suria

Asalkan ‘sado’, abang bomba tetap kena serbu... Anggota Ipoh terkejut tiba-tiba ‘famous’, peminat cilik menangis tak dapat autograf!

Muhammad Umar akui terkejut apabila diserbu murid di sebuah sekolah.

SABAN tahun, kemunculan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pasti menjadi tumpuan ramai ketika menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Dek kerana teruja, ramai yang sanggup datang ke lokasi lebih awal semata-mata tidak mahu ketinggalan menyaksikan anggota bomba yang segak dan bertubuh sado secara langsung.

Bayangkan pula jika dapat beramah mesra dan bergambar dengan anggota bomba yang selama ini hanya dapat dilihat dari jauh, pasti rasa terujanya lain macam bukan?

Demikianlah perasaan pelajar sebuah sekolah rendah di Ipoh, Perak yang kelihatan cukup teruja apabila dapat beramah mesra dengan anggota bomba yang hadir ke sekolah mereka.

Dalam satu video yang tular, kelihatan puluhan murid menyerbu seorang anggota bomba berbadan sado untuk mendapatkan tandatangannya dan bergambar.

Video tersebut sehingga kini meraih melebihi 284,000 jumlah tontonan di TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, pegawai bomba berkenaan, Muhammad Umar Affan berkata, video tersebut dirakam ketika dia bersama tiga pegawai lain termasuk penyelianya dijemput ke Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat, Ipoh untuk memberikan ceramah dan mengadakan Latihan Pengungsian Bangunan (Evacuation Drill) pada Selasa lalu.

bomba 2

Sebahagian pelajar SK Sungai Rapat yang menyerbu Muhammad Umar untuk bergambar dan mendapatkan tandatangan.

"Selesai latihan, saya beri ceramah kepada pelajar. Saya tanya siapa pergi perarakan merdeka? Ramai angkat tangan. Ada yang kata nampak saya atas jentera ketika perarakan. Masa tu dengar dah bunyi bising abang sado.

"Selesai ceramah, ada jamuan ringan. Belum sempat makan, saya dah diserbu. Anggota lain masa tu jauh daripada saya.

"Tak boleh jalan sebab kena kepung. Masa tu macam-macamlah murid tanya dan soalan famous adalah macam mana nak jadi bomba macam abang.

"Sampai depan bilik darjah mereka kerumun dan waktu saya duduk, murid-murid perempuan bawa kertas dan pensil minta tandatangan. Waktu tu memang rasa macam-macam, terharu ada... ada juga rasa aura macam orang famous," ujarnya berseloroh.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bomba sado belanja biceps terkejut tiba-tiba jadi ‘famous’, netizen jumpa akaun IG... Rupanya bertugas di balai Puchong je!

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bomba makin ‘advanced’, buat ‘pick-up line’ atas trak... Ramai tak keruan tengok lelaki sado - “Kuat betul suara perempuan menjerit”

Muhammad Umar yang merupakan pegawai bomba di Bahagian Operasi, JBPM Negeri Perak mengakui agak terkejut namun dia sedaya upaya cuba melayani dan memenuhi permintaan pelajar sekolah berkenaan.

bomba 4

Muhammad Umar (depan, kiri) merupakan salah seorang anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang menyertai perarakan kemerdekaan peringkat negeri Perak.

"Setahu saya yang viral adalah bomba yang menyertai perarakan peringkat kebangsaan. Tapi tak semena-mena saya turut terkena tempias sebab sado.

"Untuk pengetahuan, saya sebenarnya salah seorang anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang menyertai perarakan kemerdekaan peringkat negeri Perak. Setakat ini tiga kali sertai perarakan, sebab itu ada pelajar yang perasan.

"Saya juga seorang atlet bina badan JBPM Perak," ujar pegawai bomba berusia 32 tahun ini.

Boleh dikatakan hampir semua sekolah di Ipoh kami dah pergi, tapi ini kali pertama saya diserbu pelajar untuk minta sign.

MUHAMMAD UMAR AFFAN

PEGAWAI BOMBA

Tambah Muhammad Umar yang juga bapa kepada dua cahaya mata, sesi beramah mesra bersama 'peminat' berakhir sekitar 25 minit selepas guru meminta pelajar-pelajar berkenaan bersurai.

"Itu pun ada yang nak menangis sebab hampir tak dapat sign. Saya tak sangka sebenarnya betapa mereka sangat mengagumi anggota bomba.

"Kalau nak diikutkan, boleh dikatakan hampir semua sekolah di Ipoh kami dah pergi, tapi inilah sekolah pertama saya diserbu pelajar untuk minta sign.

"Saya seronok layan mereka... saya pun pernah jadi kanak-kanak. Secara tak langsung, saya harapkan dapat memberi inspirasi kepada mereka," ujarnya lagi.

bomba 3

Bersama team bina badan Bomba Malaysia ketika Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia.

Tidak menyangka videonya menjadi tular, Muhammad Umar berkata dia turut terharu bercampur terhibur apabila membaca komen netizen.

"Semua komen sangat positif. Banyak komen lucu juga.

"Apa yang saya harapkan moga perkongsian saya di laman sosial dapat memberikan manfaat dan juga pendedahan mengenai tugas seorang anggota bomba.

"Mereka yang bercita-cita mahu menjadi bomba, apa yang saya boleh kongsikan, mereka kena ada kekuatan fizikal dan mental serta ada jiwa penyelamat," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain