suria

Pemuda anak tunggal tak boleh kerja makan gaji, kerap cuti bawa ibu bapa ke hospital... Berendam air mata fikir simpanan makin susut

Seorang pemuda sedih dengan isu kewangan yang dihadapinya. -Gambar hiasan

MENJALANI kehidupan sebagai penganggur cukup memeritkan.

Menurut seorang pemuda, kehidupannya bertambah rumit apabila dia juga tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang baik sebagai bekalan di masa depan.

Jelas pemuda berusia 30an itu, kehidupannya kini bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan.

Kebanyakan masa dihabiskan dengan melakukan kerja-kerja rumah. -Gambar hiasan

Kebanyakan masa dihabiskan dengan melakukan kerja-kerja rumah. -Gambar hiasan

“Aku tak ada degree (ijazah sarjana muda), aku tak ada kerja. Hidup harapkan duit simpanan je.

“Nak sambung degree, famili tak kasi sebab duit kami tak banyak. Sebenarnya aku pernah je sambung degree dulu, tapi aku drop sebab tak berapa cerdik dan kasihankan famili yang banyak habiskan duit.

“Jadi aku kerja la biasa-biasa je. Tapi disebabkan aku selalu ambil cuti nak hantar famili pergi hospital, dalam sebulan tu empat hingga lima kali nak ambil cuti sampai rakan sekerja dan majikan macam tak percaya. Mereka ingat aku ni saja-saja minta cuti,” katanya menerusi satu luahan di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Lama menganggur, siswazah nak sambung belajar lari dari masalah! Tak fikir mak ayah kena tanggung kos - “Awak fikir ada master boleh dapat kerja?”

ARTIKEL BERKAITAN: Bengang duit simpanan perkahwinan hangus, pakwe pandai-pandai melabur! Dah la menganggur, ada hati janji nak ganti

Tanpa mendedahkan pekerjaan yang dilakukannya sebelum ini, dia yang merupakan anak tunggal mengakui mahu mengusakan bisnes tetapi buntu untuk memulakannya.

“Nak buat bisnes, tapi tak tahu nak jual apa,” ujarnya.

Walau bagaimanapun dia masih mempunyai minat untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Aku nak sambung degree tapi jurusan lain. Famili aku tanya pasti ke lepas dapat degree aku akan dapat kerja yang aku mahu. Maklumlah duit kami ni pun sekadar cukup-cukup nak tampung hidup.

“Aku buntu, hari-hari tak boleh tidur... asyik menangis,” jelasnya lagi.

Yang penting serahkan sepenuhnya kepada Allah sebab kita cuma mampu usahakan, rezeki biar Allah yang atur.

WARGA MAYA

Menetap di kampung, pemuda itu memberitahu rakan-rakannya kebanyakannya sudah membina keluarga masing-masing.

Walaupun situasi semasa membuatkan dia jauh berbeza dengan orang lain, pemuda itu bersyukur kerana kehidupannya selesa tanpa dibelenggu hutang.

“Aku bersyukur, sekarang ni aku tak ada hutang. Allah tu sayang pada aku, cukup makan pakai tapi aku guna duit simpanan. Tapi terdetik juga... sampai bila?

“Aku pasti mesti ramai akan cakap kerja je mana-mana. Tapi 'kasut' aku tak sama, setiap bulan enam kali cuti masa hari bekerja.

“Majikan tak tahan. Kawan kerja pun tak ikhlas nak tolong. Kalau cakap berniaga, tempat aku dah banyak kedai makan. Cuma itulah aku nak sambung degree, tapi takut tiada kerja yang sesuai,” katanya lagi.

Pemuda diuji dengan ahli keluarga dimasukkan ke hospital untuk rawatan. -Gambar hiasan

Pemuda diuji dengan ahli keluarga dimasukkan ke hospital untuk rawatan. -Gambar hiasan

Di ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan semangat kepada pemuda itu agar tidak berputus asa dan merebut peluang sama ada bekerja, berniaga mahupun menyambung pengajian.

“Allah bagi banyak sangat nikmat pada awak. Orang lain kena cari pagi petang siang malam demi sesuap nasi. Memanglah awak kata duit simpanan, tapi ada je orang yang bekerja siang malam tapi simpanan sifar genap-genap nak sambung hidup sampai hujung bulan

“Kalau nak berniaga terus buat, jangan fikir laku atau tidak. Nak belajar terus belajar, jangan fikir dapat kerja atau tidak. Nak kerja, cari je dan kerja mana yang mampu.

“Yang penting serahkan sepenuhnya kepada Allah sebab kita cuma mampu usahakan, rezeki biar Allah yang atur,” demikian antara komen warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia