suria

Tiba-tiba muncul di tandas, wanita serba salah belanja warga asing makan burger... Terfikir-fikir apa niat asalnya

Tindakan murni seorang wanita membantu warga asing turut disulami rasa curiga.

RAMBUT sama hitam, hati lain-lain.

Melihat dari luaran, sukar untuk membaca apa yang terbuku dalam sanubari seseorang, sama ada hatinya ikhlas, baik atau buruk niatnya dalam melakukan sesuatu.

Melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang wanita berkongsikan pengalaman mendebarkan, apabila dia dihampiri lelaki warga asing yang cuba meraih simpati untuk dibantu.

Ramai mudah simpati apabila dihampiri pengemis. -Gambar hiasan

Menurut wanita berkenaan, lelaki itu dipercayai warganegara Pakistan mendekati dirinya bagi menjual pen, namun kerana berasa curiga, dia memilih untuk tidak mengendahkannya.

"Waktu kejadian, saya di sebuah restoran makanan segera, tengah tunggu seseorang datang menjemput. Sementara tu saya masuk tandas sekejap nak betulkan rambut.

"Tiba-tiba melalui pantulan cermin, saya nampak ada lelaki Pakistan berdiri belakang saya. Terkejut, sampai panik! Rupanya dia jual pen dan minta saya beli. Tapi saya sedikit sangsi, lagi-lagi kes jenayah sedang berleluasa di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kata nak ikut abangnya” - Jalan sendirian di kawasan ramai warga asing, budak ini menonong naik kereta ‘stranger’... sikit pun tak rasa takut

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai setuju handphone punca masalah, majikan tak kejam jika larang maid guna - “Satu gajet punah semuanya”

"Saya tak pasti siapa yang boleh dipercayai, siapa yang betul memerlukan bantuan dan siapa yang berniat mengancam keselamatan kita. Jadi saya beritahu yang saya tengah tak ada wang tunai waktu tu, tak boleh beli.

"Kemudian dia tunjuk bahagian lengan kiri dia ada kecederaan, nampak macam dah bernanah. Mungkin harapannya nak mendapatkan belas ihsan saya," imbas wanita itu.

Akhirnya wanita itu berasa simpati dan bersetuju untuk membelikan lelaki warga asing tersebut hidangan burger.

Sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling, bahaya boleh datang pada bila-bila masa.

WARGA MAYA

"Saya cakap terus terang yang saya tak akan beri duit, tapi saya boleh belanja dia burger. Lelaki Pakistan tu setuju, saya pun bawa dia ke kaunter, saya minta dia pilih burger yang dia teringin dan kemudiannya saya bayarkan.

"Selepas tu saya kembali semula ke meja makan, saya biarkan dia seorang diri tunggu pesanan siap. Dari jauh saya curi-curi pandang apa dia tengah buat, nampak dia duduk sambung menjual pen dia tu.

"Apabila burger dia siap, lelaki Pakistan tu terus melahap dengan laju sekali. Saya berbesar hati dapat membantu.

"Apa-apa pun, peringatan penting terutamanya kepada kaum Hawa, sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling, bahaya boleh datang pada bila-bila masa," ujarnya menitipkan pesanan.

Warga maya menzahirkan rasa penghargaan.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya juga menekankan kepentingan untuk mempercayai firasat sekiranya ada sesuatu yang dirasakan tidak kena.

"Pernah juga ada warga asing ni datang minta duit nak beli ubat daripada saya dengan ibu, kami cakap tiada wang waktu tu.

"Lepas tu ibu rasa kesian, ajak pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk keluarkan duit, tapi saya cakap tak payah sebab rasa tak sedap hati.

"Ya betul, tak perlu baik hati sangat dengan mereka. Pernah nampak orang kita belikan ubat untuk warga asing dI farmasi, tak lama kemudian warga asing tu datang balik, minta tukar duit dengan ubat yang dibelikan," kata beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain