SETIAP ibu bapa pasti mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Begitulah juga apa yang dilakukan Mohd Ariff Salleh, 39, dan isteri yang berusaha menunaikan permintaan anak sulung, Abdullah Mas'ud Mohd Ariff untuk meraikan hari lahirnya pada Sabtu (17 Ogos). Ketika dihubungi mStar, Ariff mengakui ada memberitahu anaknya itu bahawa dia masih belum mendapat gaji untuk menyambut hari jadinya. "Sebelum ni, setiap hari anak sulung ingatkan saya dan ibunya yang tarikh hari lahir dia sudah dekat. Memang dia teruja sangat nak sambut. Keluarga kecil Ariff. "Jadi saya dan isteri tak tahu nak buat kejutan macam mana. Jadi saya berpakat dengan isteri cakap dekat dia, tak sambut lagi hari lahir dia pada Sabtu sebab ayah tak gaji lagi. "Nak sambut hari Sabtu minggu depanlah lepas gaji dah masuk. Nampak la dia macam kecewa sikit tak jadi sambut tapi dia boleh terima dan memahami keadaan ayah dia masa tu," ujarnya. Sebagaimana dirancang Ariff dan pasangannya, Nur Ain Muda, 34, kejutan sempena ulang tahun kelahiran Mas'ud 'menjadi' apabila anak sulungnya itu terkejut lalu menangis terharu. Malah video yang dimuat naik juga meraih perhatian ramai dengan lebih 500,000 jumlah tontonan yang mana rata-rata warganet tersentuh melihat momen tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Piknik kejutan hari jadi hampir musnah, lampu deko tak menyala! Rupanya ‘power bank’ dicuri ketika solat Maghrib ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan hari lahir sumandak Sabah tak menjadi, ramai terlopong tengok ‘art berat’ penjual - “Macam kek Halloween” Dalam rakaman itu, Mas'ud yang dilihat tidak dapat menahan sebak terus memeluk ibunya yang sedang berdiri memegang kek di ruang tamu rumah sewa mereka di Kuala Terengganu. Bercerita lanjut, Ariff yang bekerja sebagai buruh ini berkata, dia pada mulanya membawa Mas'ud ke kedai makan sebagai sebahagian daripada rancangan kejutan tersebut. "Sebelum sambut tu, saya ajak dia pergi kedai runcit beli mi dan kue teow. Saya cakap beli la apa dia nak sebab tak sambut hari lahir dia hari tu. Saya ni bukan la 'senang' mana. Sekadar Allah SWT bagi cukup. MOHD ARIFF "Lepas balik kedai tu la berlaku kejadian macam saya rakam dalam video di TikTok. Saya nak simpan video tu sebagai kenangan tapi tak sangka pula perkongsian tu boleh viral," ujar Ariff. Dalam pada itu, warga maya juga tersentuh melihat suasana sambutan hari jadi itu apabila melihat anak kedua pasangan tersebut juga gagal menahan sebak melihat momen abangnya berpelukan dengan ibu. Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, anak keduanya, Abdullah Talhah yang berusia sembilan tahun dapat menjangka lebih awal mengenai kejutan tersebut. "Anak saya sedih tu sebab dia dapat agak ayah dia nak sambut hari jadi Along (panggilan Mas'ud). Dia dapat rasakan kami sorok sesuatu dalam peti sejuk. Anak kedua Ariff turut mengalirkan air mata melihat abangnya menangis. "Peti sejuk tu ibu dia ada tampal kertas 'rosak' supaya tidak dibuka oleh anak-anak. Dia tanya saya ada 'benda' ke dalam peti ais tu. Tapi saya cakap tak ada. "Bila dia tengok sendiri dan tekaan tu tepat, tu dia rasa sedih. Terharu Along dapat sambut hari lahir. Tu sebab dia sebak. Lagi sedih bila saya terangkan kenapa buat macam tu," ujar Ariff. Ariff yang sudah berumah tangga selama 12 tahun berkata, dia berharap anak-anaknya dapat memahami cara didikan yang diterapkan oleh dia dan isteri. "Saya dan isteri cuma nak bagi anak-anak rasa dihargai sahaja dengan cara dan kehidupan kami sekeluarga. "Saya ni bukan la senang mana. Sekadar Allah SWT bagi cukup. Tapi semua tu sudah memadai dan buatkan saya bersyukur dengan keluarga kecil kami ni," jelasnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube