinya lagi. Turut memuat naik kisahnya di TikTok, Bella berkata dia sekadar ingin berkongsi detik-detik hitam yang dilalui selain mahu ia diambil pengajaran. "First time meniaga, inilah first kena macam ni. Apa yang boleh saya kata, percayalah pada rezeki masing-masing. Allah dah tetapkan, tak perlu hasad dengki. Saya berniaga kecil-kecilan saja, bukan nak kaya pun. "Kepada peniaga, kalau ada terasa benda aneh berlaku, cubalah ikhtiar. "Biarpun begitu, saya cuba bangkit dan tak mahu berputus asa. Cuma, saya berundur diri dan mencari rezeki di tapak baharu," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube