TUGAS seorang guru sememangnya tidak mudah. Dalam kegigihan menumpahkan keringat demi melihat anak muridnya berjaya, cabaran yang terpaksa dihadapi golongan pendidik ini bukan setakat melayan ragam pelajar, malah mereka juga perlu berdepan dengan kerenah ibu bapa. Dalam satu perkongsian di laman TikTok, seorang pendidik yang dikenali sebagai @syafwahraduan meluahkan kekecewaannya terhadap sikap ibu bapa kepada salah seorang pelajarnya yang enggan mengambil endah aduan mengenai situasi anak sendiri. "Minggu ni saya sangat sedih, saya sangat kecewa dengan parents seorang murid saya ni... sebab dia memang berkeras, memang tak ada bagi respon terhadap cadangan kami para guru untuk bawa anak dia jumpa doktor pakar bagi mendapatkan diagnosis. "Kitaorang cikgu-cikgu ni tak adanya suka-suka nak suruh anak anda tu pergi dibawa jumpa doktor, melainkan kami merasakan anak tu memang kena jumpa doktor sebab dia dah tak boleh cope, dah tak boleh nak bawa diri dalam aliran perdana. "Bila anda in denial (tak terima hakikat), anda tak nak bawa anak (jumpa doktor) dengan alasan 'oh tak apalah, nanti dia bolehlah... dia ambil masa'... sebenarnya anda dah menganiaya anak sendiri tau," luahnya. Tugas seorang guru sememangnya bukan tugas yang mudah demi memastikan pelajarnya berjaya. -Gambar hiasan Menurut guru tersebut, pelajarnya itu berkemungkinan merupakan murid yang berada dalam kategori berkeperluan khas kerana mempunyai masalah pembelajaran. Tambahnya lagi, ia dikesan daripada hasil pemantauan terhadap buku tulis pelajar tersebut yang dilihat mempunyai tanda-tanda 'redflag'. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tebal muka dapat tahu sikap anak istimewa di sekolah, sering harap kawan belanja makan - “Gagal ke aku sebagai mak?” ARTIKEL BERKAITAN: Pernah burnout, hilang kawalan pukul anak autisme... Wanita duga bapa tanya soalan sukar - “Abah serah kepada polis untuk siasat” "Kesian dekat anak sebab dia memang dah 'lemas' dalam aliran perdana ni, tahu tak? "So parents tolong check buku tulis anak, okay... tengok sama ada kerja-kerja sekolah mereka macam ini," kongsinya, sambil menunjukkan tulisan daripada buku tulis pelajarnya itu. Tambahnya, adalah penting untuk ibu bapa mengambil tindakan sewajarnya lebih awal iaitu mendapatkan diagnosis mengenai keadaan anak masing-masing kerana perkara ini melibatkan masa depan mereka. Anak saya dulu macam ini la, buku kosong je. Mula-mula memang in denial stage, tapi macam mana pun kena bantu anak. NETIZEN "Kalau dah dapat aduan daripada guru yang mengajar anak, tolong jangan paksa anak 'lemas' dalam aliran perdana, okay. "Jangan nafikan hak anak untuk mendapatkan intervensi yang mereka perlukan. The earlier the better, and better late than never. "Tak perlu malu sekiranya anak disahkan memerlukan pendidikan di aliran PPKI (Program Pendidikan Khas Intergasi). "Sama-sama bantu, sokong anak tu supaya dia berjaya, boleh mendapatkan pendidikan dan sokongan yang sepatutnya dia terima," kongsinya lagi sambil menambah, perkongsian tersebut bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi kesedaran demi masa depan pelajar berkenaan. Sebagai maklumat tambahan, PPKI adalah inisiatif yang terdapat di sekolah harian biasa, di mana ia adalah aliran yang dirancang untuk memberikan sokongan khusus kepada murid-murid berkeperluan khas dari ketiga-tiga kategori iaitu penglihatan, pendengaran, dan pembelajaran. Warga maya turut bersetuju dengan pandangan guru berkenaan. Perkongsian berkenaan mengundang perhatian warga maya, dengan rata-ratanya menyokong tindakan guru tersebut menyuarakan isu yang kurang diambil berat oleh segelintir ibu bapa. "Anak saya dulu macam ini la, buku kosong je. Mula-mula memang in denial stage, tapi macam mana pun kena bantu anak. Anak ADHD dan disleksia. Alhamdulillah dah masuk PPKI. "Saya sebagai ibu kepada anak PPKI amat berterima kasih atas keprihatinan guru dan pihak sekolah yang amat mengambil berat tentang pelajar. "Saya umur 23 tahun baru diagnos ADHD. Padahal zaman sekolah dah pernah cakap dengan parents tapi parents tak nak bawa sebab cakap saya tipu. "Bagus cikgu ni. Anak saya siap kena hina dengan cikgu-cikgu lama dia. Rupanya ada masalah, doktor yang detect," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube