suria

Pakcik pemandu van sekolah menggatal, selalu usik murid perempuan... Paling jijik tak malu ajak budak bawah umur kahwin!

Perkhidmatan bas sekolah sudah menjadi keperluan dalam masyarakat. -Foto THE STAR

SIKAP suka bergurau dan berjenaka mampu membuatkan orang lain ketawa.

Namun kita sering diingatkan supaya berpada-pada dalam setiap perkara yang dilakukan.

Menerusi hantaran di laman X, seorang wanita mendedahkan situasi dihadapi seorang kanak-kanak yang sering dijadikan bahan gurauan oleh pemandu bas sekolahnya.

Perkhidmatan bas sekolah merupakan keperluan pada masa ini. -Gambar hiasan

Perkhidmatan bas sekolah merupakan keperluan pada masa ini. -Gambar hiasan

"Mak mentua saya buat servis pengangkutan budak-budak sekolah. Kemudian, dah setengah tahun ada budak baru nak naik dengan dia.

"Pelik juga kenapa dah tengah tahun baru nak bertukar. Mentua saya tanya, tapi budak tu tak mahu jawab dan tukar topik.

"Tapi kawan dia yang cerita, rupanya pakcik pemandu van sekolah yang dia naik sebelum ni selalu kacau dia. Siap cakap nak kahwin dan suka sampai nak jadikan isteri," dedahnya menerusi hantaran di X.

ARTIKEL BERKAITAN: Van tak tutup pintu, anak jatuh sebelum digilis! Ibu meraung tengok CCTV, si kecil menderita pecah saluran pundi kencing

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu bas sekolah jadi perhatian turunkan murid seorang demi seorang, periksa setiap seat - “Puas hati bayar mahal pun”

Menurut wanita ini, pemandu van yang dimaksudkan itu hampir seusia dengan bapa kepada budak tersebut.

Baginya, meskipun kata-kata tersebut dibuat dengan nada gurauan, namun ia salah di sisi perundangan.

"Kalau bergurau sekali pun, perkara tu salah. Nasib baik budak tu boleh mengadu dengan mak ayah dia dan keluarganya ambil tindakan cepat dengan tukar pengangkutan.

Aku faham rasa tak selesa tu, nasib budak tu mengadu... keluarga pun peka dan ambil tindakan.

WARGA MAYA

"Bayangkan ada budak yang jenis takut dan malu nak mengadu pada mak ayah dia, macam mana perkara tu boleh jejaskan kesihatan mental mereka," tambahnya lagi.

Bimbang perkara tersebut berterusan berlaku dan dinormalisasikan masyarakat, dia kemudian menasihati para ibu bapa supaya mengajar anak tentang sentuhan selamat pada tubuh.

Pada masa sama, dia berharap anak-anak akan meluahkan segala yang berlaku dalam kehidupan seharian kepada ibu bapa mereka terutama berkaitan perkara yang tidak sepatutnya.

Antara reaksi warga maya di ruangan komen.

Antara reaksi warga maya di ruangan komen.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya tampil dengan pelbagai perspektif masing-masing termasuk menggalakkan lebih ramai kaum wanita untuk terlibat dalam servis pengangkutan murid sekolah.

"Aku faham rasa tak selesa tu, nasib budak tu mengadu. Keluarga pun peka dan ambil tindakan, kalau jenis yang pemikiran macam kat TikTok tu... mesti makin sengsara.

"Perkara yang aku bangga dengan budak zaman sekarang adalah mereka tahu tentang tingkah laku yang tidak normal.

"Sama macam kes aku dulu, pakcik van gatal, siap pegang peha dan suruh duduk depan. Budak lain elok je dia suruh duduk belakang, sejak kecil aku dah faham yang perkara tu tak normal.

"Rasanya kerja yang berkaitan dengan menjaga keselamatan, kebajikan dan pengangkutan budak-budak perlu dihadkan kepada wanita sahaja macam taska dan pengasuh," demikian pandangan warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain