KES membabitkan kehilangan individu termasuk kanak-kanak semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan, sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai. Justeru, ibu bapa atau penjaga sewajarnya mengambil teladan dengan mengawasi anak mereka walau di mana jua lokasi, agar kejadian sama tidak berulang. Namun begitu, masih ada segelintir golongan ibu bapa yang mengambil remeh soal keselamatan anak mereka, sebagaimana insiden yang dikongsikan oleh seorang wanita bernama @ainnuranida di TikTok. Menerusi hantaran berkenaan, wanita tersebut meluahkan kekesalannya dengan sikap seorang bapa yang berani meninggalkan anaknya seorang diri di atas motosikal yang sedang diparkir di kawasan sebuah pangsapuri. Wanita ini meluahkan kekesalan dengan sikap bapa kanak-kanak tersebut. "Aku baru keluar lif, hantar anak aku. Tiba-tiba ada tu motor berhenti. Bapanya turun (motor), anaknya tengah tunggu atas motor sorang-sorang. Depan mata aku ni. "Bapa dia naik atas, mungkin ambil barang kot. Sebab masa keluar lif tu aku dengar bapa dia cakap, 'tunggu sini tau, abah naik atas sekejap'. "So sekarang, aku punya risau dekat budak ni tambahan sekarang kes macam-macam, aku tengah tunggu bapa dia turun," katanya sambil memerhatikan kanak-kanak dalam lingkungan usia lima tahun itu dari dalam keretanya. ARTIKEL BERKAITAN: Panik anak autisme hilang, ibu terus terjun kolam ikan keli... Dah tak peduli rasa geli, kena sengat ARTIKEL BERKAITAN: “Dhia... baliklah” - Ibu rayu anak pulang, buka cerita perbualan terakhir dua beranak sebelum hilang Ketika itu, dia baru menghantar anaknya ke rumah pengasuh yang terletak di pangsapuri berkenaan. Menurut wanita tersebut, dia hairan bagaimana seorang bapa tergamak menggadaikan keselamatan anak sendiri dengan membiarkannya keseorangan. Kalau siapa-siapa berdepan dengan situasi macam saya, tolong jaga atau tengokkan budak tersebut. AINNUR ANIDA "Faham tak sekarang ni anytime je orang boleh culik budak ni, dan gerak. Apartment babysitter anak aku ni bukannya ada guard pun," ujarnya. Menurut wanita berkenaan, selepas kira-kira lima hingga 10 minit menunggu, bapa kanak-kanak berkenaan akhirnya muncul. Terpanggil untuk memuat naik insiden berkenaan di laman sosial, ujarnya, tindakan tersebut tidak lebih daripada untuk memberi peringatan kepada golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan anak masing-masing. Warga maya menyokong tindakan wanita berkenaan. "Setiap kali tengok berita-berita anak hilang, lebih menyayat hati tak jumpa anaknya semula atau anaknya meninggal dalam keadaan yang tak sempurna, Allah.... "Kehilangan anak adalah kehilangan yang paling berat sekali bagi ibu bapa. "Kalau siapa-siapa berdepan dengan situasi macam saya, tolong jaga atau tengokkan budak tersebut. Tolong jagakan dengan selamat. Siapa tahu esok lusa mungkin juga saya alpa. Minta-minta dijauhkan. "Saya harap ibu bapa, mahupun masyarakat kita sendiri lebih cakna, lebih prihatin dengan anak-anak dan masyarakat sekeliling," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube