SEORANG wanita tidak menyangka insiden ditegur oleh seorang lelaki tidak dikenali menyebabkan dirinya nyaris menjadi mangsa penipuan. Lebih mengejutkan, kejadian didakwa berlaku di dalam kawasan masjid di Shah Alam, Selangor, itu terjadi ketika dia mahu menunaikan solat Maghrib. "Disebabkan parking penuh area depan, saya pusinglah sampai belakang walau saya sebenarnya paling tak suka parking jauh-jauh ni. Bukan faktor malas jalan tapi faktor keselamatan," katanya menerusi satu perkongsian di Facebook. Memandangkan dia kurang sihat, dia meminta anak perempuannya dan anak saudara masuk ke masjid untuk solat terlebih dahulu. Jemaah wanita khusyuk menunaikan solat berjemaah. -Gambar hiasan Sementara menunggu bersama seorang lagi ahli keluarga, dia kemudian menyedari tiba-tiba datang sebuah kereta Proton X70 putih berhenti di tepi kenderaannya tetapi bukan di dalam petak parkir. "Saya cepat-cepat double confirm pintu kereta dah kunci ke tak? Alhamdulillah dah kunci. Memang selalu amalkan begitu. "Saya nampak pemandu X70 tadi lalu belakang kereta saya. Berbaju Melayu, seluar slack, pakai cermin mata. Innocent sangat mukanya," ujarnya. Bercerita lanjut, katanya, lelaki berkenaan berjalan sambil matanya melilau meninjau keretanya dan berpatah balik sebelum mengetuk cermin keretanya. "Tiba-tiba dia ketuk cermin kereta. Saya buka sikit je tingkap, tak sampai sejengkal pun. 'Ye?' soal saya. "Dalam keadaan suara sebak dan menangis dia cakap macam ni, 'Akak, akak ada kenal tak mana-mana jemaah masjid ni tak, kak?'. Maaf, tak ada," jawabnya ringkas. ARTIKEL BERKAITAN: Scammer ‘alim’ gigih buat drama sedih di surau, acah-acah ambil wuduk selepas sedar tersalah pilih mangsa! ARTIKEL BERKAITAN: Mudir dedah pelajar tak guna pun al-Quran wakaf, di masjid pula dah banyak naskhah... Minta hati-hati pihak ‘jual’ nama pusat tahfiz Namun, tangisan lelaki itu membuatkan dia bertanya kerana ingin tahu, dikhuatiri berlaku sesuatu yang tidak diingini atau kecemasan seperti kematian. "Kak, Ah Long kejar saya kak. Saya takut, saya tak tahu nak buat apa sekarang ni kak. Akak tolong saya kak. Bantu saya kak. Tolong transfer sikit duit, sambil dia keluarkan telefon dia," katanya yang mengimbas kembali perbualan bersama lelaki misteri itu. Seorang lelaki mendakwa dirinya dikejar Ah Long. -Gambar hiasan Bertindak pantas, wanita itu segera menutup bahagian tingkap kereta yang dibuka tidak sampai sejengkal itu. "Maaf, maaf... saya tak mampu tolong. Terus dia lari dalam keadaan macam marah. Dia drive dan perhatikan lagi kereta-kereta lain, cari mangsa yang duduk dalam kereta. "Allahuakbar, takutnya saya masa tu. Buatnya saya jawab saya kenal dan dia suruh tunjukkan, macam mana? Kalau saya keluar je dari kereta, lepas tu tiba-tiba keluar lagi dua, tiga orang dari kereta tu? Allahuakbar," katanya. Lega tiada sebarang kejadian buruk berlaku, wanita itu menitipkan pesanan supaya masyarakat lebih berhati-hati tidak mengira tempat dan waktu. "Musim sekarang ni, kena hati-hati. Tak apa la, tak positif pun untuk hal-hal sebegini. Manusia sekarang tak tahu yang mana betul, mana tak betul. "Dalam kawasan masjid pun mereka sanggup (menipu). Semoga kita dan ahli keluarga kita sentiasa dalam jagaan dan lindungan Allah," katanya lagi. Dalam kawasan masjid pun mereka sanggup (menipu). JEMAAH WANITA Menerusi hantaran berasingan, wanita itu kemudian tampil menjelaskan sebab dia mengambil sikap berhati-hati selepas dikritik kerana berfikiran negatif ketika kejadian itu. Dia kemudian mendedahkan pernah melalui pengalaman dirompak yang mana pelaku menggunakan parang ketika insiden mengerikan itu. Seorang individu tidak dikenali minta untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun banknya. -Gambar hiasan "Orang yang merompak tu berpakaian kemas, kemeja, seluar slack, kasut berkilat dan bawak beg laptop. Waktu tu saya di spa baru selesai buat rawatan muka. "Tengah nak buat bayaran, tiba-tiba pintu kaca spa diketuk lelaki berpakaian kemas yang pakai beg tu. Pintu tu memang berkunci. Tapi bila pekerja spa tu tanya dia kata ada dokumen yang perlu dihantar dan perlu dapatkan tandatangan. "Pekerja spa tu buka pintu, lelaki tu masuk dan dia buka beg. Bila dia buka beg, bukan dokumen yang dia keluarkan tapi parang! "Menggigil masa tu, kepala dah fikir macam-macam. Memang ingat mati je sebab lagi dia perompak naik dengan parang dalam baju," katanya. Terus bercerita, katanya, kumpulan perompak itu mengurung mereka dalam sebuah bilik kecil sambil menambah wang dan barang berharga turut dirampas. "Mereka ambil semua wang tunai, emas dan kad bank. Dah la duit nak bayar gaji staf waktu tu. Siap ugut bunuh dengan parang kat leher masa tu. "Dipendekkan cerita, kami lari keluar dari spa selepas 30 minit kejadian. Disebabkan kes ni, saya trauma dan sangat berhati-hati dengan orang yang tak kenali," katanya yang mengharapkan individu berkenaan dan semua pihak memahami situasinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube