BERPENGALAMAN dalam bidang masakan selama lebih 30 tahun, tapi harga yang ditawarkan bagi mendapatkan kepakarannya tak ubah seperti tukang masak setahun jagung. Begitulah luahan seorang cef apabila sebuah syarikat terkemuka mahu mendapatkan khidmatnya bagi mengadakan kelas memasak untuk sekumpulan 30 peserta namun dengan kadar bayaran rendah. Menerusi mesej aplikasi WhatsApp, pihak berkenaan menetapkan bajet sebanyak RM1,500 untuk keseluruhan kos. "Walaupun saya ni hanya sekadar tukang masak, janganlah sampai pandang saya macam tu. Saya ni memanglah tak sama level dengan artis. "Tetapi beragak-agak la dalam menilai kemahiran orang," luahnya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya. Mesej daripada wakil sebuah syarikat terkemuka yang mahu mendapatkan khidmat Chef Amer. Chef Amer bagaimanapun berkata, hantarannya itu bukan mahu meluahkan kemarahan tetapi berkongsi kesedihan terhadap segelintir masyarakat yang tidak menghargai seorang tukang masak profesional. Turut berpengalaman sebagai pengajar dalam bidang masakan selama hampir 20 tahun, Chef Amer berkata mengadakan kelas memasak bukan semudah yang disangka kerana memerlukan persiapan rapi. "Hendak kendalikan kelas memasak bukan macam setup gerai jual cucur udang kat pasar malam. Untuk kendalikan 30 peserta tu, saya memerlukan sekurang-kurangnya empat kru (petugas). "Persoalannya kenapa penyanyi boleh dibayar RM20,000 hingga RM30,000 untuk satu lagu? Mereka yang menyanyi dianggap hebat sangat, tetapi bagaimana pula tukang masak yang ada kemahiran dan pengalaman berpuluh tahun? "Betapa susahnya kita nak sampai ke tahap ini, tapi segelintir mereka hanya pandang kita sebelah mata," katanya kepada mStar. Chef Amer berkata, kelas memasak memerlukan persiapan rapi termasuk bahan-bahan masakan dan peralatan. Bercerita lanjut, tukang masak berusia 50 tahun itu memberitahu, meskipun kelas memasak tersebut sekadar menu bajet bertemakan Merdeka, tetapi persediaan dan peralatan untuk kumpulan 30 peserta perlu disediakan secara teratur. ARTIKEL BERKAITAN: Gerai jadi tumpuan, tapi terkejut tukang masak tuang sepaket garam dalam nasi goreng! Letak tauge pun jadi ‘isu’ ARTIKEL BERKAITAN: Masak 28 jenis lauk, lelaki reda hujung Ramadan bos bagi gaji ciput! Tanpa disangka dibayar mahal kerja part time jadi imam Menurutnya, banyak kos lain yang bukan sekadar bahan masakan sahaja, ia turut merangkumi kos pekerja, sewa bangunan, utiliti, pembersihan dan peralatan. "Nak buat kelas masakan ni sama macam kursus. Selain bahan-bahan masakan dan peralatan memasak, peserta pun akan disediakan makan minum dari pagi sampai petang. Itu pun ada kos juga. "Di akademi saya, kos kelas memasak bagi satu modul adalah antara RM270 dan RM350 seorang bergantung kepada menu dan jenis masakan. "Pihak tersebut dah tetapkan bajet RM1,500 untuk 30 orang, bermakna caj untuk seorang adalah RM50. Kalau RM50 seorang, saya dan pekerja tak ada gaji," ujarnya yang mengendalikan akademi memasak sejak 2009. Sering dijemput untuk mengadakan kelas memasak dan demonstrasi masakan. Berasal dari Johor, Chef Amer memiliki Diploma Sains Pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor sebelum menyambung pengajian dalam teknologi konfeksi gula dan coklat di ZDS Central College of the German Confectionery di Jerman. Dia juga mendapatkan kemahiran latihan dalam pembuatan pralines dan handmade chocolate di Barry Callebaut Academy di Belgium. Walaupun cef atau tukang masak bukan artis, tapi mereka juga ada kelayakan dan kemahiran secara profesional. CHEF AMER Selain itu Chef Amer berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut melantiknya sebagai tenaga pengajar dan pemudah cara untuk usahawan di bawah agensi kerajaan itu daripada segi masakan, teknik memasak dan penjimatan kos untuk berniaga dalam bidang makanan dan minuman (F&B). "Saya juga mengadakan kelas memasak secara online dan offline. Untuk kelas secara online, saya mempunyai kira-kira 25,000 pelajar yang belajar pelbagai jenis masakan," ujarnya yang turut mengusahakan bisnes pes makanan. Sekumpulan peserta tekun melihat Chef Amer memasak. Bagaimanapun kata Chef Amer, dia faham sekiranya sesebuah syarikat mahupun perseorangan mempunyai bajet tertentu untuk mendapatkan khidmatnya mengadakan kelas memasak. "Pihak berkenaan mungkin tak tahu caj atau kemahiran seseorang cef tapi kena ada caranya. Setiap perkara perlu ada adab, bukan main terjah je. "Dia sepatutnya tanya dulu dan berbincang, bukannya terus letakkan bajet. Nak suruh saya ajar cara goreng sosej jer ke dengan bajet begitu?" katanya kesal. Bukan menolak rezeki, Chef Amer bagaimanapun menjelaskan dia terpaksa menolak permintaan tersebut secara baik kerana tidak berkelapangan pada tiga tarikh tersebut kerana sudah mempunyai komitmen untuk menganjurkan kelas memasak. "Ini pertama kali berlaku. Saya harap semua pihak mempunyai kesedaran, walaupun cef atau tukang masak bukan artis, tapi mereka juga ada kelayakan dan kemahiran secara profesional," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube