suria

Mutawif dedah kegiatan ‘jual’ agama ketika umrah, ramai mudah terpesona dengar ‘doa mustajab’ Pak Arab

Kaedah penipuan ini sering menjerat jemaah yang naif.

PELUANG untuk menunaikan umrah merupakan satu rezeki yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam.

Namun setiap yang dijemput ke sana perlulah berwaspada kerana pihak yang ingin mengambil kesempatan sentiasa wujud walaupun sedang berada di Tanah Suci.

Melalui satu perkongsian di laman TikTok, seorang mutawif dikenali sebagai Khidr mendedahkan modus operandi yang bertujuan mengaut keuntungan daripada jemaah umrah.

Aktiviti ziarah turut ditawarkan ketika menunaikan umrah. -Gambar hiasan

Menurutnya, kaedah penipuan yang licik ini sering berlaku di makam syuhada Uhud berdekatan Madinah.

"Jangan terpedaya dengan scam ini. Kalau kalian datang ke Uhud, biasanya ada seorang lelaki yang datang menghampiri kumpulan jemaah anda. Dia akan mendakwa dirinya daripada susur galur keturunan Ansar.

"Ansar merujuk kepada penduduk asal Madinah yang membantu perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk menegakkan syiar Islam. Pihak ini kemudian mempelawa anda untuk berdoa bersamanya, kononnya lebih mustajab.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah VIP duduk khemah mewah di Mina jadi bualan... Lelaki anggap tak rasa nilai ibadah sebenar - “Sah je haji dia, tapi tak best la”

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah haji merungut, marah suami dalam hati depan Kaabah... Allah nak tegur, sekelip mata pasangan hilang ketika tawaf!

"Ketika berdoa, individu terbabit akan membacakan beberapa doa dalam bahasa Arab, misalnya Ya Allah terima la ziarah kami ke kubur para syuhada ini sambil memanggil nama sahabat Rasulullah seperti Hamzah bin Abdul Muttalib.

"Mereka yang tidak tahu-menahu akan mengikut doa ini dengan membuta tuli tanpa menyedari bahawa individu berkenaan sebenarnya sedang menunggang agama," jelas Khidr.

Tambah Khidr, selepas selesai berdoa, individu tersebut akan meminta untuk diberikan hadiah atau wang sebagai tanda penghargaan.

SubhanAllah, dengan menggunakan agama pun boleh buat duit.

KHIDR

MUTAWIF

"Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri, selepas habis je berdoa, lelaki tu dengan selambanya cakap, sila bayar saya. SubhanAllah.

"Dengan menggunakan agama pun boleh buat duit. Jadi jangan mudah terjerumus ke dalam penipuan sebegini. Banyak sangat golongan seperti mereka di tempat tumpuan ziarah.

"Elakkan bagi duit dekat orang tidak dikenali," ujar Khidr menutup bicara.

Anggota sindiket mencari mangsa di sekitar Jabal Uhud.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkongsikan pengalaman mereka dianiaya dengan penipuan yang serupa.

"Pernah sekali ni, ada seorang budak perempuan datang bagi air dekat saya dan suami, ingatkan memang dia ikhlas nak berbuat baik, rupanya lepas tu dia minta duit.

"Penipu ada di mana-mana saja dalam Tanah Suci, waktu saya tengah buat tawaf bersama keluarga depan Kaabah pun mereka boleh datang kacau," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain