suria

Pusat tahfiz terbakar, ustaz kongsi pengalaman menyayat hati urus jenazah mangsa... Ramai rakan ‘tak kuat’ undur diri

Video kebakaran sebuah pusat tahfiz yang menggemparkan negara. -Gambar hiasan (kanan)

TANGGAL 14 September 2017 menjadi detik hitam untuk negara apabila seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz, Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur terkorban dalam kebakaran.

Lebih menyayat hati apabila siasatan mendedahkan kebakaran tersebut mempunyai unsur jenayah iaitu didalangi sekumpulan remaja yang berniat jahat.

Menerusi rakaman video tular pada ketika itu, kedengaran jeritan meminta pertolongan susulan mangsa terperangkap selepas pintu bilik disekat si pelaku dan akhirnya suasana menjadi sepi setelah semua kehilangan nyawa.

Ustaz Rafieudin mengimbas pengalaman paling pahit sepanjang menguruskan jenazah.

Melalui satu hantaran video di TikTok, Ustaz Rafieudin Zainal atau lebih popular dikenali sebagai Undertaker berkongsikan pengalaman yang menyentuh hatinya ketika menguruskan jenazah mangsa-mangsa berkenaan.

Ustaz Rafieudin yang juga Pengarah Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menceritakan kisahnya itu dalam satu temu bual bersama stesen radio berpusat di Pantai Timur, THR Gegar.

"Setakat menguruskan mayat hancur dan berulat sudah biasa untuk saya sepanjang dalam bidang ini, tapi kalau nak bicarakan tentang pengalaman yang tak boleh dilupakan, saya boleh cakap mayat mangsa Darul Quran Ittifaqiyah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandi jenazah geram anak lelaki sibuk nak beri khidmat terakhir mandikan arwah ibu - “Berbakti ketika mereka masih hidup”

ARTIKEL BERKAITAN: Petang sampai sahur, jenazah masih tak dikebumi! AJK masjid guna kuasa veto... Letak ‘syarat zalim’, buat kubur hak eksklusif

"Saat ketika saya menguruskan jenazah mereka memang sukar nak dipadamkan daripada ingatan, bukanlah kata trauma, tapi apabila saya kenang tu terasa sedih di hati.

"Saya sebak membayangkan budak-budak tahfiz ni masih kecil. Keadaan mereka sewaktu saya uruskan tu datang dalam pelbagai 'bentuk' akibat terbakar, seperti tiada apa yang tinggal.

"Kemudiannya nak berdepan dengan waris yang duduk merintih dan meratap, ada seorang mak tu apabila cium jenazah anaknya, saya lihat melekat kulit terbakar dekat mukanya. Susah saya nak lupakan, sedih sekali," jelas Ustaz Rafieudin.

Sedih sangat apabila nyawa insan tidak bernyawa diragut begitu sahaja.

WARGA MAYA

Dalam pada itu, Ustaz Rafieudin berkata ada beberapa rakan sejawatnya yang memilih untuk mengundur diri kerana tidak mampu berdepan dengan keadaan jenazah yang menyedihkan.

"Saya uruskan jenazah ni dalam satu pasukan, ada ramai juga anggota saya apabila tengok keadaan jenazah rentung dengan bau hangitnya lagi, mereka rasa tak boleh teruskan dan memilih untuk keluar.

"Hanya mereka yang betul kuat kita benarkan untuk berada di dalam bilik pengurusan jenazah tu," kata Ustaz Rafieudin.

Premis Darul Quran Ittifaqiyah selepas dijilat api.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berduka atas tragedi yang menimpa pusat tahfiz terbabit.

"Semoga mereka yang bersalah dikenakan hukuman sekeras-kerasnya, sedih sangat apabila nyawa insan tidak bernyawa diragut begitu sahaja. InsyaAllah mereka mati syahid kerana meninggal dunia di jalan ilmu.

"Suara mereka minta tolong tu sampai sekarang terngiang-ngiang di telinga walaupun sudah beberapa tahun berlalu," demikian kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain