SEORANG rakyat Malaysia berdepan detik cemas selepas dia terlibat dalam kemalangan paragliding di Jawa Timur, Indonesia. Menerusi video tular, Rafifi Shahin Rohizan, 31, bersama seorang kru melanggar sebatang pokok akibat kegagalan untuk mendarat. Menurut Rafifi, kejadian di Paralayang Mount, Batu Malang itu sebenarnya berlaku pada Ogos, namun baru dimuat naik ke TikTok. Rafifi hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu. "Kejadian berlaku bulan lepas, pada 24 Ogos ketika saya mengikuti trip ke Surabaya. Itu juga kali pertama saya menaiki paragliding. "Trip saya ke Indonesia sempena ulang tahun perkahwinan ke-4 saya dan isteri. Mujur tak jadi apa-apa. Hanya luka-luka, tiada kecederaan parah," ujarnya ketika dihubungi mStar. Menerusi video itu, Rafifi berkata dia dan petugas yang mengendalikan paraliding itu gagal mendarat dengan sempurna akibat fenomena angin lintang. Rasa macam nak naik lagi lepas kejadian tu sebab saya minat aktiviti lasak. RAFIFI SHAHIN "Ketinggiannya 1,326 meter daripada paras laut. Apabila boleh fly atas ni, seronok nampak permandangan bukit, memang cantik. Nampak rumah, madrasah dan macam-macam. "Tiba-tiba apabila sampai masa untuk landing, saya terlanggar pokok. Ceritanya, angin lintang. Angin lintang sampai tak boleh nak kawal. "Saya pun pasrah dan reda, kemudian saya pegang dahan dan saya jatuh atas diver," ujarnya dalam video tular itu. ARTIKEL BERKAITAN: “Angin bertukar arah, payung jatuh ke depan” - Tak serik jatuh paragliding, wanita ini cuma relaks sekejap sebelum cuba terbang sekali lagi ARTIKEL BERKAITAN: Nenek usia 87 tahun tenang naik paragliding, sukarela nak terbang dulu sebab mahu anak, menantu tak rasa takut dan turut serta Meskipun berdepan kejadian malang, Rafifi berkata dia tidak serik dan merancang untuk melakukan lagi aktiviti ekstrem itu pada masa akan datang. "Rasa macam nak naik lagi lepas kejadian tu sebab saya minat aktiviti lasak. Rasa macam nak cuba kat Malaysia pula lepas ni," jelasnya. Tambah Rafifi, dia hanya membayar kira-kira RM140 untuk menaiki paragliding di Indonesia. Rafifi dan isterinya meraikan ulang tahun perkahwinan ke-4 di Indonesia. Video kejadian malang itu menerima hampir setengah juta tontonan dan turut dihujani pelbagai komen netizen. "Sakitnya, tapi abang memang kuatlah. Barulah anak jantan. "Main kat Malang. Memang malang langgar pokok macam tu. "Betul-betul malang. Ngam dengan nama tempat," komen beberapa netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube