suria

Majlis merisik ‘background’ pisau, gadis pakai baju-T disarungkan cincin! Pakwe nak cepat nikah, segan ditegur bapa

Arina bersama bakal ibu mentuanya ketika dirisik pada Jun 2020.

MERISIK merupakan salah satu adat untuk pihak lelaki mengenali sikap dan personaliti gadis yang ingin dipinang.

Dalam tradisi ini kedua-dua belah keluarga akan bertemu buat kali pertama, justeru adab, imej serta penampilan yang positif perlu ditonjolkan.

Bagaimanapun melalui satu video tular di laman TikTok, seorang gadis dilihat hanya mengenakan pakaian kasual iaitu baju-T lengan panjang dengan gambar Mickey Mouse ketika dirisik keluarga teman lelakinya.

Arina bertunang pada Ogos 2020.

Bercerita lanjut kepada mStar, Arina, 28, berkata video itu dirakam pada tahun 2020, dia kini sudah bahagia mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Syafiq, yang sama usia dengannya selama hampir empat tahun.

Menurut Arina, kejadian dalam video tular itu berlaku gara-gara Syafiq yang ketika itu teman lelakinya tidak memaklumkan terlebih dahulu niat sebenar bertandang ke rumah.

"Waktu tu Jun 2020, tengah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi tempat saya di Muar, Johor sudah diberikan kelonggaran merentas daerah. Sebelum kejadian, saya di rumah atuk tolong dia usahakan warung.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati ‘menjerit’ nak kahwin! Dulu tak suka rakan sekelas, lama-lama jadi sayang... Gadis Sungai Petani lega bapa bagi ‘green light’

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tak sempat ‘buang hajat’, bilik hotel diserbu jabatan agama Islam! Pasangan ini gelabah, 18 tahun kahwin tapi tiada kad nikah

"Warung atuk depan rumah je dan berdekatan dengan kediaman keluarga saya. Tiba-tiba Syafiq mesej cakap nak datang makan di warung, ibu dan ayah dia ikut sekali. Saya pun cakap okay je, tak fikir apa sangat waktu tu.

"Saya dah berkawan dengan Syafiq sejak 2019, jadi tak ada rasa kekok. Tak lama selepas tu, Syafiq sampai dan order makanan macam biasa. Kemudian saya nampak mak ayah Syafiq pergi berborak dengan ibu bapa saya yang juga ada di warung.

"Ketika itulah terbongkar hasrat Syafiq untuk merisik saya, pandai dia sembunyikan. Rupanya dia dah siap beli cincin sekali, waktu tu Syafiq bagi mak dia pegang," jelas Arina yang merupakan seorang penjawat awam.

Kalau nak tahu, cincin tu memang Syafiq beli sendiri, dia yang keluar seorang pergi cari.

ARINA

Selepas tergamam dengan situasi yang amat spontan itu, Arina seterusnya dipelawa untuk ke bahagian dapur warung bagi sesi menyarung cincin.

"Mula-mula ingat nak sarung cincin dekat warung tapi segan pula kalau pelanggan lain tengok, jadi kami pun ke dapur belakang. Saya cabut apron dan cepat-cepat kemas apa yang patut di dapur tu.

"Mengejut sangat sampai tak sempat buat persediaan, sebab tu dalam gambar boleh nampak ada pisau, penyapu dan sebagainya dekat belakang. Ada netizen tanya kenapa saya tak sarung jubah apa-apa supaya nampak lebih sesuai.

Syafiq dan Arina selamat diijabkabulkan.

"Memandangkan waktu tu dekat rumah atuk, memang tak ada langsung baju yang sepadan dengan saya, pakaian saya semua dekat rumah keluarga. Kalau ada pun jubah atuk, tapi tak kena la kalau saya pakai.

"Apa-apa pun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, dua bulan selepas tu kami bertunang dan awal tahun 2021 kami berkahwin," ujar Arina yang suaminya bekerja sebagai peniaga makanan.

Menjelaskan sebab suaminya memilih untuk merisik secara senyap-senyap, Arina berkata ia mempunyai kaitan dengan teguran bapanya sebelum itu.

Momen yang sering membuatkan Arina tersengih apabila mengenangkannya kembali.

"Waktu zaman kami dating, kerap la juga saya dengan Syafiq keluar berjalan. Kemudian ayah pun cakap, hubungan kami nampak serius, bila nak pergi ke fasa yang seterusnya? Saya pun sampaikan pesanan ayah ni dekat Syafiq.

"Mungkin dia rasa serba salah, bawa anak dara orang keluar tanpa ada ikatan, itu yang Syafiq terus terburu-buru nak merisik saya. Tersentuh la juga hati, sebab masa tu dia belum bekerja tetap lagi, tapi cekal kumpul duit untuk beli cincin.

"Kalau nak tahu, cincin tu memang Syafiq beli sendiri, dia yang keluar seorang pergi cari. Jangan main-main kalau lelaki dah tercabar ego. Nasib baik cincin tu muat dengan jari saya, cuma saya rasa longgar sikit, mungkin terlebih satu saiz.

"Selepas dirisik, saya hanya muat naik di media sosial gambar cincin dekat jari sebagai perkongsian berita gembira. Kawan-kawan pun tak tahu apa yang sebenarnya terjadi sampai la saya dedahkan di TikTok baru-baru ni," kata Arina menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain