suria

Seperti masuk alam lain, gadis tak sangka berdepan gelora udara ketika balik Terengganu

Keadaan di luar pesawat yang kelihatan luar biasa.

PETIR sabung menyabung, keadaan kabin gelap gelita dan badan pesawat bergoncang hebat.

Demikianlah detik ngeri yang dihadapi seorang gadis ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Menerusi rakaman video yang menjadi tular di laman TikTok, kelihatan cahaya lampu kemerahan berkelip-kelip dari sayap pesawat menerangi ruang udara, selain diselangi sambaran kilat.

Video dimuat naik Nurshahira meraih lebih 1.5 juta tontonan di platform TikTok.

Pemandangan menggerunkan dari tingkap pesawat itu seakan-akan portal ke alam lain yang penuh misteri, pastinya tidak senang duduk bagi penumpang yang melihatnya.

Bercerita lanjut kepada mStar, Nurshahira Zol, 20, atau senang disapa Raa berkata video itu dirakam pada 25 Ogos lalu sekitar pukul 8.20 malam, kira-kira 15 minit sebelum mendarat di Kuala Terengganu.

Menurut Raa, sebelum berlepas dari Kuala Lumpur, dia sudah dimaklumkan terlebih dahulu oleh ibu dan rakannya tentang keadaan cuaca buruk di destinasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital cemas kemalangan babit 9 mangsa! Zon merah dikosongkan, staf diarah kerja ’double shift’... Rupanya panggilan palsu

ARTIKEL BERKAITAN: “Kerja 15 minit pun harga macam tu?” - Hati abang ‘pomen’ terguris, niat baik buat servis sampai malam diperlekeh... Upah tak setimpal

"Dekat KLIA waktu tu cuaca baik je, panas dan cerah. Tiba-tiba kawan saya yang sepatutnya ambil saya di airport Kuala Terengganu beritahu dia mungkin tak dapat datang, sebab dekat sana tengah angin kencang dan hujan lebat, tak nampak jalan.

"Mama dekat rumah pun mesej saya juga, dia risau saya nak balik ke Kuala Terengganu dalam keadaan cuaca sedang ribut di sana. Saya cakap tak mengapa, semua akan okay je.

"Kemudian saya dimaklumkan yang flight saya dilewatkan, sepatutnya berlepas pukul 4.30 petang, kemudian jadi pukul 6.45 petang. Hampir dua jam juga saya menunggu di KLIA.

"Ketika tu tiada pun timbul rasa tak sedap hati, sebab saya tak pernah lagi ada pengalaman buruk sepanjang naik pesawat," ujar Raa yang merupakan pelajar kulinari di sebuah universiti.

Pelbagai benda saya duduk fikir. Antaranya kemungkinan pesawat ni akan terhempas.

NURSHAHIRA ZOL

Mengimbas semula detik kejadian, Raa berkata segalanya berjalan lancar ketika 30 minit awal penerbangan.

"Penerbangan ke Kuala Terengganu biasanya ambil masa 50 minit. Waktu hampir sampai tu, barulah nampak di luar hujan dan pesawat diselubungi awan tebal. Apabila lampu dekat sayap tu berkelip, kelihatan seperti dalam kabus.

"Itu sebab lampu dalam video tu nampak terang semacam dan ekstra menyeramkan. tambahan pula waktu malam. Bayi dan budak pun ramai yang menangis serentak. Ada seorang bayi ni menangis tak berhenti-henti sampai kami mendarat.

"Pramugari cuba pujuk pun tak jalan. Satu lagi benda yang saya tak boleh lupa waktu tu adalah bunyi skru yang macam kriuk, kriuk, kriuk dalam kabin, sebab pesawat tengah bergegar akibat gelora udara.

Pelayar bertukar pandangan.

"Tapi syukur gelora udara tu tak teruk sangat sampai beg dan barang lain tercampak. Walaupun begitu, tetaplah hati ni risau, pelbagai perkara saya fikir. Antaranya kemungkinan pesawat ni akan terhempas," jelas Raa.

Tambah Raa, tangannya juga secara spontan mula merakam kerana terpesona dengan pemandangan di luar tingkapnya yang boleh digambarkan sebagai ekstrem.

Terangnya lagi, lampu dalam kabin juga dimalapkan sebagai persediaan untuk mendarat sekali gus menambah lagi elemen suasana yang meremangkan bulu roma.

"Nasib baik waktu mendarat pesawat tu tak terumbang-ambing sangat, hanya bergoyang sikit je. Saya boleh nampak di luar hujan lebat dan landasan basah. Syukur kami semua selamat sampai.

"Selepas cuaca dah reda sikit, kawan saya pun datang ambil. Ini adalah satu pengalaman yang saya tak akan dapat lupakan. Jutaan terima kasih juga kepada juruterbang yang cekap mengemudi pesawat kami," kata Raa menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain