suria

Tak suka duduk rumah, isteri izin keluar dengan syarat bawa balik duit... Suami ubah suai beg menara, jalan-jalan sambil jual air

Abe Don disangka Ghostbusters. -Foto TikTok Zaidi Jamil

"RAMAI yang ingat saya Ghostbusters dan nak tangkap hantu."

Demikian kata Mus'ab Umair Mohamad, mengenai reaksi orang ramai selepas melihatnya menjual air menggunakan beg di sekitar Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) .

Mesra dipanggil Abe Don, lelaki berusia 30 tahun itu memaklumkan, beg yang mempunyai dua menara mengandungi enam liter air sirap bandung itu mengingatkan mereka kepada filem The Mermaid arahan Stephen Chow.

"Ramai yang terkejut bila nampak saya galas beg macam itu, sebab saya satu-satunya yang jual air guna cara macam ni.

"Video yang viral di TikTok itu sebenarnya adalah kali kelima saya berniaga macam tu, saya berniaga untuk cari pendapatan tambahan dan bukannya secara tetap," katanya ketika dihubungi mStar.

Dua beg menara ini dapat memuatkan enam liter minuman.- Foto TikTok Zaidi Jamil

Bercerita lebih lanjut, pekerja kilang itu berkata sebelum ini dia sama seperti peniaga lain yang menjual minuman menggunakan balang tetapi agak bosan dengan kaedah jualan seperti itu.

"Saya tidak suka menunggu sebenarnya, saya suka pergi terus kepada pelanggan. Kalau air balang, separuh hari berniaga belum tentu habis tetapi air dalam beg sejam setengah ke dua jam sudah habis terjual.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda bela peniaga air balang, yakin tak jual harga melampau... Siap tolong kira kos bancuh air jagung

ARTIKEL BERKAITAN: Anak bawa RM1 nak beli air balang, terkebil-kebil peniaga minta RM3! Rupanya harga tak sama iklan besar di ‘banner’

"Saya gemar berjalan-jalan dan pelanggan yang duduk boleh panggil saya datang terus kepada mereka. Secara tidak langsung lebih memudahkan mereka," katanya.

Anak kelahiran Melaka itu mengakui idea untuk berniaga dengan kaedah itu timbul sudah lama, cuma ia baru dapat direalisasikan baru-baru ini.

"Di pasaran tempatan memang tiada beg macam ni, saya jumpa di aplikasi jual beli dengan produk itu dijual di China. Harganya sekitar RM200 ke RM300. Saya ada ubah suai dengan membuat penambahan tempat letak ais," katanya.

Saya satu-satunya yang jual air guna cara macam ni.

Abe Don

Abe Don dalam pada itu mengakui, cabaran isteri telah mendorong dirinya untuk mencari pendapatan tambahan dengan menjual air.

"Saya ketika bujang suka keluar melepak malam-malam, jadi bila sudah berumah tangga isteri benarkan keluar tetapi pastikan boleh bawa balik duit.

"Itu yang timbul idea berniaga menjual air. Kata-katanya itu ada kebenarannya juga, saya sudah berkeluaga dan anak pun baru berusia beberapa bulan jadi perlu cari pendapatan tambahan untuk mereka lebih selesa," katanya.

Orang ramai menyangka Abe Don ahli Ghostbusters selepas memakai beg seakan-akan filem berkenaan.-Foto Ghostbuster

Jelasnya, kaedah ini bukan sekadar menjana pendapatan tambahan, malah pada masa yang sama masih boleh meluangkan masa bersama-sama rakan di malam minggu.

"Video yang viral itu kawan-kawan saya juga yang rakam sebenarnya. Sambil berniaga masih lagi boleh melepak, malah ada masanya saya bawa isteri dan anak sekali," tuturnya.

Sementara itu di ruang komen akaun TikToknya, Zaidi Jamil, rata-rata pengguna warganet menyatakan kekaguman kaedah yang digunakan Abe Don dan mendoakan agar rezekinya dimurahkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain